suria

Warga Bangladesh Maut Tersepit Mesin

SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut selepas tersepit di celah mesin yang dikendalikannya dalam satu kejadian di kilang membuat pita perekat di sini malam Sabtu.

Dalam insiden 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Liton, 20-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang rakan sekerja yang enggan dikenali berkata kejadian itu berlaku mungkin disebabkan baju mangsa termasuk di celah mesin, menyebabkan dia tersepit dan akhirnya cedera parah sebelum mati tergantung pada mesin berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, pekerja lain sibuk menjalankan tugas masing-masing dan tidak menyedari kemalangan yang menimpa mangsa sehinggalah objek berupa manusia ditemui tergantung pada mesin berkenaan.

"Kejadian kemalangan sehingga membawa kepada maut ini adalah yang pertama kali berlaku di kilang ini, kerana sebelum ini, pekerja hanya berhadapan dengan kemalangan kecil sahaja, yang mana hanya melibatkan luka, patah tangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ekoran kejadian itu, semua pekerja syif malam dibenarkan pulang ke rumah lebih awal untuk memberi laluan kepada polis menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain