Industri Tani 'Mesin Wang' Masyarakat Desa

Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DENGAN hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang dari Jabatan Pertanian sekaligus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan 3.0 tan kerepek ubi kayu sehari.

Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Karim berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103 ribu tan berjumlah RM883.9 juta sementara daging kambing pula 18 ribu tan bernilai RM188 juta.

Menurut beliau Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu dan kambing secara komersil kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

"Setakat ini negara kita hanya mampu mengeluarkan 25 peratus sahaja bekalan daging negara walaupun kita mempunyai kemampuan untuk mengeluar lebih banyak daging untuk keperluan tempatan," katanya.

Sementara itu, katanya pihak kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertimbang secara serius pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Batang Lupar.

Katanya, industri asas tani memang berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi masyarakat desa dan diharapkan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian kawasan Parlimen dapat merangsang lagi sektor itu di negara ini. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan