suria

PKS Eropah Di Malaysia Raih Manfaat Portal Baharu EUMCCI

KUALA LUMPUR: Portal Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) yang baru dilancarkan, dijangka membantu memacu pertumbuhan berganda dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjalankan perniagaan di Malaysia.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Hamim Samuri berkata, portal itu umpama meja bantuan yang memberi tumpuan terhadap usaha membantu PKS Eropah untuk memperoleh maklumat serta kemudahan yang disediakan di negara ini.

"Kita dapati minat yang semakin meningkat daripada PKS Eropah untuk datang ke Malaysia. Portal ini merupakan hubungan pertama dan kita akan tingkatkan, menggunakan teknologi Internet dan pegawai kami sendiri untuk membantu mereka berhubung dengan pakar tempatan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran portal itu di sini, Selasa.

Turut hadir Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) dan Ketua Delegasi ke Malaysia Luc Vandebon.

Portal itu adalah hasil daripada projek 'Sokongan untuk Perniagaan Eropah di Pasaran Asia Tenggara, Komponen Malaysia', dengan EUMCCI menjalin usaha sama dengan 11 rakan organisasi di Malaysia dan Eropah.

Ia juga merupakan projek nasional pertama yang disokong oleh EU.

Ia berperanan sebagai pusat sehenti bagi menyediakan PKS EU dengan maklumat dan kepakaran mengenai kaedah memudahkan kejayaan penerokaan mereka dalam pasaran Malaysia dan Asean.

Vandebon berkata portal itu merupakan platform bijak untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan kepada PKS EU dengan memanfaatkan kejayaan syarikat EU sedia ada di Malaysia.

Beliau berkata, kini terdapat lebih 2,000 syarikat Eropah beroperasi di seluruh Malaysia.

"Pada asasnya publisiti terbaik yang boleh kita peroleh ialah pengalaman 2,000 syarikat di Malaysia ini.

"Mereka gembira dan mencatat keuntungan. Ini bukti kehadiran dan kejayaan mereka di Malaysia, semuanya hasil daripada persekitaran yang disediakan oleh kerajaan," kata Vandebon.

Vandebon berkata, hubungan perdagangan Malaysia dan EU sentiasa baik dan berkembang tahun demi tahun.

"Walaupun wujud kesukaran di Eropah, ia tidak mematahkan semangat kami untuk meluaskan perdagangan dengan Malaysia," katanya.

"Kami berharap dapat memperkukuh hubungan dan meneruskan usaha ini," katanya.

EUMCCI, PKS, Datuk Hamim Samuri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain