suria

Ebizu Lancar Penyelesaian POS Berasaskan Tablet Ogos Ini

Gerard Lim (tiga dari kiri) bersama kakitangan Ebizu mempamerkan produk syarikat.
KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian runcit digital, Ebizu Sdn Bhd, menyasar untuk melancarkan penyelesaian mata jualan (POS) berasaskan tablet bulan depan.

Pengarahnya, Gerard Lim berkata, penyelesaian baharu itu akan dibangunkan dengan platform sedia bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menyokong pelaksanaan cukai tersebut mulai 1 April, 2015.

"Pengguna hari ini lebih selesa menggunakan saluran digital, terutamanya melalui peranti mudah alih dan telefon pintar mereka, untuk melayari atau mencari maklumat dan melaksanakan urus niaga, termasuk membuat pembelian dan pembayaran melalui telefon pintar mereka.

"Malaysia ketika ini menyaksikan penembusan telefon pintar sebanyak 35 peratus, atau lebih daripada 10 juta telefon pintar digunakan, dan bilangannya dijangka meningkat sehingga 60 peratus menjelang 2015," katanya kepada Bernama.

Seorang penyelidik, berkata ini menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan purata 183 minit sehari menggunakan internet mudah alih.

"Ini merupakan peluang besar bagi syarikat untuk mencapai dan sentiasa berhubung dengan pelanggan melalui telefon pintar mereka," katanya.

Syarikat akan mempamerkan keseluruhan penyelesaian runcit digitalnya di Ekspo Penyelesaian SME di Pusat Pameran Mid Valley pada 13-15 Ogos, 2014.

Ebizu telah mula melaksanakan Ebizu Beacons di dua pusat beli-belah dan sebuah pasar raya besar di Lembah Klang dan ketika ini menunggu keputusan daripada 20 pusat beli-belah yang lain di seluruh negara, katanya.

Mengenai pengembangan di peringkat serantau, Lim berkata, Ebizu bakal menjalin pakatan dengan tiga pusat beli belah di Jakarta dan sekumpulan pusat beli belah di Thailand yang menunjukkan minat terhadap Ebizu.

"Ebizu sedang menarik perhatian syarikat gergasi runcit di Asia Tenggara yang ingin melaksanakan penyelesaian runcit digital inovatif Ebizu dengan Ebizu Beacons.

"Kami juga mula mengadakan perbincangan dengan pusat-pusat beli belah di Filipina," katanya. 


Ebizu Sdn Bhd, POS

Artikel Lain