Pahit Tapi Benar

Diterbitkan: Khamis, 5 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shad Saleem Faruqi
Shad Saleem Faruqi

DALAM perang tiada siapa menang, cuma siapa kalah lebih teruk.

Atas sebab inilah semua pencinta keamanan di serata tempat merasa lega apabila persetujuan sementara nuklear dicapai Ahad lalu di Geneva antara Iran dan enam negara paling berkuasa di dunia.

Menurut persetujuan itu, Iran akan menghentikan pogram medium enriched uranium (MEU), berhenti mengembangkan tapak nuklear dan bersetuju untuk membenarkan International Atomic Energy Agency (IAEA), sebuah agensi di bawah PBB, mengadakan lawatan harian.

Sebagai imbalan, hak Iran untuk mengembangkan tenaga nuklear bagi tujuan aman diiktiraf.

Jika persetujuan ini berjaya mendorong Amerika Syarikat untuk tidak lagi tunduk di bawah tekanan Israel untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iran, maka setiap orang yang membenci kekerasan boleh benar-benar merasa lega.

Sesuatu yang sungguh menakjubkan jika ketegangan di Timur Tengah boleh diselesaikan menerusi dialog dan tolak-ansur, tanpa perang!

Leteran dan bebelan pemimpin Israel yang menyebut bahawa “rejim paling berbahaya di dunia (Iran) telah mengambil langkah jelas ke arah menghasilkan senjata paling berbahaya di dunia” perlu diabaikan.

Ada beberapa kebenaran – yang mungkin pahit bagi Israel dan Amerika Syarikat – yang perlu kita perhatikan.

Sikap Iran:

Iran adalah penandatangan Nuclear Non-Proliferation Treaty. Israel bukan. Iran tidak memiliki bom nuklear. Israel memiliki bom nuklear dan berahsia tentangnya.

Tiada bukti sama sekali bahawa Iran menggunakan program nuklearnya untuk menghasilkan senjata. CIA, FBI, dan IAEA telah mengesahkan hakikat ini.

Iran telah menyatakan secara terbuka bahawa ia mahu memperkaya uranium untuk tujuan perubatan nuklear dan kuasa elektrik.

Menurut perjanjian Nuclear Non-Proliferation, ia mempunya hak mutlak untuk berbuat demikian.

Perkara yang dilakukan Iran tidak berbeza dengan yang dilakukan oleh Brazil, Argentina, Jepun, dan negara-negara lain di bawah penyeliaan IAEA.

Pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2005 bahawa pengeluaran, pengumpulan atau penggunaan senjata nuklear adalah tidak Islami.

Sejak sekitar tahun 2003-2005 lagi Iran telah cuba meyakinkan Barat dengan membataskan jumlah centrifuge Iran kepada 3,000 dan menggantung program nuklearnya selama hampir dua tahun.

Jika Barat memberi respons sejak dulu, nescaya perjanjian yang baru dicapai Ahad lalu tentu telah boleh dicapai pada tahun 2005 lagi!

Perlu diingat juga bahawa Iran tidak pernah menyerang atau menduduki mana-mana negara sepanjang sejarahnya.

Israel secara haram telah menduduki sebahagian besar tanah Palestin, Syria, dan Lebanon.

Tindakan negara itu dibantah oleh Iran dan banyak negara dan individu lain, termasuk individu dalam Israel sendiri.

Iran menyokong Arab Peace Initiative tahun 2002 yang disokong oleh Liga Arab yang mendukung “penyelesaian dalam bentuk dua negara” dan mengiktiraf Israel.

Walaupun propaganda Amerika dan Israel menonjolkan Iran sebagai sebuah rejim teokratik yang tidak toleran, negara itu membenarkan pelbagai agama dan budaya untuk terus wujud di dalamnya.

Terdapat sekitar 25,000 orang Yahudi di Iran dan hak mereka dipelihara.

Saya sendiri telah melawat pusat peribadatan orang Armenia dan Zoroaster di Teheran. Perlembagaan Iran dalam Perkara 64 memperuntukkan kerusi dalam dewan perundangan Iran bagi penganut Zoroaster, Yahudi, Armenia, Assyria dan Kristian Chaldea.

Israel:

Selama 65 tahun Israel telah melakukan keganasan dan penghinaan ke atas bangsa Palestin.

Kebuasan mereka boleh disifatkan seperti holocaust yang dilakukan oleh Nazi Jerman, walaupun pada skala yang berlainan.

Selama 65 tahun Israel membelah-belah tanah Arab, mengusir penduduk peribumi, membunuh kalangan yang enggan pergi, membina penempatan secara haram, menggunakan senjata-senjata yang telah diharamkan, melakukan pembersihan etnik dan penyembelihan beramai-ramai seperti yang berlaku di kem Sabra dan Shatila pada tahun 1982.

Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan berkali-kali mengancam untuk menyerang Iran dengan peluru berpandu jika negara itu terus memperkaya uranium, walaupun untuk tujuan aman.

Israel sendiri mengeluarkan senjata nuklear secara rahsia tetapi pada masa yang sama mengancam Iran yang mahu menghasilkan tenaga nuklear.

Ini sikap Israel yang tidak rasional dan menghina.

Amerika Syarikat:

Presiden Obama telah memberikan Iran kata dua untuk menggantung kegiatan pengkayaan uranium, menutup kemudahan pengkayaan uranium di Fordow dan menyerahkan uranium yang telah diperkaya ke tahap kemurnian 20% yang berada dalam simpanannya.

Dari segi perundangan, tuntutan Amerika Syarikat itu tidak mempunyai asas.

Pada peringkat umum, perlu disebutkan bahawa Israel memandang secara lewa sokongan diplomatik, ketenteraan dan kewangan yang diberikan kepadanya oleh AS.

Walaupun ia hanya sebuah negara kerdil, Israel telah berjaya memaksa AS untuk mematuhi setiap jejak langkahnya selama 65 tahun.

Perjanjian nuklear dengan Iran dan perdamaian dengan Arab akan mendatangkan banyak kebaikan kepada Amerika Syarikat.

Tiba masanya untuk kerajaan AS terlebih dahulu menjaga kepentingannya sendiri dan tidak tunduk kepada ugutan satu sekutu yang tidak tahu berterima kasih.

Kesimpulannya, pihak yang menentang perang dan menganggap senjata nuklear sebagai satu penyalahgunaan sains yang mengaibkan pasti mengalu-alukan diplomasi antara Iran dan negara kuasa dunia serta mengutuk Israel kerana racauannya dan tindakannya untuk menakut-nakutkan dunia.

> Shad Saleem Faruqi adalah Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. Pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan penulis sendiri sepenuhnya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan