suria

KWSP-Goodman Kerjasama Bangun Kemudahan Logistik RM1.4 Bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai perjanjian usaha sama dengan Goodman Group dari Australia untuk membangunkan kemudahan logistik di Malaysia dengan nilai pembangunan RM1.4 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pelaburan KWSP, Mohamad Nasir Ab Latif berkata, usaha sama 50:50 itu adalah untuk membangunkan kemudahan seperti rumah gudang di Lembah Klang dan Johor terutamanya di wilayah Iskandar.

"Pelaburan awal ialah sebanyak AS$100 juta (RM360 juta) setiap satu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis permeteraian perjanjian tiga tahun itu di sini, Jumaat.

Nasir berkata, akan terdapat kira-kira lapan projek dalam tempoh tiga tahun dengan jangkaan kadar pulangan dalaman (IRR) 15 peratus dalam tempoh lima hingga enam tahun.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran ini. Ini adalah kerjasama ketiga kami dengan Goodman Group.

"Perkongsian pertama pada 2012 menumpukan pada aset di Australia dan pada  2013 adalah di Jerman," katanya.

Pada 31 Disember 2014, hartanah dan prasarana menyumbang 3.01 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP dan menyumbang RM1.39 bilion kepada pendapatan pelaburan, peningkatan 22.3 peratus dari 2013.

Nasir berkata, penyertaan Goodman Group itu menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap rantau ini, terutamanya Malaysia.

Pengarah Eksekutif Goodman Group, Philip Pearce, berkata Malaysia dikenal pasti sebagai negara Asia Tenggara utama untuk melancarkan fasa pembangunan usaha sama ini berikutan ekonominya yang stabil dan demografi yang lebih baik.

Pearce berkata, terdapat juga peluang baik bagi ruang logistik di Malaysia dengan permintaan besar bagi kemudahan logistik moden yang dipacu oleh pertumbuhan kukuh keluaran dalam negara kasar serta peningkatan golongan pertengahan.

Goodman Group ialah kumpulan hartanah bersepadu dengan operasi di  Australia, New Zealand, Asia, Eropah, UK, America Utara dan Brazil.

KWSP, Goodman, Mohamad Nasir Ab Latif

Artikel Lain