suria

Bank Rakyat Terus Kukuh, Buka Cawangan Utama Baharu

KUALA LUMPUR: Bank koperasi terbesar Malaysia, Bank Rakyat terus mengukuhkan lagi kedudukan dan daya saingnya dalam pasaran dengan pembukaan cawangan utama baharu di Menara Kembar Bank Rakyat di Jalan Travers, di sini.

Cawangan tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek pada Jumaat.

Dengan pembukaan cawangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan cawangan Bank Rakyat sebanyak 146.

"Bank Rakyat memainkan peranan strategik dalam memenuhi aspirasi dan matlamat kementerian terutamanya dalam memartabatkan gerakan koperasi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi ketiga terpenting negara.

"Bank ini berjaya menjadi model dan bukti bagaimana sebuah bank koperasi dapat berkembang dan bersaing ke tahap paling tinggi dalam persekitaran perbankan yang sangat kompetitif," kata Hasan selepas majlis perasmian pembukaan cawangan itu.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran perkhidmatan baharu Bank Rakyat Rakyat Xclusive.

Produk baharu itu disasarkan kepada pelanggan berpendapatan tinggi untuk menikmati layanan eksklusif melalui perkhidmatan yang cepat, mudah, selesa dan efisien.

Sehingga September 2014, aset Bank Rakyat berjumlah RM86.5 bilion.

Bangunan Menara Kembar Bank Rakyat yang bakal menjadi ibu pejabat baharu bank tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Januari 2015.

Bank Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain