PPBN Pemangkin Masa Depan Bola Sepak Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 11 April 2014 4:27 PM

PPBN turut mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia dan pelan ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

NAMA Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari memang sinonim dengan bola sepak Malaysia walaupun sudah 23 tahun beliau meninggal dunia. 

Kehilangannya dirasai sehingga kini kerana ketangkasannya di padang yang membuatkan nama beliau terus disebut-sebut dan sebagai ingatan terhadap kehebatannya dalam dunia bola sepak Malaysia,  Akademi Bola Sepak Negara dinamakan sebagai Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari yang terletak di Gambang, Kuantan.

Biarpun terdapat acara-acara sukan lain berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa, mengungguli ranking pertama dunia, meraih pingat di pentas dunia, tetapi acara bola sepak tetap menjadi perhatian utama di negara kita.

Sudah lumrah sukan bola sepak, bila kalah dikeji, bila menang dipuji. Aksi tidak konsisten skuad negara menjadi perhatian bukan sahaja kepada peminat-peminat sukan, tepai kerajaan sendiri mengambil langkah dari akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air.

Langkah diambil bukan hanya di atas kertas, tetapi telah dibukti dengan melaksanakan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bagi Fasa Pertama bermula 2014-2020.

Menyedari kemerosotan sukan bola sepak negara, Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan pada tahun 2004 telah menyenaraikan acara ini dalam senarai 19 jenis sukan yang perlu diberi perhatian khusus dan dibangunkan secara pesat.

Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, langkah-langkah yang diambil pada masa itu tidak menyeluruh. Tidak membawa kesan positif yang mampan.

Bagaimanapun, inisiatif mengenal pasti bakat telah diberi penekanan dan menjadi titik tolak kepada usaha pembangunan bakat muda sehingga kini.

Pada tahun 2013, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berusaha mengambil inisiatif agar pembangunan sukan bola sepak negara dapat dilaksanakan dengan menyeluruh terhadap aspek pembangunan bakat muda di peringkat bawah.

"Memang telah wujud satu program pembangunan bola sepak sebelum ini yang dilaksanakan dengan baik dan telah meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun pada 2019.

"Bagaimanapun, pelan pembangunan terbaharu ini akan memuatkan lebih banyak penambahbaikan dalam usaha melahirkan lebih ramai wira bola sepak negara.

"Pun begitu kita sedia maklum, pelan ini bukan untuk jangka masa singkat bagi meraih kejayaan, tempoh enam tahun adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," Khairy.

Menurut Khairy, PPBN Fasa Pertama ini mengandungi sasaran yang jelas dan terperinci dan di akhir fasa ini nanti, lanskap program pembangunan bola sepak dijangka bakal berubah dengan penambaikan seperti berikut:

1. Penerapan falsafah atau DNA permainan bola sepak negara secara menyeluruh di setiap peringkat;

2.Peningkatan jumlah bakat muda di pusat latihan daripada 5,454 pemain pada tahun 2013 kepada 51,125 menjelang 2020;

3. Bilangan Akademi Tunas sebelum ini (Pusat Latihan MyKids Soccer) akan ditambah secara berperingkat kepada 150 menjelang tahun 2020, berbanding 14 sedia ada. 

Sementara itu bilangan pusat Latihan Daerah untuk program bola sepak di sekolah menengah juga akan ditambah menjadi 150 berbanding 44 yang sedia ada;

4. Penambahan bilangan jurulatih yang berlesen daripada 387 pada tahun 2013 kepada 2,472 pada tahun 2020;

5.Peningkatan bilangan pertandingan yang berkaitan daripada 16 pada tahun 2013 kepada 37 pada tahun 2020;

6. Akademi Bola Sepak Negara yang dirasmikan ini dengan kemudahan fasa pertama sebanyak 5 padang dan sebuah rumah kelab akan dicadangkan untuk dinaik taraf sebagai akademi bertaraf lima bintang.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melihat bakat-bakat muda berlatih di Akademi Sukan Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.


Akademi ini akan mempunyai kemudahan yang setaraf dengan sekolah berasrama penuh lain bagi menampung program pembelajaran setempat bagi semua pemain yang terlibat.

Dalam pada itu, PPBN ini mengandungi lima teras strategik dengan objektif tertentu.

Teras strategik pertama ialah untuk membentuk gaya, meningkatkan kualiti dan membina kendiri dengan DNA bola sepak negara. DNA bola sepak ialah satu falsafah dan gaya permainan tersendiri yang jelas, di mana konsep DNA ini akan dijadikan kunci kejayaan dan paksi pembangunan bola sepak negara.

Kepentingan DNA telah diperakui oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), di mana dalam satu kajian yang telah dijalankan tahun 2010, badan dunia ini mendapati negara-negara yang berjaya dalam bola sepak seperi Sepanyol, Belanda dan Jerman memiliki DNA bola sepak mereka tersendiri.

Malaysia jelas ketinggalan di dalam aspek ini, melangkah ke hadapan, kita mahukan satu falsafah permainan unik yang mengambil kira bukan sahaja cara dan kemampuan fizikal pemain kita, tetapi juga berusaha untuk menanamkan ciri-ciri keberanian dan nilai-nilai murni agar kita mampu bersaingan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Teras strategik kedua adalah untuk mengenal pasti dan membentuk wira boal sepak negara. Apa yang penting ialah memastikan agar tiada bakat muda yang tersisir melalui wujudnya satu proses pencarian bakat efektif, inklusif serta terbuka.

Setiap pemain berbakat akan diberi peluang untuk maju ke hadapan memlalui penstrukturan semula proses pencarian bakat. Satu landasan saluran bakat jelas akan diwujudkan bagi anak muda di antara 7 hingga 12 tahun akan dilatih di Akademi-akademi Tunas di setiap daerah.

Untuk pelatih-pelatih di antara umur 13 hingga 17 tahun pula, bakat-bakat terbaik dari seluruh pelosok negara akan dipilih untuk ditempatkan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari dengan kemudahan dan kepakaran jurulatih kelas pertama.

Mereka yang tidak terpilih ke akademi ini masih berpeluang mengasah bakat masing-masing melalui program latihan tersusun di Sekolah-sekolah Sukan Malaysia, Sekolah-sekolah Sukan Negeri dan 150 Pusat-pusat latihan negeri.

Pemilihan mereka ke pusat-pusat latihan yang disebutkan itu akan dijalankan oleh panel pemilih yang berkelayakan dan berkecuali.

Panel ini akan memantau prestasi para pelatih di semua peringkat dan menerima laporan berkala sepanjang tahun. Setiap pelatih perlu menjaga dan meningkatkan prestasi masing-masing untuk sama ada kekal, atau berpeluang ke pusat latihan yang lebih elit.

Teras strategik ketiga ialah untuk meluaskan akses kemudahan yang menepati piawaian kepada semua.

Di bawah PPBN pelbagai penambaikan akan dilakukan dengan jumlah pusat latihan diperbanyakkan demi memastikan lebih ramai bakat muda dilatih.

Setiap daerah sekurang-kurangnya satu Akademi Tunas dan Pusat Latihan Daerah menjelang 2020.

Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang akan dinaik taraf selaras dengan kedudukannya sebagai kemuncak program pembangunan bola sepak negara.

Intipati teras strategik yang keempat pula ialah bagi meningkatkan pembangunan kejurulatihan yang lebih ramai dan berkeupayaan tinggi untuk memastikan pelan ini berjaya dilaksanakan.

Tumpuan akan diberikan kepada konsep falsafah atau DNA bola sepak, serta penekanan terhadap aspek pembangunan bakat muda yang memerlukan kemahiran dan pendekatan khusus.

Teras terakhir ialah mengukuhkan struktur pertandingan di pelbagai peringkat.

Di bawah PPBN, jumalah pertandingan akan diperbanyakkan bagi menyediakan platform untuk anak-anak muda ini menguji diri mereka, mengaplikasikan latihan yang telah diterima dan yang paling penting, memberikan pendedahan dan pengalaman berguna kepada mereka.

Jurulatih pula boleh menggunakan pertandingan untuk menilai keberkesanan program latihan yang mereka kendalikan, seterusnya memperbaiki sebarang kelemahan yang wujud.

Dalam hal ini, pertandingan berkonsepkan liga akan diperbanyakkan untuk memberi pendedahan kompetitif secara berterusan kepada para pemain.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan