suria

Kisah Mengaibkan Yang Sama

Wong Chun Wai
Wong Chun Wai
Wong Chun Wai

JIJIK dan mengaibkan. Tidak kira apa punca kehilangan berbilion-bilion ringgit, sama ada akibat kecuaian, keputusan yang dibuat secara cincai, kekurangan kemampuan, kebodohan, pecah amanah atau lebih buruk, korupsi, hakikat ini terlalu pedih untuk ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Setiap tahun kita membaca tentang perkara-perkara yang buruk namun tidak banyak khabar yang kita terima tentang hukuman yang dikenakan terhadap pihak yang terlibat.

Maka, siapa boleh mempersalahkan para pembayar cukai jika mereka menganggap laporan Ketua Audit Negara dibentangkan setiap tahun di Parlimen hanya semata-mata kerana ia diwajibkan oleh undang-undang? Selain debat panas, tidak banyak yang boleh dilakukan.

Banyak di kalangan kita yang menganggap para kakitangan awam yang degil tidak gentar tentang akibat daripada tindakan mereka meluluskan pembelian barangan pada harga yang terlalu tinggi misalnya.

Bagaimana hendak dijelaskan pembelian 20 jam dinding pada harga RM3,810 setiap satu sedangkan harga sebenarnya hanya RM100 untuk satu unit?

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memberikan jawapan mudah “bahawa lembaga perolehan memberi kontrak kepada kontraktor yang menawarkan nilai terbaik untuk wang (yang dibelanjakan).”

Ya, itulah jawapan mereka – “nilai terbaik untuk wang.” Kementerian itu juga memberitahu Ketua Audit Negara bahawa “kementerian telah mendapatkan penilaian teknikal terbaik untuk membandingkan harga barangan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat secara atas talian sebelum membuat keputusan.”

Saya tidak rasa ada sesiapa memerlukan “penilaian teknikal” untuk membeli 20 jam dinding, dan kita merasa gerun memikirkan bahawa “penilaian teknikal terbaik” telah menghasilkan keputusan untuk membeli jam-jam berkenaan pada harga yang begitu tinggi!

Sesungguhnya, semua anggota lembaga berkenaan perlu dipecat kerana yang diperlukan hanya cara berfikir yang biasa. Bagaimanapun, nampaknya langkah memecat pegawai-pegawai di peringkat itu bukan sesuatu yang biasa dibuat. Kita diberitahu bahawa jam-jam berkenaan “berjenama”, kerana itu harganya berbeza.

Tapi bagaimana pula dengan tiga mesin pengimbas yang dibeli dengan harga RM14,670 setiap satu, 70 kali ganda lebih tinggi daripada harga yang dianggarkan, iaitu pada harga RM200 setiap satu?

Di mana sebenarnya rasa tanggungjawab, maruah, kebertanggungjawaban dan kredibiliti pihak terbabit? Bagaimana pembaziran dana secara terang-terangan sedemikian boleh dibiarkan terjadi saban tahun?

Laporan tentang kakitangan Kementerian Kesihatan yang mengemukakan tuntutan meragukan berjumlah antara RM550,000 hingga RM600,000 untuk pakaian dan kasut jelas perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan audit mendedahkan sebanyak 1,014 kakitangan kementerian itu di 10 pusat terbabit mengemukakan tuntutan berkenaan dengan menggunakan bukti pembayaran yang meragukan. Premis-premis yang disebutkan dalam resit pembayaran tidak wujud sama sekali.

Selain itu, terdapat kehilangan aset polis bernilai RM1.3 juta dalam masa tiga tahun, termasuk 136 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 27 buah kenderaan, 26 buah walki-talkie dan 22 buah radio.

Jika diambil kira dari segi nisbah, terdapat 100,000 anggota polis dalam negara ini, satu jumlah yang besar, maka angka walkie-talkie dan radio yang hilang itu adalah kecil.

Anggota polis adalah manusia biasa dan kehilangan peralatan berkenaan dalam persekitaran operasi yang sukar bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Kita juga sedar bahawa anggota polis mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari untuk menjaga keselamatan jalanan dan rumah kita.

Tetapi kehilangan senjata api adalah sesuatu yang serius, apatah lagi kadar jenayah berat kebelakangan ini dikatakan meningkat kerana senjata api mudah diperolehi. Sudah pasti kita tidak mahu penjenayah menggunakan senjata api miliki pihak polis.

Kita juga ingin tahu bagaimana 27 buah kereta polis boleh hilang.

Semoga kita bukan hanya mendapat jawapannya, tetapi juga melihat tindakan jelas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kehilangan itu.

Persoalan yang terus-menerus timbul di benak rakyat Malaysia ialah: “Apakah perkhidmatan awam belajar daripada kelemahan-kelemahan yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara?”

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), sebagai jawatankuasa yang secara tradisinya adalah yang paling berkuasa di Parlimen, perlu bertindak lebih daripada sekadar mempertimbangkan penemuan-penemuan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Di negara lain, menteri dan kakitangan awam akan menggigil jika mereka dipanggil oleh PAC untuk menjelaskan sesuatu yang tidak kena dalam membelanjakan wang yang diperuntukkan kepada mereka.

Sejak zaman Tan Sri Ahmad Nordin Zakaria lagi, jawatan Ketua Audit Negara telah teruji. Pujian perlu diberikan kepada kerajaan kerana tidak mengusik laporan audit dan menerbitkannya seadanya.

Bagaimanapun, setidak-tidaknya di mata orang awam, satu perkara yang sentiasa gagal dilakukan ialah mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

SPRM perlu bersikap pro-aktif dan menjalankan penyiasatan ke atas pihak yang bukan saja menggelembungkan harga barangan yang dibeli, malah juga menerima rasuah dalam proses itu. Perbuatan ini adalah korupsi terang-terangan yang menelan wang pembayar cukai.

Usaha mengurangkan subsidi kerajaan bagi barang-barang asasi dan seruan terhadap rakyat untuk berjimat-cermat tidak bermakna jika pembaziran dan kebocoran yang terang-terangan ini berlaku terus dibiarkan.

Artikel Sebelum

Apakah Melayu Akan Berubah?

Artikel Berikut

20 Petua Untuk Temuduga...

Artikel Lain