Penentangan Yang Histerikal

Diterbitkan: Selasa, 10 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NAMPAKNYA di negara kita Malaysia, seperti tiada penghujung kepada permainan politik.

Kita menyangka pertempuran politik akan mencapai kemuncaknya sewaktu pilihan raya umum Mei lalu akan reda setelah rakyat membuat keputusan. Ternyata semua itu hanya sekadar angan-angan kosong.

Demam pilihan raya masih belum pulih jika dinilai berdasarkan pertelingkahan yang tidak berkesudahan, syak-wasangka yang terus menular dan persepsi bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik setiap satu isu.

Selepas pilihan raya, ceramah dan protes terus dianjurkan. Dalam pergelutan untuk memenangi sokongan orang ramai, tidak cukup dengan membawa pertikaian ke mahkamah. Dengan naif kita menyangka setiap orang akan mengambil waktu rehat setelah penat berkempen.

Kita semua berasa lelah dengan politik. Malah, mungkin sebahagian besar daripada kita sedang mula merasa mual. Kita menyangka ahli-ahli politik, seperti manusia biasa yang lain, ingin berehat sebentar dan menggantikan masa yang hilang untuk bersama pasangan dan anggota keluarga mereka. Tetapi nampaknya mereka seperti tidak tahu untuk berhenti.

Setiap orang bercakap tentang jenayah, peningkatan kos sara hidup dan kelembapan ekonomi yang bakal terjadi.

Kita malah turut bersembang tentang sperma orang Bosnia.

Tetapi nampaknya ada jurang antara kehidupan kita dan kehidupan ahli-ahli politik kita - tidak kira dari sebelah mana sekali pun.

Kita tidak melihat ada seorang pun dari kalangan mereka menjelaskan kepada kita mengapa ringgit semakin lemah dan bagaimana kita perlu menghadapi masalah ini, meski pun ada faktor-faktor luaran yang berada di luar kawalan kita.

Bagi ibu-bapa yang anak mereka sedang belajar di luar negara, mereka mungkin sedang melihat turun dan naik kadar pertukaran matawang dengan mata helang dan tentunya ingin mengetahui apa yang bakal terjadi.

Rakyat Malaysia juga ingin mendengar bagaimana mereka perlu bersiap-sedia dalam pasaran yang sedang goyah, ketika ahli-ahli perniagaan sedang bergelut dengan peningkatan kos dan kemerosotan penghasilan dan keuntungan. Bukan saja pengurus-pengurus syarikat yang bimbang, tetapi juga para pekerja mereka.

Ahli-ahli politik sebaliknya leka dalam dalam persaingan mereka untuk saling mengalahkan satu sama lain, sambil mencuba menonjolkan diri dengan mengemukakan tuntutan-tuntutan yang agak berbahaya semata-mata untuk melihat nama dan gambar mereka dalam media.

Parti-parti politik utama dalam barisan pemerintah – Umno, MCA dan MIC – akan mengadakan pemilihan parti tidak lama lagi. PAS juga akan mengadakan pemilihan parti, manakala DAP akan mengadakan pemilihan semula setelah berlaku kekeliruan sewaktu pengiraan undi dalam pemilihan yang lepas - kekeliruan yang menurut parti itu hanya disebabkan gangguan teknikal.

Ketiga-tiga parti utama dalam Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pemilihan di semua peringkat – dari cawangan sampai ke bahagian dan pusat.

Kita merasa agak pasti, berdasarkan kegiatan yang sedang dijalankan dan rasa terdesak yang dipamerkan oleh beberapa ahli politik, tidak banyak perkara lain yang mereka usahakan selain memastikan kedudukan mereka dalam parti terjamin atau memastikan jawatan yang dulu dipegang dapat direbut semula.

Banyak di kalangan mereka yang cuba untuk menjadi juara kelompok dengan menayang kekuatan politik mereka, dengan sesetengahnya mengeluarkan pandangan yang bernada perkauman.

Malah isu tentang filem sekali pun tidak terlepas daripada menjadi bahan politik apabila sebahagian daripada mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menggelikan hati, padahal mereka belum dan mungkin tidak akan menonton filem terbabit. Tetapi mereka wajib bercakap, lalu mereka pun membuka mulut.

Sebahagian ahli politik kita sebenarnya melihat bayang-bayang yang tidak wujud. Bagi mereka, sentiasa ada udang di sebalik batu.

Reaksi terhadap filem Tanda Putera adalah salah satu contoh. Luar biasa permusuhan yang ditunjukkan terhadap filem itu. Saya antara kelompok terawal yang dijemput oleh Datuk Shuhaimi Baba, pengarah filem itu, untuk menonton Tanda Putera dan memberi pandangan.

Saya memberitahu pengarahnya, perlu ada lebih banyak filem sedemikian kerana dunia kini mula menyangka bahawa kita hanya menonton filem tentang gangster, hantu dan suami yang memukul isteri.

Dalam Tanda Putera, kaum Cina tidak dipersalahkan atas rusuhan tersebut. Hanya komunis dan aktivis politik yang dipersalahkan. Ini perbezaan besar yang enggan difahami oleh ahli-ahli politik.

Begitu juga reaksi berlebihan terhadap The New Village. Filem ini berkenaan perkampungan baru, berlatarkan tahun 1949, ketika sebahagian besar daripada kita masih belum lahir dan negara pula sedang bergelut dengan komunis. Kita sekarang berada di tahun 2013, namun kita masih dihantui kisah lama!

Komunis di China semuanya telah menjadi kapitalis yang meminum wine mahal dari Perancis, menghantar anak ke sekolah-sekolah berasrama British, menyimpan gundik dan menjadi korup seperti juga ahli-ahli politik lain dalam sistem demokrasi!

Terlalu sedikit unsur komunis yang masih ada pada elit pemerintah di Beijing, antaranya mereka masih membawa kad keahlian parti komunis dan berpegang dengan ideologi merah untuk mengelakkan pilihan raya sebenar.

Selain itu tiada yang merah, kecuali wine yang mereka minum dan Manchester United yang mereka sokong.

Kita masih belum pasti sama ada The New Village akan diizinkan untuk ditayangkan di pawagam. Barangkali selepas selesai pemilihan parti.

Mungkin tayangannya akan diizinkan menjelang Krismas. Jika demikian halnya, penerbit filem itu perlu mengharapkan tuah yang baik, kerana tiada siapa akan peduli tentang kampung baru pada bulan Disember dan Januari, memandangkan sebahagian besar kita akan sibuk bercuti dan meraikan hujung tahun!

Musim cuti adalah waktu berparti – iaitu bersuka-ria, bukan berparti politik – dan lebih daripada sesetengah ahli politik, di waktu itu kita hanya mahu melakukan hal yang bukan-bukan dalam menyambut tahun baru.

Kita benar-benar berharap di tahun yang mendatang, permainan politik tidak berakal akan berakhir.

Untuk tahun baru nanti, bolehkah kita merayu kepada ahli-ahli politik agar mereka tidak lupa tujuan kita mengundi mereka – untuk menguruskan negara, membuatkan kita merasa selamat, menyumbat ketirisan kewangan, memerangi rasuah secara serius, menunda projek-projek mahal dan jika mungkin, berhenti menggunakan wang rakyat untuk menampal muka mereka di papan-papan iklan?

* Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Ketua Pengarang Kumpulan & Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Star

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan