suria

Bangsa Melayu Perlu Kekal Bersatu - Titah Sultan Pahang

MARAN: Kaum Melayu perlu kekal bersatu dalam menjamin survival dan pembinaan sebuah negara Malaysia, titah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah ia penting dalam menghadapi cabaran kemasukan pengaruh asing dari sudut ideologi, baik yang muncul dari dalam negara mahupun dari tamadun barat yang mampu menggugat asas dan jati diri orang Melayu.

Titah baginda lambakan budaya dan pemikiran khususnya pengaruh ideologi seperti sekularisme, liberalisme dan materialisme boleh menggugat perpaduan sekaligus merungkai kestabilan negara.

Bagaimanapun baginda berkata perpaduan di kalangan orang Melayu tidak seharusnya dirasakan menjadi satu ancaman kepada kaum lain dalam negara.

"Perpaduan bangsa Melayu seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang membawa manfaat kepada semua bangsa dalam negara," titah baginda selepas merasmikan Forum Hak dan Perpaduan Melayu Dalam Konteks 1 Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Jengka di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Terdahulu dalam titah ucapannya pada majlis itu, Sultan Ahmad Shah bertitah kepelbagaian bangsa dan etnik dalam negara merupakan aset yang penting dalam mencapai status negara maju sebagaimana yang digariskan dalam Wawasan 2020. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain