Kumpulan AirAsia Terbangkan 11.3 Juta Penumpang

Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 3:48 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd mencatat peningkatan 13 peratus tahun ke tahun dalam jumlah penumpang yang diterbangkan kepada 11.290 juta pada peringkat kumpulan bagi suku kedua tahun ini berbanding 9.994 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Kumpulan itu mencatatkan faktor muatan yang kukuh sebanyak 79 peratus pada suku kedua tahun ini, dengan kapasiti meningkat 15 peratus tahun ke tahun.

Bagi suku berakhir April hingga Jun, kumpulan itu mengambil sembilan pesawat tambahan, menjadikan jumlah pesawat kepada 166 berbanding 121 buah pada tempoh sama tahun lalu.

AirAsia juga berkata kapasiti kerusi tersedia bagi setiap kilometer (ASK) naik 13 peratus kepada 16.392 bilion pada suku kedua tahun ini, berbanding 14.493 bilion pada suku sama tahun lepas.

Perolehan penumpang kilometer (RPK) meningkat 10 peratus kepada 12.807 bilion pada suku kedua tahun ini berbanding 11.666 bilion pada suku sama tahun lepas.

Bagi operasinya di Malaysia, AirAsia memperlihatkan peningkatan satu peratus jumlah penumpang yang diterbangkan kepada 5.573 juta pada suku kedua tahun ini berbanding 5.509 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Kapasitinya juga meningkat sebanyak satu peratus kepada 6.963 juta berbanding 6.896 juta sebelum ini.

Malaysia AirAsia mengekalkan faktor muatannya sebanyak 80 peratus pada suku kedua tahun ini, dengan tiada perubahan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

ASK bagi unit Malaysia, naik tiga peratus kepada 8.535 bilion pada suku kedua 2014 berbanding 8.303 bilion dan RPK meningkat dua peratus pada tempoh tersebut kepada 6.799 bilion berbanding 6.640 bilion sebelum ini.

Jumlah pesawat Malaysia AirAsia sebanyak 80 buah berbanding 66 buah pesawat pada tempoh sama tahun lepas.

Bagi statistik operasi di Thailand, syarikat penerbangan tambang rendah itu memperlihatkan peningkatan 16 peratus jumlah penumpang yang diterbangkan kepada 2.806 juta pada suku kedua tahun ini berbanding 2.423 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kapasiti turut melonjak 23 peratus kepada 3.611 juta pada suku kedua tahun ini berbanding 2.944 juta bagi April hingga Jun tahun lepas.

Bagaimanapun faktor muatan, turun sebanyak empat mata peratusan kepada 78 peratus berbanding 82 peratus, disebabkan ketidakstabilan politik di negara itu yang membawa kepada kelembapan jumlah kemasukan pelancong.

ASK meningkat 20 peratus kepada 3.667 bilion pada suku kedua tahun ini berbanding 3.064 bilion pada tempoh sama tahun lepas. Manakala RPK, naik 12 peratus kepada 2.855 bilion pada suku kedua tahun ini berbanding 2.551 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Thai AirAsia mempunyai jumlah pesawat sebanyak 37 buah bagi April hingga Jun 2014 berbanding 29 pesawat pada tempoh sama tahun lepas.

Bagi Indonesia AirAsia (IAA), syarikat penerbangan tambang rendah itu memperlihatkan jumlah penumpang yang diterbangkan berkembang sebanyak tiga peratus tahun ke tahun kepada 1.986 juta pada suku kedua tahun ini berbanding 1.921 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Kapasiti meningkat sebanyak lima peratus tahun ke tahun kepada 2.555 juta berbanding 2.444 juta sebelum ini, manakala faktor muatan susut sebanyak satu mata peratusan kepada 78 peratus berbanding 79 peratus.

ASK meningkat dua peratus kepada 2.937 bilion pada suku kedua tahun ini berbanding 2.873 bilion sebelum ini. RPK naik kepada 2.288 bilion pada suku kedua tahun ini berbanding 2.282 bilion sebelum ini.

Jumlah pesawat IAA bagi April hingga Jun 2014 ialah 30 buah.

Jumlah penumpang yang diterbangkan oleh Philippines AirAsia (PAA) melonjak sebanyak 560 peratus bagi tempoh tersebut kepada 924.155 juta berbanding 140.034 juta sebelum ini.

Kapasiti meningkat 534 peratus kepada 1.2 juta pada suku kedua tahun ini berbanding 189,180 pada tempoh sama tahun lepas.

Jumlah pesawat PAA naik kepada 19 buah pada suku kedua tahun ini berbanding dua buah pesawat sebelum ini.

Faktor muatan meningkat tiga mata peratusan kepada 77 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

ASK naik 394 peratus pada tempoh tersebut kepada 1.254 bilion berbanding 254 juta sebelum ini, manakala RPK meningkat 347 peratus kepada 864 juta berbanding 193 juta.


Tags / Kata Kunci: AirAsia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan