Inisiatif PPPM Capai Kejayaan Menggalakkan - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 18 Jun 2014 11:23 AM

Muhyiddin bersama Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, timbalannya, P.Kamalanathan dan Datuk Mary Yap Kain Ching serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof ketika pelancaran Laporan PPPM 2013 di Putrajaya.

(Ubah saiz teks)

BEBERAPA inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dan ada yang mencapai sebahagian daripada Penunjuk Prestasi Utama (KPI), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Contoh dua inisiatif yang dilaksanakan tahun lepas dan menunjukkan pencapaian baik ialah berkaitan dengan akses iaitu enrolmen prasekolah dan transformasi pendidikan vokasional.

Ketika membentangkan laporan tahunan 2013 PPPM, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, dua inisiatif berkaitan ekuiti juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan iaitu Program Transformasi Daerah dan Program Pendidikan Inklusif.




Beliau berkata, laporan tahunan PPPM merupakan dokumen penting yang perlu dirujuk untuk penambahbaikan tindakan terutama terhadap 25 inisiatif yang dilaksanakan tahun lepas.

"Apa pun pencapaiannnya, harus dijadikan panduan untuk kementerian merangka strategi dan pendekatan yang lebih baik," katanya pada majlis pelancaran laporan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) di sini, Selasa.

Dari aspek kualiti yang diberi penekanan di peringkat ini, Muhyiddin berkata, enam inisiatif telah mencapai KPI iaitu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Literasi dan Numerasi (LINUS), Profisiensi Guru Bahasa Inggeris (ProELT), Transformasi Institut Pendidikan Guru, Piagam Pemimpin Sekolah dan Saranan Ibu Bapa.

Selain itu, beliau berkata, dua inisiatif yang berkait dengan kecekapan iaitu Transformasi Kementerian dan Pembaikan Infrastruktur Asas turut mencapai KPI.

Beliau berkata, pada tahun lepas inisiatif menyentuh perpaduan iaitu Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) berjaya dilaksanakan.

Pada tahun lepas juga, enrolmen prasekolah yang dicapai berada pada 81.7 peratus (793,269 murid) daripada kanak-kanak berumur 4 dan 5 berbanding 80.05 peratus pada tahun 2012.

"Ini merupakan pencapaian yang menggalakkan dengan beberapa usaha kerajaan memberi pelbagai insentif seperti membuka sebanyak 8,883 kelas prasekolah pada tahun lepas bagi menampung 192,173 (24.2 peratus) murid.

"Kementerian yakin sekiranya kadar enrolmen murid di peringkat prasekolah diberi perhatian, kita mampu mencapai 100 peratus enrolmen merentas semua peringkat sekolah menjelang 2020," katanya.





Mengenai inisiatif Transformasi Pendidikan Vokasional, Muhyiddin berkata, perubahan dalam landskap struktur pendidikan negara dalam bidang ini menjadi pilihan utama murid serta ibu bapa sebagaimana amalan negara maju.

Bagi Program Transformasi Daerah, beliau berkata program yang dirintis ialah di Sabah dan Kedah untuk meningkatkan prestasi sekolah di samping merapatkan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar.

Program rintis ini memperlihatkan keberhasilan signifikan apabila kadar peningkatan keputusan peperiksaan kebangsaan (UPSR,PMR,SPM) di kedua-dua negeri adalah yang tertinggi malah yang terbaik bagi kedua-dua negeri sejak 10 tahun lalu.

"Jurang pencapaian antara sekolah bandar-luar bandar di Sabah dan Kedah nampaknya semakin mengecil dan jauh lebih baik daripada purata bagi seluruh negara.

"Kejayaan ini amat membanggakan dan memberi kekuatan kepada kementerian untuk memperluas lagi Program Transformasi Daerah ini ke seluruh negara mulai tahun depan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pelaksanaan inisiatif PPPM 2013 telah memberi pengajaran dan pengalaman bagi kementerian untuk meningkatkan usaha.

Umpamanya kejayaan beberapa sekolah dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 yang setanding dengan pendidikan terbaik di dunia boleh dijadikan contoh bagi sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan prestasi.

"Sokongan dan kerjasama daripada pihak berkepentingan khususnya para ibu bapa amat ditagih. Saya rasa amat bangga apabial dimaklumkan ada sekumpulan jurulatih dari kalangan ibu bapa yang secara ikhlas membantu kementerian untuk menarik sokongan ibu bapa lain untuk sama-sama mencapai kejayaan PPPM," katanya.

Muhyiddin berkata, matlamat PPPM seharusnya dipahat kemas dalam setiap sanubari warga pendidik agar semua senada dalam melaksanakan transformasi pendidikan.

"Saya menyeru semua barisan pemimpin baik di peringkat kementerian dan pihak berkepentingan agar menjadikan PPPM sebagai keutamaan, satu agenda dan satu impian," katanya. 

Tags / Kata Kunci: PPPM , Tan Sri Muhyiddin Yassin , KPI

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan