Ideologi IS Cabaran Baharu Tentera Laut - Panglima TLDM

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2015 7:30 AM

Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

(Ubah saiz teks)

SAMUDERA terbentang luas sentiasa didepani begitu banyak cabaran dan dugaan mendatang. Sebuah kapal yang sedang berlayar ke sesuatu destinasi dipimpin oleh nakhodanya. Bersama anak-anak kapal, nakhoda mengharungi lautan infiniti tanpa mengira keadaan cuaca dan laut tidak menentu mahupun ancaman musuh dan lanun. 

Begitulah gambaran mengenai perjalanan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mengawal keselamatan dan memelihara keamanan negara terutama di kawasan perairan. Di bawah pucuk pimpinan nakhodanya iaitu Panglima Tentera Laut, TLDM terus berlayar dalam misi menjadi tentera laut bertaraf dunia. 

Ikuti wawancara khas mStar Online bersama Panglima Tentera Laut Ke-16 yang baharu dilantik, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Apakah perkara yang pertama sekali terlintas di fikiran Datuk Seri sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita pelantikan sebagai Panglima Tentera Laut yang baharu?

Saya menganggap ia sebagai satu amanah yang amat besar. Dengan lebih 17,000 pegawai dan anggota dan aset-aset yang berbilion ringgit yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Bersama-sama dengan pucuk kepimpinan tentera laut, kita telah melakarkan hala tuju iaitu Pelan Strategik TLDM 2013-2020 atau dikenali sebagai PS1320.

Pelan Strategik ini tidak perlu diubah, tetapi ia akan terus diperkemaskan bagi menentukan pelan yang sedia ada untuk dilaksanakan menghasilkan impak yang lebih tinggi. Sebagai Panglima Tentera Laut atau PTL, saya hanya diibaratkan sebagai seorang nakhoda yang mengemudi kapal.

Dan kapal ini adalah TLDM, yang merupakan sebuah institusi dan lebih 17,000 anggota dan pegawai pula merupakan anak kapal. Hala tuju ini pula merupakan pelan pelayaran untuk ke sesuatu destinasi. Anak kapal akan membantu nakhoda dalam pengendalian kapal untuk sampai ke detinasi dengan cepat, selamat serta mencapai segala matlamat serta visinya.

Bagaimana Datuk Seri melihat transformasi TLDM sejak menyertainya pada tahun 1977?

Semasa saya menyertai TLDM pada 1977, salah sebuah kapal yang saya berkhidmat dahulunya adalah sebuah kapal kayu sahaja, iaitu dari kelas Penyapu Periukapi, KD Kinabalu. Tetapi melalui peredaran masa, kita telah berjaya berubah mengikut keupayaan kita dari ‘Brown water Navy’ (Tentera Laut Persisiran) kepada ‘Blue Water Navy’ (Tentera Laut Lepas). Aset-aset dan kapal-kapal kita juga semakin besar, berkeupayaan moden, canggih dan berteknologi tinggi. Malah, sekarang kita sudah mempunyai kapal selam yang tidak banyak Tentera Laut di dunia berupaya memilikinya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) memasangkan pangkat Laksamana kepada Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tengah) di Kementerian Pertahanan pada 18 November lalu. Beliau dibantu oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin (kanan). Foto Bernama

Apakah penekanan Datuk Seri dalam TLDM?

Saya menekankan kepada proses transformasi yang perlu dilihat dari tiga aspek iaitu peralatan (hardware) dengan aset-aset kita yang semakin canggih dan berteknologi tinggi. Kedua adalah aspek ‘software’ yang merupakan penekanan kepada elemen profesionalisme, prestasi serta dasar-dasar dan doktrin-doktrin yang mesti sejajar dan relevan dengan peredaran masa.

Manakala, ketiga ialah ‘humanware’ iaitu elemen keanggotaan atau modal insan di mana ‘navy people’ yang bukan sahaja terdiri daripada anggota TLDM tetapi lebih menyeluruh termasuk veteran TLDM. Walaupun mereka sudah berhenti dari berkhidmat, kita masih anggap mereka sebagai navy people. Saya amat menghargai sokongan dari mereka. Sumbangan serta pengorbanan mereka tidak boleh dinilai. Konsep ‘Navy People’ ini akan mewujudkan semangat kekitaan dan rasa bangga pada perkhidmatan yang kita sanjungi dan mempertahankan perjuangan TLDM serta menentukan anggotanya sentiasa bersemangat dan bermotivasi. 

Saya memberi penekanan yang sangat tinggi kepada aspek pembangunan modal insan. Setiap Navy People ada peranan masing-masing. Sumbangan mereka harus dihargai dan diiktiraf. Saya mahuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sehingga mencapai potensi mereka yang tertinggi. Kita perlu sentiasa ambil berat aspek kebajikan dan keluhan mereka. Pada masa yang sama, kita perlu sentiasa mencabar kebolehan mereka dalam mempertingkatkan prestasi Navy People.

Kita gunakan istilah Navy People ini sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan TLDM. Ahli keluarga dan penjawat awam yang berkhidmat dengan TLDM turut dianggap sebagai Navy People.

Elemen profesionalisme ketenteraan merangkumi empat komponen iaitu disiplin, kemahiran, komitmen dan kebanggaan. Disiplin amat penting kerana kita adalah tentera yang sentiasa perlu patuh pada arahan dan peraturan.  Disiplin yang tinggi boleh menentukan aspek prestasi akan cemerlang dalam kita memastikan tugasan dan tanggungjawab itu dilakukan dengan cekap dan efektif. Kemahiran pula boleh diperolehi dengan kita menimba pengetahuan dan pengalaman, dan bagi memperolehinya, kita perlu ada disiplin dalam diri kita.

Bagi komitmen, ia boleh diperjelaskan bahawa kita percaya setiap apa yang kita lakukan seharusnya dilaksanakan dari peringkat kepimpinan sehingga bawahan. Kebanggaan pula ialah konsep setiap hasil kerja kita perlu terbaik dan cemerlang serta boleh dibanggakan dan mencapai kepuasan pelanggan.

Bagaimana pula harapan Datuk Seri dari segi keanggotaan TLDM?

Dahulu, saya melihat bangsa-bangsa lain banyak juga menyertai TLDM namun kini jumlahnya agak rendah berbanding yang disasarkan. Menurut rekod terkini, daripada lebih 17,440 pegawai dan anggota TLDM, kurang dari 350 di kalangan bukan Bumiputera.

Sebelum ini, TLDM membuat proses merekrut anggota baharu dan menggalakkan penyertaan dari bangsa lain tetapi kurang mendapat sambutan. Keadaan itu menyebabkan kita terpaksa menggunakan pendekatan baru dengan bantuan persatuan-persatuan malah parti-parti tertentu untuk menggalakkan penyertaan dari bangsa lain. Kita juga wujudkan strategi dan inisiatif tambahan dengan mengoptimumkan media sosial serta mendapatkan bantuan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Sebenarnya banyak peluang dalam TLDM. Kita tidak mengira bangsa dan agama, kalau hendak dilihat terdapat ramai juga pegawai berbangsa Cina dan India yang berpangkat tinggi sehingga ke Laksamana Pertama. Peluang berkursus di luar negara dan mengikuti program pembelajaran dalam dan luar negara sehingga ke doktor falsafah (PhD) sentiasa terbuka luas. 

Oleh itu, saya menyeru lebih ramai remaja dan juga ibu bapa untuk memahami dan mendekati TLDM melalui portal rasmi TLDM iaitu www.navy.mil.my. Saya yakin, usaha kita akan merelisasikan konsep 1Malaysia dan pembangunan negara bangsa yang lebih cemerlang.  Saya dan seluruh pasukan berusaha untuk memastikan TLDM disambut baik dan disertai oleh bangsa-bangsa lain. Ini kerana mempertahankan negara ini bukan tanggungjawab TLDM atau pasukan keselamatan sahaja tetapi melibatkan semua pihak dan lapisan masyarakat.

Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memeriksa perbarisan kawalan kehormat ketika mengadakan lawatan ulung ke Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini. Foto Bernama

Apakah cabaran Datuk Seri sebagai Panglima Tentera Laut?

Di laut ada bermacam-macam cabaran yang diibaratkan seperti cuaca yang tidak menentu, pelayaran melalui kawasan-kawasan yang belum pernah diterokai, ancaman musuh dan lanun. Di dalam konteks TLDM, antara cabaran kita ialah kekangan kewangan, ancaman keselamatan semasa dan juga cabaran ‘managing expectations’ atau memenuhi jangkaan pihak berkepentingan atau stakeholders.

Tetapi kita faham cabaran kewangan adalah berdasarkan kemampuan kerajaan. Ia juga dipengaruhi dengan keadaan ekonomi negara dan global. Walaupun ia merupakan cabaran, bagi saya ia sebagai peluang kerana dengan peruntukan yang terhad, kita perlu meneliti tatacara perbelanjaan. Kita tidak boleh berbelanja seperti dulu. Kita perlu lebih berhemah, kita perlu kurangkan pembaziran, kita perlu buat perancangan lebih teliti berdasarkan keutamaan keperluan.

Kedua, proses perolehan kita perlu ditambah baik. Dengan kawalan yang lebih teliti, maka aspek ketirisan, salah guna kuasa, harga perolehan tidak wajar dan risiko rasuah dapat dielakkan. Semua peringkat pengurusan perlu didedahkan dengan kemahiran pengurusan kewangan yang lebih mantap. Dengan usaha yang gigih ini, saya yakin walaupun peruntukan berkurangan, ia mencukupi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab utama TLDM.

Bagaimana dengan pengaruh fahaman militan yang dilihat sebagai cabaran baharu?

Kita menyedari terdapat penularan ideologi militan IS. Kita tidak mahu perkara itu berlaku di kalangan anggota TLDM. Apa yang kita usahakan secara konsisten ialah menyekat penularan ideologi itu di kalangan anggota dengan meningkatkan kesedaran mereka.  

Pada pandangan saya banyak mangsa pengaruh ideologi IS atau DAES ini terdiri dari mereka yang mempunyai semangat perjuangan Islam yang tinggi tetapi ilmu agama mereka kurang. Mereka mungkin hanya bermula dengan perasaan ingin tahu dan kemudian mula berminat dan jika tidak dibendung akan dipengaruhi dan seterusnya menjadi pengikut.  Mereka mendapatkan maklumat melalui media sosial dan internet tanpa mengkaji kebenarannya terlebih dahulu menyebabkan mereka mudah terpengaruh. 

TLDM menubuhkan pasukan siber yang terdiri daripada pakar dalam bidang ICT untuk mengawasi anggota menerusi laman sosial mereka. Pemantauan itu akan melihat apakah kecenderungan mereka supaya dapat mengenal pasti sebarang kemungkinan lebih awal.

Adakah terdapat anggota yang mempunyai 'rasa ingin tahu' pada peringkat awal pemantauan?

Memang ada.  ‘Rasa ingin tahu’ adalah perkara yang normal kerana orang berminat tentang perjuangan atau jihad. Bagaimanapun ia sepatutnya mendapatkan maklumat yang sahih tanpa sebarang salah salah faham sehingga dipengaruhi oleh perkara yang tidak baik, apatah lagi terhadap ancaman yang boleh memusnahkan negara kita. Kita tidak boleh benarkan apa yang belaku di beberapa negara timur tengah menular di rantau ini, khususnya di Malaysia.

Kita akan memberi penjelasan dengan cara yang sewajarnya kepada anggota dengan melibatkan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) bagi memperkukuhkan siasah diri anggota dengan mewujudkan komunikasi lebih berkesan melalui pendekatan yang kreatif.

Perbarisan kawalan kehormat daripada anggota TLDM. Foto Bernama

Komen Datuk Seri berhubung laporan mengenai anggota tentera mudah terpengaruh dengan fahaman militan.

Saya berpendapat ia bukan satu kenyataan yang tepat. Mana-mana anggota tentera adalah manusia biasa. Mereka juga seperti yang lain dalam masyarakat. Perbezaannya ialah persepsi masyarakat mengenai anggota tentera adalah yang merupakan pasukan keselamatan.

Mana-mana individu boleh terpengaruh dan terdedah kepada risiko ini. Jadi, adalah tidak adil untuk menunding jari kepada anggota pasukan keselamatan berhubung isu dipengaruhi fahaman militan. Bagaimanapun, saya memahami persepsi itu sekiranya terdapat di kalangan anggota yang disyaki terlibat sebelum ini. Oleh sebab itulah saya memandang serius dan komited dengan usaha Kerajaan dan Kementerian Pertahanan menangani ancaman ini.

Pada masa ini, saya tidak melihatnya sebagai satu masalah besar. Namun kita perlu mengambil langkah-langkah awal sebagai pencegahan bagi mengelakkan sebarang penularan idelogi militan di kalangan anggota kita. Amat penting bagi kita untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan daripada mengubatinya. 

Bagaimana Datuk Seri melihat isu pendatang asing termasuk khabar angin mengenai kedatangan sejumlah besar pelarian melalui jalan laut ke negara ini? 

Kehadiran pendatang asing di Malaysia dilihat sebagai satu fonemena yang perlu ditangani segera oleh semua termasuk pihak berkuasa tempatan. Kemasukan pendatang asing ini tidak hanya melalui perairan negara tetapi ia juga melalui jalan darat. Bagaimanapun, kehadiran pendatang asing ini telah memberi kesan kepada rakyat Malaysia. Tetapi, semua kita termasuk pihak majikan dan masyarakat umum juga sebenarnya boleh memainkan peranan yang lebih baik dalam membantu pihak keselamatan dan penguatkuasaan.

TLDM telah melaksanakan pengawasan 24/7 di kawasan perairan negara. Selain menjaga kawasan berkepentingan negara, ia juga dapat memantau kehadiran bot-bot asing di perairan. Selain itu, penempatan pangkalan laut di Sabah juga memainkan peranan yang penting dalam memantau aktiviti-aktiviti pencerobohan melalui bot-bot laju ke perairan timur Sabah.  

Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin pernah menjadi Panglima Wilayah Laut 2 di Pangkalan Tentera TLDM, Kota Kinabalu.

Apakah peranan TLDM dalam menangani isu keselamatan di Laut China Selatan?

TLDM bersama agensi lain khasnya TUDM dan APMM sentiasa memantau situasi di Laut China Selatan dengan melaksanakan pemantauan 24/7 di kawasan yang berkepentingan seperti di Gugusan Semarang Peninjau yang menempatkan lima buah pulau di bawah jagaan TLDM, kawasan perairan Malaysia Barat dan perairan Sarawak. TLDM juga akan sentiasa bekerjasama dengan negara serantau dalam memastikan perairan negara terpelihara. Aspek pengkongsian maklumat khasnya periskan adalah kritikal bagi membantu keberkesanan operasi kita.

Selain itu, TLDM juga memastikan hubungan diplomatik dengan negara serantau berjalan lancar. TLDM akan melaksanakan pelbagai latihan dengan negara serantau selain daripada meningkat kemahiran dan pengetahuan warga kapal, ia juga akan meningkatkan hubungan diplomatik dan ‘people-to-people engagement’. Selain itu, TLDM akan sentiasa melaksanakan lawatan operasi ke negara-negara jiran bagi memastikan kerjasama yang terjalin dapat dipertingkatkan.

Apakah yang dilaksanakan oleh TLDM dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara, terutama mengenai isu pencerobohan di Sabah?

TLDM meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan penambahan aset-aset merupakan elemen yang penting dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara. Titik-titik panas yang berlakunya kes-kes superti penculikan, rompakan dan gangguan militan adalah jauh sehingga bot pemintas kita mengambil masa untuk ke luar dan bertambah sukar bergantung kepada keadaan laut dan cuaca. Kewujudan pangkalan laut di perairan pantai timur Sabah telah dapat mengekang pencerobohan di Sabah Timur. Konsep pangkalan laut ini sedang dikaji dan dipertimbangkan untuk kawasan perairan yang lain. 

Bagaimana dengan pangkalan laut di perairan Sabah?

Sekarang kita melaksanakan sistem Sea-Basing yang terdiri daripada bekas pelantar minyak yang dikenali sebagai Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) dan kapal terpakai yang dikenali sebagai Pangkalan Laut Tun Azizan (PL TAZ) di mana kedua-duanya diubah suai menjadi pangkalan laut. Hasil ini adalah satu inovasi kerana dahulu cabaran di laut Sulu, kita mendapati pangkalan kita jauh di pedalaman di Semporna, Tawau dan Sandakan.

Menyedari cabaran ini, kita mewujudkan konsep Sea-Basing iaitu pangkalan tentera di tengah laut yang dapat memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat dan efektif di perairan Sabah. Secara tidak langsung, ia mewujudkan faktor cegah rintang (deterrence) kerana ia dapat dilihat dari jauh dalam keadaan yang besar dengan kemudahan dilengkapi helikopter dan bot. Mereka yang berniat jahat sudah tentu tidak berani melalui kawasan itu.

Bot-bot pemintas tidak perlu lagi diletakkan di pangkalan laut di Semporna. Ia dikendalikan di pangkalan laut. Bot-bot yang berada di kawasan itu boleh terus meronda dan mengawasi kawasan perairan. Kaedah ini dapat mengoptimumkan penggunaan bot dan menjimatkan masa tindak balas sekiranya berlaku sesuatu insiden.

Oleh itu, keupayaan pemintasan dan pengawasan terus meningkat. Ia menjadi satu penanda aras terbaik kepada negara-negara lain yang menunjukkan minat terhadap apa yang kita cuba wujudkan dalam tempoh singkat. Kawasan yang sebelum ini berisiko tinggi sekarang ini menjadi kawasan selamat. Ianya adalah satu inovasi oleh ATM dan juga sejajar dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin bermesra dengan anggota TLDM. Foto Bernama

Apakah inisiatif lain dalam membantu mengawal keselamatan perairan negara?

TLDM memperkenalkan Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) dari segi tatacara tugas, amalan dan operasi pasukan tentera laut. IBK merupakan satu cara yang sangat berkesan dalam memahami sensitiviti komuniti maritim seperti nelayan di perairan. Menerusi inisiatif ini, cara rondaan anggota TLDM telah ditambah baim dengan pendekatan yang lebih efektif mengambil kira naluri dan keperihatinan kepada komuni maritim. Sebagai contoh, kita ingatkan bot-bot peronda untuk memperlahankan bot setiap kali melintasi bot nalayan dan melambaikan tangan serta bertanya khabar.

Keprihatinan tentera laut akan memupuk semangat mereka untuk berkongsi maklumat mengenai sebarang perkara yang menyentuh isu keselamatan. Mereka akan menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada kita dalam membantu mengawal perairan negara. Maklum balas yang kita terima melalui IBK amat membanggakan.

Apakah matlamat untuk TLDM?

TLDM telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan kini lebih dikenali sebagai sebuah angkatan laut yang berwibawa dengan keupayaan tempur dalam tiga dimensi iaitu permukaan, bawah permukaan dan udara termasuk aset strategik. Matlamat TLDM adalah untuk menjadi tentera laut bertaraf dunia. 

Pada hemat saya, TLDM sebenarnya dari segi aset dalam armadanya sudah boleh dianggap sebagai bertaraf dunia. Kita telah berjaya mengendalikan aset-aset moden dan berkeupayaan tinggi seperti kapal perang dan helikopter. Malah, kita turut mempunyai kapal selam yang mewujudkan elemen cegah rintang atau ‘deterrence’ dalam aspek peperangan moden. 

Tags / Kata Kunci: TLDM , Kagat , Lautan , ATM , Tentera Laut , KD Kinabalu

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan