Dari Gemas Ke Hat Yai, Kembara Dan Melancong Dengan Kereta Api

Diterbitkan: Jumaat, 12 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menyedari potensi kereta api menjana sektor pelancongan negara, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) telah memperkenalkan perkhidmatan Ekspres Langkawi Gemas-Hat Yai pada awal Februari lepas.

Perkhidmatan baru ini dilihat boleh meningkatkan sektor pelancongan di Malaysia dan Thailand serta negeri-negeri di laluannya seperti Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

KTMB memainkan peranannya memajukan industri pelancongan negara dengan mempromosikan pelbagai produk pelancongan di peringkat negeri seperti makanan tempatan, pelancongan berkonsepkan homestay, rekreasi dan ekspedisi.

Sehubungan itu, sebagai usaha menambah nilai dan meluaskan perkhidmatan kereta api di peringkat antarabangsa, KTMB telah menganjurkan "Familiarisation Trip" dari Stesen Gemas, Negeri Sembilan ke Hat Yai, Thailand pada 4-6 Februari lepas.

PESERTA ROMBONGAN

Seramai 53 wakil media, Tourism Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Datuk Zainab Nasir dan Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Antarabandar Mohd Zain Mat Taha mengikuti rombongan tersebut.

Majlis pelancaran Ekspres Langkawi dari Gemas ke Hat Yai itu telah disempurnakan oleh Zainab pada 4 Februari lepas di Stesen Gemas.

Pada 5 Februari, peserta rombongan telah disambut oleh Gabenor Songkhla, Vinyoo Thongsakun dan Datuk Bandar Hat Yai, Prai Pattano ketika tiba di stesen kereta api Hat Yai, Thailand pada pukul 11 pagi.

PENGISIAN PROGRAM

Pada sepanjang program itu, para peserta rombongan telah dibawa ke beberapa destinasi pelancongan popular di Hat Yai seperti Masjid Jamek Songkhla, Akuarium Songkhla dan Pasar Terapung "Klonghae".

Akuarium Songkhla merupakan destinasi utama pelajar-pelajar sekolah tempatan kerana ia mempamerkan pelbagai spesies ikan, menyediakan tempat beriadah di tepi pantai dan aktiviti perkhemahan.

Para tetamu dari Malaysia juga dibawa melawat Pasar Terapung 'Klonghae' yang menyediakan pelbagai jenis makanan Thai termasuk hidangan popularnya "Tom Yam" dan produk tempatan yang dijual penduduk setempat.

Menurut pemandu pelancong rombongan yang hanya mahu dikenali sebagai Kun, pasar tersebut merupakan sumber pendapatan kepada penduduk setempat.

Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke Prince of Songkla University International Convention Centre yang terletak di Punnakan Road.

Pusat konvensyen itu dilengkapi dengan peralatan audio visual yang termoden, pusat medan selera, tempat letak kereta yang boleh memuatkan sebanyak 500 buah kereta dan 50 buah bas.

Ia mampu menampung sejumlah 4,000 orang untuk acara seminar dan persidangan.

Kun juga berkata Hat Yai mempunyai pelbagai jenis makanan halal dan orang Islam tidak perlu ragu ketika menjamu selera di sana.

Apa yang diperkatakan oleh Kun itu adalah benar kerana berdasarkan kepada pemerhatian penulis kebanyakan medan selera di Hat Yai mengasingkan kedai makanan yang menyediakan masakan halal.

CEMAS KENA TINGGAL

Penulis turut melalui pengalaman mencemaskan dan pada masa yang sama melucukan kerana pada 6 Feb, hari terakhir rombongan berada di Hat Yai sebelum bertolak dari stesen Hat Yai pukul 2.30 petang, penulis bersama seorang rakan rombongan telah tertinggal bas.

Semua gara-gara perbezaan masa Thailand dan Malaysia yang berbeza selama satu jam. Waktu Thailand adalah satu jam lewat di belakang waktu Malaysia.

Ketika makan tengah hari dan seronok berbual sekitar pukul 12.30 tengah hari, penulis bertanya kepada rakan tadi jam berapa harus berkumpul menaiki bas.

Beliau jawab jam 2 petang (penulis juga ingat bahawa pemandu pelancong Kun memberitahu agar berkumpul di bas pada 2 petang).

Setibanya jam 2 petang, penulis bersama rakan pun tunggu di lokasi yang diarahkan namun selepas 10 minit berlalu rakan tersebut memberitahu penulis bahawa beliau tidak sedap hati dan mengajak penulis menaiki sahaja teksi untuk ke stesen kereta api Hat Yai.

Ternyata, ketika tiba di stesen itu bas sudah berada di sana dan semua peserta rombongan telah bimbang dan bertanya ke manakah kami berdua menghilang.

DELEGASI DARI THAILAND

Ketika rombongan Malaysia pulang ke tanah air pada 6 Februari, mereka ditemani oleh rombongan delegasi dari Hat Yai yang menuju Negeri Sembilan.

Ia merupakan lawatan timbal balas kepada rombongan dari Malaysia. Ketua pejabat Gabenor Songkhla, Sukitti Thanapitaks mengetuai 49 orang delegasi rombongan Hat Yai tersebut.

Rombongan dari negara jiran ini terdiri daripada Timbalan Datuk Bandar Hat Yai, Boonchuay Changsirivathanathamrong, pegawai dari majlis perbandaran Hat Yai, anggota Dewan Peniagaan Thailand Selatan, wakil media dan wakil-wakil agensi pelancongan Thailand.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia di Thailand, Iskandar Mirza Mohd Yusof, penganjuran program membawa delegasi Hat Yai ke Gemas, Negeri Sembilan itu adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia, kerajaan Negeri Sembilan dan KTMB.

Program lawatan ini ialah dari 6 hingga 9 Februari.

"Program pelancongan ke Malaysia ini adalah sejajar dengan promosi pelancongan kereta api yang dicetuskan oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang dilihat sebagai produk yang boleh menjana sektor pelancongan di Malaysia dan negara-negara Asean," kata Iskandar kepada Bernama.

HARAPAN TOURISM MALAYSIA

Tourism Malaysia berharap program ini akan mengalakkan penggunaan pengangkutan kereta api dan sebagai pengangkutan pilihan di selatan Thailand, katanya.

Ia juga diharap mempromosikan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan pendekatan ini dapat menarik pelancong dari Thailand untuk menyertai program homestay yang akan diperkenalkan menerusi maklumat yang disampaikan oleh KTMB, kata Iskandar.

Katanya, Thailand mempunyai potensi pasaran yang luas untuk sektor pelancongan di Malaysia kerana kira-kira 1.45 juta pelancong dari Thailand datang melawat Malaysia pada tahun lepas.

Menurut beliau Negeri Sembilan mempunyai sebanyak lapan destinasi homestay dan Homestay 'Pachitan', Port Dickson dipilih untuk rombongan delegasi Hat Yai.

Ketibaan delegasi Hat Yai telah disambut dengan meriah oleh Exco Pelancongan Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Razi Kail di Seremban.

Ketika di Negeri Sembilan, delegasi dari Hat Yai menyertai pelbagai aktiviti Homestay yang mempamerkan gaya hidup, kebudayaan dan produk di negeri itu.

KOMEN KTMB

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar KTMB, Mohd Noordin Kimi, berkata KTMB telah mengenalpasti sebanyak 10 program homestay yang terletak di sepanjang laluan KTMB untuk dipromosikan kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Mohd Noordin yakin bahawa laluan baru Ekspres Langkawi Gemas-Hat Yai yang disediakan oleh KTMB itu akan menjadi perintis untuk menjayakan program homestay dan pada masa yang sama menyahut matlamat yang ditetapkan kerajaan untuk mempopularkan pelancongan kereta api di Malaysia.

"KTMB sebagai penyedia pengangkutan kereta api utama negara akan terus komited dalam memacu industri pelancongan tempatan dengan menganjurkan pelbagai program pada masa depan.

"KTMB juga mengalu-alukan kerjasama dari agensi-agensi pelancongan untuk penganjuran berkaitan pelancongan di peringkat negeri," katanya.

Naib Presiden Matta, Khadijah Abd Rahman yang turut menyertai rombongan ke Hat Yai pula berpendapat program anjuran KTMB ini adalah satu inisiatif yang akan memberi kesan positif kepada industri pelancongan Malaysia.

"Ia merupakan satu usaha penjenamaan semula yang positif perkhidmatan kereta api. Saya berharap KTMB bukan sahaja mempromosikan produk homestay tetapi mempromosikan produk pelancongan lain," katanya.

"Agensi-agensi pelancongan tempatan perlu bekerjasama dengan KTMB dan bersikap proaktif dalam mempromosikan produk homestay tempatan," katanya.

Maklumat lanjut mengenai Ekspres Langkawi Gemas-Hat Yai boleh diperoleh dengan menghubungi talian 1-300-88-5862 atau melayari laman web di www.ktmb.com.my. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan