Jangan Sisihkan Diri Di Pojok Dan Harap DiPujuk

Diterbitkan: Khamis, 29 Mei 2014 3:24 PM

(Ubah saiz teks)

KEDUA-DUA patah kata  - pojok dan pujuk - kadangkala mengelirukan pengguna bahasa disebabkan bentuk dan sebutannya hampir-hampir sama. Namun, maknanya lain sama sekali.

Kata pojok bererti "sudut" atau "penjuru", dan dapat  juga bererti "ruang di  sudut akhbar yang berisi karangan pendek yang lucu tetapi pedas". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:

1. Pemuda itu berdiam diri saja di pojok sana.

2. Di pojok dewan itu berkumpul  beberapa orang yang mengira undi.

3. Penulis pojok dalam  akhbar Utusan Melayu menggelar namanya Bajang.

Sehubungan dengan itu, orang yang menulis atau  mengucapkan ayat­ayat tersebut sebagai Pemuda itu berdiam diri saja di pujuk sana; atau Di pujuk dewan itu berkumpul beberapa orang yang mengira undi; atau Penulis pujuk dalam akhbar Utusan Melayu menggelar namanya Bajang jelas telah terperangkap dalam kekeliruan yang dimaksudkan tadi.

Kata pujuk pula bererti "kata-kata manis untuk memikat   hati  atau untuk  melembutkan hati seseorang". Oleh itu, kata tersebut dapat  digunakan seperti yang berikut ini:

1. Pujuk rayunya menyebabkan  saya serba salah.

2. Lina memujuk adiknya yang sedang  menangis.

3. Ia sudah merajuk dan tidak mungkin dapat dipujuk lagi.

Sekarang,  perhatikanlah beberapa contoh  lain penggunaan  kata yang tepat berkaitan dengan kedua-dua  patah kata yang sedang kita bicarakan:

1. Orang  itu  seolah-olah  mencuba   menyisihkan   dirinya  duduk  di pojok dewan.

2. Kerusi lama itu bolehlah kamu letakkan di pojok sana.

3. Janganlah mudah mengalah kerana dipujuk.

4. Dia memang terkenal sebagai orang yang pandai memujuk.

5. Biar dipujuk bagaimana sekalipun saya tidak akan tertarik.

6. Iklan sekarang lebih berupa pujukan.

7. Pojok dalam akhbar itu menarik  minat membaca.

Sebagai  renungan, anda  mungkin dapat  memujuk pembaca  menerima pendapat anda  melalui  pojok yang anda  tulis. Tetapi  jangan  pula menyisihkan  diri  di pojok kerana  belum  tentu   ada  orang  yang akan  memujuk anda.

Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.

Tags / Kata Kunci: Pojok , Pujuk

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan