suria

Peter Davis Optimis Ulangi Kemenangan

Peter Davis. Foto CHAN TAK KONG/THE STAR
Peter Davis. Foto CHAN TAK KONG/THE STAR
Peter Davis. Foto CHAN TAK KONG/THE STAR

BINTANG ‘Mixed Martial Arts’(MMA) yang serba boleh ini nyata begitu optimis dalam menghadapi perlawanan MMA terbesar di Asia, One Fighting Championship (One FC) yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2 Februari ini.

Gelaran sebagai pelakon dan model bukan penghalang bagi Peter Davis, 31, untuk menumpukan pada aksi penuh bertenaga dalam bertarung pada perlawanan bersama pesaingnya dari Indonesia, Leo Krishna.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Peter pernah mengalami kepantasan yang tidak tepat, tiada tenaga yang konsisten terutama bagi meneruskan beberapa pusingan seterusnya.

“Namun dengan beberapa pengalaman terdahulu, ia menjadikan rutin saya semakin mudah terutama dengan penyertaan saya dalam perlawanan kategori ‘lightweight’pada masa ini.

“Saya merasakan dapat menangani pertarungan dengan lebih baik. Saya lebih tenang dan selesa untuk menghadapi apa jua keadaan yang berlaku dalam perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui mStar Online sewaktu sesi latihannya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Anak kacukan Inggeris-Cina ini benar-benar mahu mencatatkan satu lagi kecemerlangan dalam One FC selepas banyak kemenangan dalam beberapa perlawanan berprestij Asia itu.

Antara kemenangannya ialah sewaktu menewaskan pesaing dari Singapura, Quek Kim Hock dalam tempoh hanya 55 saat dalam perlawanan One FC di Kuala Lumpur pada Jun tahun lepas.

Menurut Peter, beliau kini sedang mempersiapkan diri dan berusaha untuk menurutkan berat badan bagi menyesuaikan dengan perlawanan pada Februari ini.

“Saya akan menurunkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat dan memperbanyakkan makanan berserat tinggi.

“Dengan berat badan yang bersesuaian ini nanti, saya yakin ia dapat membantu dalam meningkatkan tenaga dan ketangkasan saya untuk berhadapan dengan pihak lawan,” katanya.

Bagi Peter, amalan diet itu sememangnya memberi kesan kepada banyak perkara kerana katanya, beliau sebelum ni tidak menyedari tentang bagaimana untuk mengurangkan berat badan secara efektif.

“Saya sebelum ini tidak mengambil makanan yang secukupnya dan secara asasnya ia merupakan satu idea yang tidak baik. Saya kini meneruskan mengambil makanan berkhasiat tetapi saya hanya akan mengurangkan pengambilan makanan menjelang perlawanan.

“Jika tidak, saya hanya akan mempunyai stamina tetapi tiada ketangkasan untuk bertarung. Dengan pengambilan makanan yang teratur dan menjalani latihan secara konsisten berupaya memberi kekuatan kepada saya untuk memberikan prestasi dengan stabil dan terbaik,” katanya.

Mengenai lawannya Leo Krishna, Peter berkata, beliau berasa yakin untuk mendepaninya dalam perlawanan bersama pesaingnya dan akan berusaha sehabis baik.

“Saya perlu yakinkan diri dan tiada apa yang perlu dibimbangkan jika dibandingkan dengan pengalaman sebelum ini,” katanya yang berketinggian 183 sentimeter dan 70 kilogram itu.

Bagaimanapun, Peter berkata, cabaran yang bakal dihadapi adalah memberi tekanan kepada pihak lawan dan melakukan perlawanan dengan penuh bertenaga.

“Dan ia dapat dilakukan dengan latihan termasuk melakukan kardio yang secukupnya,” kata pelakon yang memegang watak sebagai Eric Tan dalam filem ‘Sell Out!’ pada 2008.

Mengenai One Fighting Championship yang bakal berlangsung, beliau melihat lebih ramai pesaing di kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkannya sebagai perkembangan yang amat baik.

Selain potensi, Peter menjelaskan, apa yang penting adalah semangat untuk bersaing, tanpa mengira siapa pun pihak lawan dan perkara itu perlu diamalkan dalam setiap pertarungan.

“Sama ada dari Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, masing-masing mempunyai misi untuk menundukkan pihak lawan dan memenangi perlawanan.

“Bagi mengatasi keadaan ini, saya perlu memastikan mempunyai kepakaran lebih baik berbanding dahulu, dan juga mereka (pesaing) yang lain,” katanya.

Bercakap mengenai dirinya sebagai pelakon, model dan juga bintang MMA, Peter berkata, beliau mampu menanganinya kesemuanya dengan menguruskan masa secara bijak.

Bagaimanapun, katanya, beliau kini mula menumpukan latihan sepenuhnya di kelab Muayfit Gym Petaling Jaya bagi mendepani perlawanan pada Februari ini.

Walaupun setiap bidang diceburinya adalah berlainan tetapi Peter menyifatkannya kesemuanya membantu antara satu sama lain, apa yang pasti ia berkembang dengan lancar.

“Sebagai contoh, saya menjadi lebih ‘fit’ apabila melakukan peragaan berdasarkan latihan MMA manakala lakonan pula mempengaruhi emosi saya mengukuhkan karakter ketika bertarung.

“Sebenarnya, kita begitu mudah beremosi ketika bertarung dengan pihak lain, dan pengalaman menerusi lakonan itu membantu saya untuk fokus menundukkan pihak lawan,” katanya.

Dalam pada itu, Peter sekali menegaskan bahawa beliau benar-benar yakin dan bersedia-sedia untuk menghadapi perlawanan One FC yang dinanti-nantikannya.

“Saya mahu memenangi perlawanan ini dengan persembahan yang bertenaga dengan penuh yakin dan saya akan berusaha untuk mencapai hasrat itu,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain