Jom! Alami Pengalaman Berbeza Di Perpustakaan Raja Tun Uda

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bila kali terakhir anda menjejakkan kaki ke perpustakaan?.

Semalam, sebulan yang lalu atau tiga tahun lepas?

Bagi pelajar sekolah atau universiti, perpustakaan bukan asing buat mereka, namun golongan yang sudah melepasi dunia pelajar, perpustakaan sering dibayangkan sesuatu yang membosankan.

Selain tempat himpunan buku-buku untuk dibaca dan dipinjam, suasana perpustakaan yang tidak santai serta terikat dengan pelbagai peraturan, membuatkan tidak ramai yang memilih perpustakaan sebagai tempat untuk atau menghabiskan masa lapang.

Mereka lebih rela membayar secawan kopi yang berharga RM10 ringgit sambil membaca atau melayari internet di kafe-kafe yang menyediakan wifi percuma.

PENGALAMAN BERBEZA

Jika masih mempunyai persepsi perpustakaan hanya untuk golongan pelajar atau beranggapan tidak ada yang menarik dijanjikan di sana, mungkin anda akan memikirkannya semula setelah mengunjungi Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), Shah Alam.

Bangunan enam tingkat itu dengan keluasan 203,600 kaki persegi, mempunyai reka bentuk dalaman perpustakaan yang menata gaya modern dengan warna-warna terang.

Ketua Perkhidmatan Daerah Zon 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mohamed Fadzil Mohd Fauzi yang menyambut kedatangan penulis, mengingatkan agar penulis membuka minda dan membuang sangkaan negatif yang dikaitkan dengan perpustakaan.

"Cuba lihat dan alami sendiri. Saya yakin satu pengalaman berbeza akan dirasakan di sini kerana kami mahu jadikan perpustakaan ini umpama rumah kedua seperti mana tag line kami, My Second Home," katanya yang telah berkhidmat selama sembilan tahun di PPAS.

TANPA KASUT

Perpustakaan ini terletak bersebelahan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz. Suasananya cukup tenang dan mendamaikan.

Saat kaki melangkah masuk, budaya timur sudah terpancar kerana semua petugas dan pengunjung dimestikan menanggalkan kasut untuk memasuki ruang buku dan bacaan.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata selain mengekalkan budaya timur ia juga bertujuan menjaga kebersihan hamparan karpet di dalam bangunan ini. Setiap pengunjung disediakan sebuah beg untuk menyimpan kasut yang dipakai.

"Dalam tempoh empat bulan, kira-kira 145,000 pengunjung telah datang ke sini. Jumlah ini kami jangka akan terus bertambah dan pastinya sukar untuk menjaga kebersihan karpet yang ada jika pengunjung memakai kasut.

"Kami pilih pendekatan tidak memakai kasut juga untuk memastikan suasana lebih santai, di mana pengguna boleh duduk di kerusi atau mungkin mereka mahu duduk di atas karpet yang ada, terpulang mengikut keselesaan mereka," katanya.

PANGGUNG WAYANG 3D dan 6D

Jika mahu hiburan di sini, tayangan filem 3 dimensi (3D) turut disediakan. Malah jika mahu yang lebih ektrem terutama mereka yang ingin mencabar diri sendiri, tayangan 6 dimensi (6D) pasti memberi kepuasan.

Penulis sendiri turut berpeluang menonton tayangan 6D pengembaraan menaiki roller coaster yang cukup mendebarkan. Walaupun hanya 4 minit, namun ia cukup mengujakan dan menggoncang jantung.

Awas!, bagi yang mempunyai masalah jantung dan kesihatan anda tidak digalakkan untuk menontonnya.

Hanya perlu membayar RM10 untuk sekali tayangan, bagi yang sihat, sangat rugi jika tidak mencubanya kerana PRTU merupakan perpustakaan pertama yang menyediakan teknologi itu.

Menggunakan teknologi dari Kanada, panggung 6D menyediakan lapan tempat duduk yang boleh bergerak ke kiri dan kanan serta bergoyang.

Selain itu penonton juga akan merasakan suasana panas, sejuk malah hembusan angin di muka seolah-olah sedang menaiki roller coaster yang sebenarnya ketika tayangan itu.

Sementara itu, panggung mini 3D pula menyediakan filem-filem menarik untuk ditonton dengan bayaran yang minimum RM5 ringgit untuk filem-filem biasa, manakala RM7 untuk filem 3D.

Ruang yang mampu memuatkan hampir 20 orang dengan kerusi yang selesa, sesuai untuk tontonan sekeluarga.

Selain itu, bagi mereka yang mementingkan kesihatan dan ingin kekal sihat, tiga buah gimnasium mini turut disediakan iaitu di aras bawah, aras tiga pula khusus untuk wanita dan aras empat khusus untuk lelaki.

"Di setiap aras, kami sediakan surau untuk kemudahan penggunjung dan setiap kali masuknya waktu solat kami akan membuat pengumuman," katanya.

TAMAN POKOK UNTUK KANAK-KANAK

Melihat sebatang pokok besar di dalam bangunan dan di bawahnya kanak-kanak kecil bermain, ada juga yang membaca buku sambil ditemani ibu bapa merupakan satu pemandangan yang sangat menyejukkan mata.

Warna-warna terang yang menghiasi rak-rak buku dan dinding membangkitkan suasana cukup ceria, sesuai sebagai ruangan kanak-kanak.

Mastura berkata petugas perpustakaan juga turut diberikan kursus keibubapaan agar mereka boleh mengendalikan kanak-kanak dan pengunjung dengan cara yang terbaik.

"Kami mahu petugas melayan kanak-kanak mahupun remaja yang datang umpama anak sendiri. Sekiranya ada terlihat remaja yang berkelakuan tidak elok, mereka boleh menegur dengan cara yang baik, malah jika ada ibu bapa yang mahu meninggalkan anak mereka di sini sementara mereka pergi membeli belah atau atau urusan lain, kami sedia membantu," katanya.

Di bahagian kanak-kanak juga turut disediakan zon kreatif di mana kanak-kanak boleh mencuba bakat sebagai pembaca berita bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemudian berpeluang mendengar suara yang dirakamkan.

Selain itu pentas penceritaan serta ruangan untuk permainan Nintendo turut disediakan. Mastura berkata masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan di perpustakaan ini terutama buku-buku yang masih kurang.

"Kini kami mempunyai sekitar 190,000 naskah buku berbanding keseluruhan rak yang boleh memuatkan 400,000 buah buku," katanya.

Dibuka tujuh hari seminggu dari pukul 10 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat dan 9.30 hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad, jumlah kedatangan pengunjung menunjukkan perkembangan positif sejak ia mula dibuka.

"Kami tidak menyangka akan merima kedatangan pengunjung seramai ini kerana perpustakaan ini hanya mampu memuatkan kira-kira 2,500 pada satu masa, namun sekarang kami menerima sekurang-kurangnya 6,000 pengunjung pada hujung minggu dan 3,000 pengunjung pada hari biasa," katanya.

PRTU yang lama terletak di Seksyen 14, Shah Alam dan lokasi baru di Jalan Kelab Golf, Seksyen 13 ini adalah pilihan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan konsep perpustakaan di dalam taman.

Baginda sendiri baru-baru ini turut merasmikan perpustakaan itu yang mula dibuka pada 22 Julai.

Pada perasmian itu, Sultan Selangor bermurah hati mengurniakan sejumlah 1,200 naskhah buku yang merangkumi pelbagai bidang antaranya kepimpinan dalam politik, sejarah, ketenteraan, sukan, muzik, kesenian dan perniagaan yang dibeli baginda di dalam dan luar negara.

PENJENAMAAN SEMULA

Melakukan penjenamaan semula untuk menjadikan PRTU lain dari yang lain, bukan satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak.

Ingin memastikan semua 260 petugas PRTU faham perubahan yang ingin dilakukan, Pengarah PPAS, Mastura berkata beliau menutup PRTU di Seksyen 14 selama tiga hari untuk sesi sumbang saran.

Pelbagai idea dicari termasuk kunjungan ke beberapa kedai buku yang menjadi pilihan warga kota seperti MPH dan Kinokuniya serta mengunjungi kafe Starbucks bagi mengetahui citarasa masyarakat hari ini.

"Kami cuba aplikasikan konsep dan kehendak masyarakat hari ini di dalam perpustakaan ini dengan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan, di mana kami sediakan wifi percuma dan bagi yang ingin menggunakan komputer kami hanya kenakan RM1 sahaja.

"Ini juga akan menggalakkan mereka terutama remaja datang ke sini dan tidak lagi ke kafe siber ataupun pusat membeli belah untuk melepak. Sekurang-kurangnya di sini lebih terkawal," katanya.

Mastura berkata menjadi matlamat utama perpustakaan ini untuk membantu kerajaan mengurangkan masalah sosial dan jenayah terutama dalam kalangan remaja.

Mungkin nampak mustahil, namun menurut Mastura pihaknya berusaha menjadikan ia satu realiti.

"Mula-mula mungkin mereka datang ke sini untuk berjumpa rakan, berbual, menggunakan komputer, namun saya percaya lama kelamaan mereka suka dengan perpustakaan dan akhirnya mereka akan jatuh cinta dengan buku dan budaya membaca," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan