PAS Penentu Pemilik Kerusi Parlimen Permatang Pauh

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 3:51 PM

(Ubah saiz teks)

Analisis mStar

SESUATU yang pelik dalam sesebuah pilihan raya apabila bacaan sikap mengenai pola sokongan pengundi terhadap sesuatu parti politik masih belum dapat dibaca walaupun tempoh berkempen berbaki kurang 24 jam.

Apa yang boleh digambarkan ialah situasinya bercampur-campur.

Sama ada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Suhaimi Sabudin yang menjadi taruhan Barisan Nasional (BN), kedua-dua mereka dilihat menerima sambutan yang baik di kalangan pengundi Permatang Pauh.

Namun pujian awal harus diberikan kepada Suhaimi kerana berjaya memberi ‘persembahan’ yang baik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Bagi Dr Wan Azizah pula, penerimaan masyarakat terhadapnya memang tidak boleh dipertikai, lebih-lebih lagi beliau sememangnya tidak asing di kalangan penduduk setempat.

Dengan gaya bersahaja bersama kipas ditangannya, wanita berusia 63 tahun itu juga ‘sporting’ melayan orang ramai, termasuk apabila diminta menendang bola mahupun berbasikal.

AWAS PERMATANG PASIR

Culaan terkini di semua 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Permatang Pauh menunjukkan Dr Wan Azizah atau lebih senang dipanggil Kak Wan masih berada di kedudukan selesa.

Berdasarkan rekod terdahulu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), PKR menang di 22 PDM, sementara BN menguasai enam PDM.

Sehingga samalam, rata-rata laporan daripada PDM khususnya yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan Penanti memberi maklum balas positif bagi memastikan Dr Wan Azizah mempertahankan kerusi PKR di Permatang Pauh.

Bacaan di atas kertas juga menunjukkan PKR masih berjaya mengawal PDM dalam DUN Permatang Pasir yang menjadi penyumbang tertinggi kemenangan parti itu dalam PRU-13 yang lalu. BN tewas di semua sembilan PDM dalam DUN Permatang Pasir pada PRU-13 yang lalu.

Bagaimanapun Dr Wan Azizah dan jenteranya tidak boleh menarik nafas lega kerana laporan akhir menunjukkan wujudnya gelombang perubahan di beberapa kawasan dalam DUN Permatang Pasir yang majoritinya adalah pengundi PAS.

Tinjauan secara rawak mStar Online di beberapa kawasan dalam kubu kuat PAS itu mendapati kebanyakan pengundi masih keliru dengan sikap dan pendirian parti itu terhadap rakan sekutunya iaitu PKR dan DAP.

Lebih mengejutkan, beberapa pengundi khususnya yang berumur sekitar 40 tahun ke atas menyatakan mereka masih tidak mempunyai garis panduan jelas mengenai sama ada perlukah mereka memangkah calon yang tidak menyokong hudud.

Pengundi dalam PDM Tanah Liat, Kubang Semang, Bukit Indera Muda, Kampong Pelet dan Permatang Ara pada dasarnya masih belum membuat keputusan yang jelas.

Keputusan di lima PDM berkenaan pada PRU-13 menunjukkan Pakatan Rakyat menang dengan perbezaan bawah 600 undi. Kerisauan di lima PDM ini juga perlu bersandarkan kepada peratusan keluar mengundi yang dijangka merosot ekoran hari pengundian dibuat pada hari bekerja.

Jika hampir separuh daripada pengundi PAS dalam PDM terbabit tidak keluar mengundi, harapan untuk calon ‘underdog' seperti Suhaimi untuk menang di Permatang Pauh agak cerah.

HUDUD

Isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjadi senjata paling berkesan yang dimainkan PKR dalam memastikan rakyat Permatang Pauh menolak parti pemerintah.

Namun dalam masa yang sama mereka dilihat memandang rendah terhadap isu dalaman pakatan pembangkang berhubung pelaksanaan hudud. Perlu diakui hudud adalah isu yang boleh menggugat undi kepada Dr Wan Azizah.

BN sendiri dilihat bijak menggunakan hudud sebagai senjata rahsia. Memilih untuk tidak bercakap mengenai hukum Islam itu secara terbuka, jentera BN kelihatan galak memainkan isu berkenaan di peringkat PDM khususnya di kubu kuat PAS.

Modus operandinya mudah, perang saraf mula tersebar di saat-saat akhir dengan membangkitkan pendiran PKR yang tidak menyokong hudud mentara DAP menolak hudud.

Nampaknya permainan BN dalam isu ini dilihat berjaya apabila sebilangan besar pengundi PAS mungkin memilih jalan mudah demi perjuangan mereka dengan tidak keluar mengundi.

Propaganda seperti ‘1 undi kepada PKR, 1 undi menolak hudud’ dilihat agak berkesan dalam menanam sentimen kebencian terhadap parti sekutu PAS itu.

Di kalangan pemimpin PKR mereka sendiri memilih untuk enggan mengulas lanjut apabila dibangkitkan mengenai sama ada hudud bakal memberi kesan dalam PRK kali ini.

Sikap ‘denial’ atau penafian segelintir pimpinan PKR seperti Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) PRK Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin juga pada dasarnya menambah kemarahan pengundi PAS.

Kenyataan bahawa hudud bukan isu besar dalam PRK Permatang Pauh dianggap angkuh kerana beliau seolah-olah menafikan suara akar umbi penyokong Pakatan Rakyat khususnya ahli PAS.

Berbeza dengan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, beliau dilihat lebih realistik apabila mengakui bahawa hudud sememangnya bakal memberi kesan kepada PKR.

Bercakap kepada mStar Online baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Katil itu mengakui PKR berkemungkinan kehilangan kira-kira 6,000 undi daripada pengundi PAS disebabkan isu hudud.

Ternyata angka itu wajar menimbulkan kebimbangan PKR sekiranya isu yang menjadi ‘nadi’ penyokong dan ahli PAS itu tidak ditangani segera.

PAS DITINGGALKAN

Pada dasarnya, Dr Wan Azizah mungkin masih boleh kembali ke Parlimen selepas menang di kerusi Permatang Pauh sebelum ini. Namun perjalanannya ke sana hanya dipimpin PKR dan DAP sedangkan PAS ditinggalkan dibelakang.

Sikap PKR dan DAP yang masih ‘bertegang urat leher, berkeras buku lidah’ berhubung hudud meninggalkan kesan mendalam terhadap PAS.

PAS Permatang Pauh bukan sahaja ditinggalkan PKR dan DAP, malah langkah mereka juga umpama tidak berpenghujung apabila tiada amanat jelas daripada 'Tok Guru’ menjelang hari pengundian esok.

‘Kehilangan’ Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepanjang kempen PRK Permatang Pauh juga mengecewakan ahli parti itu.

Perasaan tidak tenang dan tertanya-tanya mengenai signal yang cuba disampaikan Hadi juga masih belum jelas.

Walaupun PAS Pusat mengeluarkan arahan supaya membantu PKR namun ia tidak disertakan dengan tindakan apabila Hadi serta kumpulan ulama besar PAS langsung tidak tunjuk muka sepanjang tempoh berkempen.

Namun dalam tempoh sebelum pukul 12 tengah malam Rabu, macam-macam perkara boleh terjadi.

Perang saraf saat-saat akhir mampu mempengaruhi pengundi khususnya di kalangan orang PAS yang boleh dianggap sebagai penentu kemenangan sama ada berpihak kepada Dr Wan Azizah ataupun Suhaimi.



iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan