Darah, Tangisan, Kegembiraan Menerusi Lensa Jurugambar

Diterbitkan: Jumaat, 21 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekeping gambar boleh membawa seribu makna. Tetapi di Pameran Foto Akhbar Dunia gambar-gambar menjelaskan lebih daripada ini dan menceritakan segalanya melalui darah, tangisan dan kegembiraan yang dilihat menerusi lensa jurufoto profesional.

Pelawat ke pameran ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan dapat melihat kerakusan umat manusia dalam peperangan ataupun kebuluran yang memaksa penduduk luar bandar di Zimbabwe makan bangkai gajah.

Seorang peguam kanan S.Radhakrishnan berkata imej manusia memakan gajah ini walaupun mengerikan tetapi inilah realiti di abad ke-21 seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Ng Yen Yen semasa melancarkan pameran itu di sini baru-baru ini.

Dan bagi Pengurus Projek Pameran Foto Akhbar Dunia Jurre Janssen, imej-imej ini mencerminkan realiti. “Inilah dunia di sekeliling kita. Ada yang mungkin berkata gambar-gambar ini menunjukkan konflik di sekeliling dunia, kematian, pertumpahan darah tetapi ia lebih daripada itu, saya juga berharap orang ramai akan menatap gambar-gambar lain yang menceriakan,” katanya.

Memang benar selain paparan `perit dan ngeri' terdapat juga rakaman potret dan alam semula jadi yang mengagumkan, gambar-gambar yang boleh membawa keceriaan pada mereka yang menatapnya.

Tetapi, gambar-gambar perit dan ngeri yang menyentuh sanubari inilah yang membawa pengajaran kepada kita seperti imej seorang kanak-kanak perempuan dikeluarkan daripada runtuhan di Gaza selepas serangan udara Israel pada 6 Januari tahun lepas. Ini satu daripada contoh perbuatan manusia mengancam manusia.

DUNIA KITA

Pameran ini yang dibawa balik ke Malaysia selepas lapan tahun, dianjurkan oleh Dduta Belanda ke Malaysia Paul Bekkers yang percaya seni dan budaya merupakan medium penting untuk mempertingkat lagi hubungan baik Belanda-Malaysia.

Gerry Power, pengarah urusan wilayah Malaysia dan Brunei bagi syarikat Belanda TNT Express yang menaja acara ini, menyifatkan gambar-gambar ini sebagai begitu mengagumkan.

"Ada antara imej ini sangat grafik. Saya begitu terpesona dan adakalanya gerun dengan imej tertentu tetapi inilah hakikat sebenar dunia,” kata beliau.

Power berkata pameran ini ialah mengenai elemen manusia dan kehidupan harian. "Bagi saya ia sesuatu yang sangat indah untuk turut terbabit dengannya,” tambah beliau.

Tetapi adakah warga Malaysia bersedia menatap imej tertentu yang dianggap sensitif?

Datuk Peter Brokenshire, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menjadi tuan rumah pameran ini, berkata penganjur telah mengambil langkah berhati-hati dalam menempatkan gambar-gambar ini dan meletakkan notis untuk mengisyaratkan kandungan yang mungkin menyinggung pihak tertentu.

“Tetapi kita perlu lihat pameran ini dalam gambaran yang lebih menyeluruh. Ia adalah pameran antarabangsa. Mereka yang matang mahu melihat imej-imej yang mencabar. Malangnya ia mencerminkan keadaan sebenar dunia hari ini,” katanya, dengan menambah kata orang ramai perlu lihat apa yang berlaku di bahagian lain dunia.

PEMBUKA MATA Collin Tang, 31, bersetuju dengan ini. Bercakap kepada Bernama beliau berkata “pameran ini pastinya membuka minda kita dan memberikan kita lebih banyak maklumat akan apa yang berlaku di dunia, ditambah dengan paparan budaya dan gaya hidup yang kita tidak dapat lihat di Malaysia.”

Beliau menunjukkan bahawa beberapa daripada imej ini menunjukkan gambaran berlainan sama sekali akan dunia kita selain mengingatkan kita betapa pentingnya untuk memulihara alam sekitar.

Beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan melawat pameran ini untuk belajar sesuatu daripada perjuangan mereka yang lain di tempat lain dunia dan berterima kasih terhadap apa yang mereka nikmati hari ini.

Jurugambar, R.A. Ramesh, 44, berpendapat pameran ini sangat intelektual dan mengajar orang ramai akan apa yang berlaku di seluruh dunia selain daripada menampilkan ragam kehidupan orang ramai di seluruh dunia.

“Kita perlu membuka minda kita. Saya sendiri seorang jurugambar. Saya datang ke sini untuk belajar teknik fotografi, dan di sebaliknya saya mempelajari sesuatu yang lebih signifikan,” katanya, dan menambah kata pameran ini juga memberi beliau sedikit sebanyak pengajaran akan hak asasi manusia.

PELUANG YANG JARANG DITEMUI Bagi Zam Yaacob, 40, pameran ini memberikan beliau satu peluang yang jarang ditemui untuk menikmati nukilan jurugambar-jurugambar hebat.

“Saya harap pameran ini akan membolehkan kita menyedari sejauh mana nasib kita berbeza berbanding negara-negara lain. Kita harus berterima kasih,” katanya, menarik perhatian kepada imej rakyat Afrika memakan daging gajah kerana kebuluran.

“Ia membayangkan kehidupan sebenar,” kata Zam, yang berharap pameran ini akan diadakan setiap tahun.

Rakyat Malaysia digalak melawat pameran ini, yang membawa keindahan dan kekelaman di dunia ini kepada lebih kurang 100 bandar raya di 45 negara.

Pameran ini tamat pada 27 Januari. Tujuan utama pertubuhan Foto Akhbar Dunia, sebuah pertubuhan bebas bukan mencari keuntungan yang diasaskan di Belanda pada 1955, ialah untuk memberi sokongan di peringkat antarabangsa dan menggalakkan kerja akhbar profesional.

Setiap tahun selepas pameran Pertandingan Foto Akhbar Dunia, imej yang menang akan menyertai pameran jelajah.

Dengan peralihan masa, pertubuhan ini telah berubah kepada platform bebas bagi kewartawanan foto dan pertukaran bebas maklumat. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan