Ada Perbezaan Nyata Antara Sosok Dan Susuk

Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 8:11 PM

(Ubah saiz teks)

PERNAH rencana saya tentang perbezaan kata sosok dan susuk dalam Dewan Siswa April 1992 menimbulkan pertanyaan beberapa orang pembaca sesudah mereka merujuk kepada kamus. Memang dalam Kamus Dewan ada kedua-dua bentuk 'sosok' dan 'susuk' yang diberi erti sama sehingga tidak dibezakan secara jelas kedua-dua kata itu.

Pola kata sosok dan susuk ini samalah dengan pola kata tonton dan tuntun. Pada peringkat awal sukar bagi setengah-setengah orang menerima adanya perbezaan antara tonton dengan tuntun sehingga orang menggunakan kata menuntun untuk maksud menonton.

Kamus Besar Bahasa Indonesia memberikan perbezaan yang lebih nyata antara kata sosok dan susuk. Sayangnya di bawah kata susuk diberi pula makna kedua susuk yang sama dengan makna kata sosok. Ada kalanya penyusun  kamus kurang tegas dalam menentukan perbezaan setengah-setengah kata. Memang kajian lanjut diperlukan untuk memastikan bahawa kedua-dua patah kata itu berbeza.

Namun  huraian yang dibuat dalam kamus, termasuk Kamus Dewan memberikan bayangan makna yang berbeza bagi kedua-dua patah kata itu. Bagi kata sosok tidak diberi makna jarum emas dan sebagainya yang dimasukkan ke dalam kulit muka dan lain-lain untuk memaniskan muka. Sebaliknya cukup jelas sosok diberi makna bentuk, selain makna lubang. Yang meragukan ialah apabila susuk diberi makna yang sama pula dengan sosok.

Kata sosok dengan erti bentuk dapat diperhatikan dalam ayat seperti yang berikut ini:

1. Sosok badannya langsing.

2. Setiap bahasa memiliki sosoknya sendiri.

Kata susuk yang bererti benda yang ditusukkan ke anggota badan untuk menjadikan wajah kelihatan cantik terdapat dalam ayat seperti yang berikut ini:

3. Usah percaya kepada kepercayaan karut bahawa seseorang menjadi cantik kerana memakai susuk.

Oleh hal yang demikian, penggunaan kata susuk seperti dalam susuk badan yang biasa terdapat dalam tulisan-tulisan adalah salah. Demikianlah, salah juga istilah susuk bahasa yang terkandung dalam  beberapa buah buku linguistik yang tanpa usul periksa pada suatu waktu dulu pernah saya terima dan saya gunakan bagi menggantikan istilah struktur bahasa, susunan bahasa dan bentuk bahasa.

Tepatlah kata orang tua-tua bahawa kita belajar daripada kesilapan. Yang penting kesilapan itu kita  sedari dan kita baiki.Tampaknya, pengalaman ini memperkukuh pegangan saya bahawa kamus hendaklah dijadikan teman setia.

Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.


iklan

Video

Jumaat, 28 April 2017 5:30 PM

Hasrat Faizal Tahir Berehat Terganggu

Jumaat, 28 April 2017 3:47 PM

'Istana' Unik Di Rusia

Jumaat, 28 April 2017 11:39 AM

Kiri, Kanan, Depan,Belakang Ais Krim

Jumaat, 28 April 2017 9:30 AM

Apa Punca Aiman Sidek Masih Tidak Popular ?

Khamis, 27 April 2017 5:32 PM

Siapa Sanggup Tunggu Elly Mazlein?

Khamis, 27 April 2017 3:30 PM

Belum Ada Rezeki Anak - Bella Dally

Rabu, 26 April 2017 10:48 AM

Meninggal Dunia Ketika Baca Al-Quran

Kolumnis

iklan

Iklan