Kiriman Wang Dunia Cecah US$404 Bilion, India Tertinggi

Diterbitkan: Isnin, 14 April 2014 12:14 PM

Bank Dunia

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Pendatang antarabangsa dari negara membangun, menghantar US$404 bilion menerusi kiriman wang ke negara asal mereka tahun lepas, dan India mendahului senarai dengan US$70 bilion.

Terbitan terkini Migrasi dan Pembangunan Bank Dunia menyebut kiriman wang yang mengalir ke negara-negara membangun dijangka meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada US$436 bilion, dan US$526 bilion pada 2016, walaupun lebih banyak negara tuan rumah menghantar pulang pekerja asing masing-masing.

Kiriman wang global, termasuk ke negara berpendapatan tinggi, dianggarkan US$581 bilion tahun ini berbanding US$542 bilion pada 2013, dan meningkat kepada US$681 bilion pada 2016.

Menurut laporan itu, kiriman wang kekal sebagai punca utama aliran masuk sumber bagi negara membangun, jauh melebihi bantuan pembangunan rasmi serta lebih stabil berbanding aliran hutang swasta dan ekuiti portfolio.

Bagi kebanyakan negara membangun, kiriman wang merupakan sumber penting dalam pertukaran asing, melebihi pendapatan daripada eksport utama dan meliputi sebahagian besar daripada import.

Sebagai contoh, di Nepal, penghantaran wang hampir dua kali ganda berbanding pendapatan negara bagi eksport barangan dan perkhidmatan, manakala di Sri Lanka dan Filipina, ia masing-masing meliputi lebih 50 peratus dan 38 peratus.

Di India, kiriman wang pada 2013 sebanyak US$70 bilion, lebih daripada US$ 65 bilion yang diperoleh daripada eksport perkhidmatan perisian utama negara. Di Uganda pula, penghantaran wang sekali ganda lebih tinggi daripada pendapatan negara menerusi eksport utamanya, kopi.

"Kiriman wang merupakan komponen utama imbangan pembayaran negara. India mengetuai senarai aliran kiriman wang, dengan menerima US$70 bilion tahun lepas, diikuti China dengan US$60 bilion dan Filipina US$25 bilion," kata Naib Presiden Kanan Bank Dunia dan Ketua Ekonominya, Kaushik Basu.

Ternyata aliran kemasukan ini berperanan sebagai faktor bagi membasmi kemiskinan serta menggalakkan kemakmuran, katanya.

Lain-lain penerima besar ialah Mexico (US$ 22 bilion), Nigeria (US$21 bilion), Mesir (US$17 bilion), Pakistan (US$15 bilion), Bangladesh (US$14 bilion), Vietnam (US$11 bilion) dan Ukraine (US$10 bilion).

Dari segi kiriman wang kepada KDNK, penerima utama ialah Tajikistan (52 peratus), Republik Kyrgyz (31 peratus), Nepal dan Moldova (kedua-dua 25 peratus), Samoa dan Lesotho (kedua-dua 23 peratus), Armenia dan Haiti (kedua-dua 21peratus), Liberia (20 peratus) dan Kosovo (17 peratus).

Laporan itu menyebut bahawa walaupun prospek jangka sederhana bagi kiriman wang kukuh, wujud risiko penurunan berikutan berlaku penghantaran pulang pendatang ke negara asal berikutan konflik atau pengusiran oleh negara tuan rumah.

Tahun lepas menyaksikan peningkatan dalam penghantaran pulang, dengan lebih 370,000 pendatang dihantar pulang ke negara asal dari Arab Saudi sahaja dalam tempoh lima bulan sejak November 2013.

Kebanyakan pendatang ini berasal dari Ethiopia, Mesir dan Yaman.

Di Amerika Syarikat, lebih 368,000 orang (kebanyakannya pendatang yang ingin memasuki ke Amerika Syarikat dan ditahan di sempadan) dihantar pulang ke negara asal mereka di Amerika Latin dan Caribbean (LAC), terutama Mexico, El Salvador , Guatemala dan Hondurus.

Di samping itu, pemohon suaka politik telah meningkat, berikutan persengketaan dan konflik.

Menurut laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tuntutan suaka di 44 negara-negara perindustrian mencapai 612,700 pada 2013, peningkatan 28 peratus berbanding 2012, dan tahap kedua tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Di Eropah, bilangan permohonan suaka meningkat 32 peratus kepada 484,560 pada 2013, dengan Jerman penerima terbesar permintaan suaka (109,600).

Sebahagian besar pemohon suaka adalah dari Syria, Rusia, Serbia dan Kosovo, katanya.

Trend ini berlaku disebabkan peningkatan sentimen antipendatang, yang semakin mendapat momentum di beberapa negara Eropah, termasuk Perancis, Jerman, dan United Kingdom.

Di Switzerland, referendum pada Februari 2014 meluluskan kuota kemasukan pendapatang, walaupun dengan majoriti tipis, katanya.

Tags / Kata Kunci: India , Bank Dunia , Mesir

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan