Tragedi Dan Bencana Patut Dijadikan Pengajaran Dan Iktibar

Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PELBAGAI tragedi dan bencana yang berlaku sepanjang tahun ini perlu diambil iktibar dan pengajaran oleh semua pihak agar ia tidak berulang pada tahun-tahun mendatang.

Pelbagai jenis bencana dan tragedi menimpa negara ini dengan ada sahaja alasan yang diberikan sebagai punca seperti masalah teknikal atau kecuaian manusia dan apabila sudah berlaku barulah pelbagai pihak tunjuk sibuk dengan penubuhan jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian.

Di mana sahaja termasuk di darat mahupun di lautan, bencana dan tragedi pasti akan berlaku namun sebagai manusia kita hanya merancang dan Tuhan menentukan yakni kita cuba untuk mengelak sebelum menjadi mangsa namun ketentuan Tuhan mengatasi segala-galanya.

Kemalangan ngeri, tragedi bangunan runtuh, banjir, pesawat terhempas, feri atau bot karam antara tragedi dan bencana yang menghiasi dada akhbar, radio, blog, dan televisyen sepanjang tahun ini.

KEMALANGAN JALAN RAYA

Memulakan episod tragedi di negara ini ialah pada 25 Januari lepas apabila lebih 70 orang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sejak Ops Sikap ke-19 dilancarkan 19 Januari lepas.

2 Februari pula, seorang pemandu bas terbunuh manakala 23 murid nyaris maut apabila bas sekolah yang mereka naiki terbabas ke dalam sungai di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Amat menyedihkan apabila pada 18 Mac lepas, pengantin baru dari dua negeri dalam kes berasingan, meninggal dunia dengan seorang pengantin lelaki terlibat dalam kemalangan motor di Kangar manakala seorang lagi maut apabila keretanya dilanggar lori di Rembau, pelik tetapi itulah kebenaran.

Pada 28 Mei pula, empat orang pekerja warga Indonesia maut apabila bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh.

Pada 4 Jun lepas seorang lelaki berketurunan Siam maut dipanah petir ketika berteduh di sebuah bangsal di Kampung Binjai, Tumpat, Kelantan 4 Jun lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa Champee A/L Kelean, 46, meninggal dunia di tempat kejadian setelah panahan petir terkena pada tangkal tembaga yang dipakai di pinggangnya.

Kegagalan sesuatu gajet alat teknikal juga boleh menyebabkan maut seperti yang berlaku pada 11 Jun lepas apabila seorang anggota komando tentera maut setelah payung terjunnya tidak kembang semasa membuat terjunan dalam satu latihan di Kampung Padang Meiha, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

Mungkin hanya Tuhan dan si mati sahaja yang tahu kerana kes kematian Pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang dipercayai terjatuh dari koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Selangor 16 Julai lepas masih lagi dalam siasatan koroner.

Bencana atau tragedi itu juga boleh berlaku di tempat kerja seperti di Tanjung Karang, Selangor apabila enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua Bangladesh maut setelah terhidu gas, dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di Kampung Bagan Pasir 11 Ogos lepas.

Di udara sekalipun, bencana turut berlaku dengan dua juruterbang maut apabila pesawat ringan dipandu mereka terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi 11 September lepas.

Yang turut menghiasi sorotan tragedi di negara ini ialah melibatkan angin kencang yang turut meragut nyawa seorang remaja perempuan manakala ratusan rumah rosak teruk di lapan jajahan di Kelantan serta daerah Besut di Terengganu, yang merupakan kawasan berdekatan kawasan pantai 30 September lepas.

BULAN TRAGEDI

Dan pastinya bulan Oktober akan dikenang sebagai bulan tragedi kerana pelbagai jenis tragedi dan bencana berlaku sepanjang bulan itu bermula 7 Oktober lepas apabila seorang pemandu bas ekspres maut dan lapan penumpang cedera apabila bas berkenaan merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Km305 Lebuhraya Utara-Selatan, Kampar.

Esoknya pula KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut.

Manakala pada 15 Oktober lepas, dua termasuk seorang bayi lelaki berusia 29 hari maut sementara dua lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar kepala jambatan di KM237.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Kuantan.

Dan masih segar dalam ingatan kita khasnya pelajar dan guru di seluruh negara apabila tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar, Perak di pusat kokurikulum itu runtuh 26 Oktober lepas.

Selang tiga hari kemudian, seorang juruterbang pesawat latihan Kelab Penerbangan Diraja Selangor maut apabila pesawatnya terhempas berhampiran Kelab Golf Beringin di Lembah Beringin, Rawang.

Tragedi juga boleh berlaku ketika fenomena perubahan angin monsun yang bersama-samanya boleh mengakibatkan hujan lebat dan banjir setiap tahun kepada negara.

Mohd Mazlan Yajid, 28, menjadi korban pertama banjir di Kelantan apabila dia lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh, pada 6 November lepas. Gelombang pertama banjir di Terengganu pula meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun di Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, sehari kemudian.

Maut pasti menanti walaupun ketika sedang membeli belah, seperti yang berlaku di Kota Bharu 6 Disember lepas melibatkan nyawa dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta terjunam dari tingkat atas sebuah pasaraya KB Mall.

Siapa sangka perkara seperti itu boleh berlaku namun itulah lumrah hidup di muka bumi ini kerana yang hidup pasti akan mati, sekiranya manusia lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada serta memastikan semua kaedah keselamatan sudah diambil pastinya bilangan tragedi dapat dikurangkan jika tidak dielakkan.

Tidakkah Tuhan telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawa kerosakan di muka bumi ini berpunca daripada tangan manusia itu sendiri. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan