suria

Pernah Hanya Putih, Kini Biru, Hijau Dan Warna Lain

SETIAP kali terfikir tentang kemudahan penjagaan kesihatan seperti hospital serta klinik, antara yang tergambar dalam minda kita ialah jururawat berpakaian seragam serba putih yang adalah pakaian kerja mereka yang tradisi.

Walaupun kaedah kerja serta hospitaliti (layanan) jururawat bertugas dalam suasana kemudahan penjagaan kesihatan tetap sama, perkara yang sama tidak boleh dikatakan bagi pakaian seragam atau uniform jururawat pada masa kini kerana ada antara uniform jururawat telah mengalami perubahan yang agak ketara terutama dari segi warna.

Di beberapa kemudahan penjagaan kesihatan (hospital dan pusat perubatan) seluruh dunia, pakaian serba putih jururawat sudah menjadi satu situasi daripada 'masa yang lampau'.

PAKAIAN SERAGAM JURURAWAT KINI

Jururawat Zuraidah Tahir, yang bertugas di sebuah institusi perubatan swasta di sini, berkata uniform jururawat masa kini datang dalam pelbagai warna.

"Uniform (pakaian seragam) jururawat bukan hanya terhad kepada warna berlainan, tetapi juga berlainan gaya seperti ada gambar tertera atas pakaian khas untuk pesakit kanak-kanak dan ada juga yang mempunyai kata-kata motivasi bagi pesakit lain.

"Ada juga pakaian 'skrub' yang boleh membuat pesakit rasa selesa dan tenang serta juga memberikan jururawat satu pemakaian yang mempunyai 'stail' (fesyen) dalam bentuk uniform", kata beliau.

('Skrub' jururawat ialah ala pakaian yang digunakan dalam Dewan Bedah).

Jururawat pada hari ini boleh memilih tukang jahit sendiri bagi menyediakan uniform yang sesuai dan selesa bagi bentuk badan mereka.

Bagi pegawai kejururawatan kanan di sebuah pusat perubatan di sini yang mahu dikenali hanya sebagai Ida: "Tahap kerja jururawat bergantung pada keselesaan pakaian seragam mereka. Oleh itu adalah penting bagi jururawat memakai uniform yang sesuai dan selesa semasa bertugas".

Wad serta jabatan berlainan dalam hospital mempunyai suasana kerja berlainan. Ada jururawat yang terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan pesakit kanak-kanak dan ada pula yang terpaksa merawat pesakit yang mengalami sakit kritikal.

"Satu opsyen diperlukan bagi situasi berlainan. Bagi jururawat yang terlibat dengan penjagaan kesihatan anak, mungkin mereka boleh memakai uniform yang berwarna lembut dan bagi mereka yang bekerja dalam ICU (Unit Rwatan Rapi) dan wad-wad kritikal, mereka boleh berpakaian yang bercorak lebih profesional bagi membuatkan pesakit berasa puas hati berada dalam tempat penjagaan yang profesional", kata Ida.

BAIK UNTUK PESAKIT?

Walaupun perubahan dalam aspek uniform jururawat adalah baik bagi pesakit serta juga kakitangan kejururawatan sendiri, ada juga mereka yang mungkin menganggap dunia fesyen telah merangkumi kerjaya jururawat?

"Ianya perlu dilihat sebarang perubahan dalam uniform hospital bagi jururawat bukanlah bersangkut-paut dengan dunia fesyen tetapi semuanya adalah bagi keselesaan pesakit, pelawat dan kakitangan kemudahan penjagaan kesihatan", kata bekas jururawat Anne Frances.

"Keselesaan pesakit adalah perkara yang paling penting dari yang lain", kata beliau.

Frances berkata, hospital mempunyai hak bagi menentukan warna pakaian yang dipakai oleh tenaga kejururawatan mereka.

Dulu, seragam jururawat adalah putih secara universal tetapi kebelakangan ini ada yang telah bertukar warna kepada biru, hijau dan warna yang lain.

Pada tahun 1990an, pakaian bercorak 'skrub' menjadi popular di Britain walaupun ia mula timbul di dunia kejururawatan di Amerika syarikat.

Bagaimanapun kebanyakan jururawat di seluruh dunia masih mengamalkan corak pemakaian tradisi mereka.

Di Malaysia, jururawat wanita Islam akan memakai tudung selain daripada pakaian biasa mereka. Identiti profesional kini merupakan satu konsep yang bertaut rapat dengan bidang kejururawatan.

IMEJ PROFESIONAL

Menurut Frances, imej profesional jururawat meliputi persepsi, pandangan, kepercayaan serta idea masyarakat tentang profesion tersebut.

"Uniform jururawat menunjukkan jururawat mempunyai kebolehan serta pengetahuan bagi merawat orang lain. Tetapi dengan hanya memakai uniform bukan bermakna secara otomatik seorang jururawat bertindak profesional dan bertugas dengan baik", tambah Frances.

Ramai juga yang bersetuju bahawa pakaian seragam memberikan satu 'aura' atau tahap keyakinan bagi jururawat dalam tugas mereka dan secara psikologi menyediakan mereka dalam menghadapi beban tugas.

Ini bererti juruarawat memainkan peranan sepatutnya bila beliau memakai uniform dan secara simboliknya mereka akan berubah peranan tanpa uniform tersebut, kata Ida.

"Contohnya, bila di hospital dan memakai uniformnya seorang jururawat akan bertindak seperti petugas penjagaan kesihatan. Tetapi kemudiannya bila beliau kembali kerumah dan bertukar dari uniform ke pakaian yang lain beliau adalah seorang suri rumah dan ibu.

"Uniform bukan sahaja memberi keyakinan bagi jururawat tetapi ianya juga memberi semangat serta keyakinan bagi pesakit. Tetapi kadangkala uniform juga memberikan ketakutan serta keresahan dalam diri pesakit dan ada ketika juga ianya menghalang atau menbantutkan komunikasi antara pesakit dan kakitangan penjagaan kesihatan".

Apa pun, uniform adalah satu aspek simbolik bagi juruarawat dan dunia kejururawatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Belia Jaguh Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain