Suruhanjaya Baharu Harus Wujudkan Dasar Jelas Isu Pekerja Asing

Diterbitkan: Jumaat, 14 November 2014 4:58 PM

Pekerja asing tidak sah masih menjadi isu utama di negara ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan atau suruhanjaya baharu yang bakal diwujudkan untuk menangani isu pekerja asing perlu mewujudkan dasar yang jelas dalam pengambilan pekerja asing meliputi pekerja sah.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata dasar tersebut penting bagi mengawal kebanjiran pekerja asing yang mengundang pelbagai ancaman jenayah serta rasa tidak puas hati rakyat negara ini.

 

"Badan baharu itu juga perlu melihat pekerja asing dari aspek keselamatan (negara) dan bukannya sebagai keperluan tenaga kerja sahaja. Jika tidak cukup, baru majikan perlu ambil pekerja.

"Jika pengambilan pekerja asing mendatangkan masalah, maka lebih baik majikan menghentikan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sebuah badan atau suruhanjaya baharu bakal diwujudkan bertujuan menangani isu pekerja asing meliputi pekerja sah dan tanpa izin.

Ahmad Zahid berkata, badan yang tidak akan terlibat dengan mana-mana kementerian itu diwujudkan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shamsuddin bagaimanapun berkata, tindakan yang bakal diambil oleh badan tersebut perlu dilakukan secara berperingkat supaya tidak mendatangkan sebarang kesan buruk terhadap industri dan majikan serta tidak mengganggu pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berharap badan baharu itu akan dapat menyelesaikan isu pekerja asing yang sudah berleluasa sejak dahulu.

Katanya, suruhanjaya berkenaan perlu menyiasat dan mengenal pasti punca utama kemasukan pendatang tanpa izin yang mencetuskan masalah jenayah di negara ini.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan AntiDadah (Pencegah), R Jeevan pula berkata suruhanjaya yang bakal ditubuhkan itu harus melibatkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan bagi mengukuhkan lagi operasi badan berkenaan.

"Suruhanjaya itu harus berbincang dengan Jabatan Tenaga Kerja supaya mengenal pasti sektor-sektor yang betul-betul memerlukan pekerja asing agar tidak mengambil pekerja asing bagi sektor yang tidak memerlukan golongan itu," katanya kepada Bernama.

Dalam mengulas lanjut, Jeevan berkata, badan baharu tersebut harus dilaksanakan dengan kadar segera, berikutan pekerja asing yang melebihi pekerja tempatan dalam sektor pengeluaran khususnya.

Selasa lepas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata dianggarkan terdapat 6.7 juta pendatang asing di Malaysia dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta sahaja mempunyai permit yang sah.

Bagaimanapun katanya jumlah sebenar pekerja asing yang berada di negara ini mungkin lebih ramai dengan anggaran dibuat mengikut nisbah seorang pekerja yang mempunyai permit membawa sekurang-kurangnya seorang pekerja yang tiada permit.

Jeevan turut berkata pegawai yang menganggotai suruhanjaya berkenaan perlu mengetahui selok-belok majikan dan pekerja asing, sekali gus mencari dalang di sebalik kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa semua kementerian yang terlibat dengan isu kebanjiran pekerja asing supaya bekerjasama menangani masalah ini.

Setiausaha Agungnya, N Gopal Kishnam dalam satu kenyataan berkata, tindakan terhadap majikan yang menggunakan pelbagai taktik dan muslihat untuk tidak menggaji pekerja tempatan juga harus diambil perhatian.

"Taktik mereka termasuk menawar pelbagai skim pemberhentian secara sukarela bagi menggantikan pekerja tempatan dengan pekerja asing yang dibayar gaji amat rendah," katanya sambil menambah taktik dan muslihat ini digunakan majikan sejak 1990-an lagi.

Katanya, dalam tempoh ini, banyak kesatuan telah membuat laporan mengenai sikap tidak beretika majikan kepada Kementerian Sumber Manusia sebagai pertikaian perusahaan, namun yang amat mengecewakan ialah kes-kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan.

"Malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi satu trend di kalangan majikan bahawa mereka lebih suka untuk merujuk kes-kes Perjanjian Kolektif ke Mahkamah Perusahaan dan bukannya berunding terus dengan Kesatuan Sekerja. Fenomena ini telah melemahkan lagi kuasa tawar-menawar kesatuan sekerja," kata Gopal Kishnam.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan