suria

Pahit Manis Subsidi Gula

Seorang pelanggan mendapatkan bekalan gula dari Pasaraya Mydin di Kuala Lumpur ketika tinjauan-Foto BERNAMA
Seorang pelanggan mendapatkan bekalan gula dari Pasaraya Mydin di Kuala Lumpur ketika tinjauan-Foto BERNAMA
Seorang pelanggan mendapatkan bekalan gula dari Pasaraya Mydin di Kuala Lumpur ketika tinjauan-Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: - Rakyat Malaysia menikmati gula yang disubsidi sejak 1974 dan harga jualan runcit gula di negara ini merupakan yang terendah di rantau ini.

Oleh itu apabila Presiden Persatuan Pengguna Malaysia Tan Sri Darshan Singh Gill mencadangkan supaya subsidi ini dimansuhkan dalam membantu rakyat Malaysia mengurangkan pengambilan gula, ia mencetuskan keresahan dalam kalangan pengguna.

Reaksi ini tidak mengejutkan memandangkan harga gula ditetapkan pada paras RM1.45 sekilogram di Semenanjung dan RM1.55 di Sabah dan Sarawak walaupun kos mengimport gula semakin meningkat.

Ia boleh dikatakan begitu murah sehinggakan sebilangan rakyat negara jiran - Indonesia, Singapura dan Thailand - mendapatkan bekalan gula dari Malaysia.

Sekatan harga ini secara tidak sengaja mewujudkan pasaran gelap yang laris bagi gula yang disubsidi dengan penyeledup dan pencatut mengambil kesempatan.

YANG PAHIT DI SEBALIK YANG MANIS

Di Malaysia, pertumbuhan penduduk dan pendapatan menyumbang kepada peningkatan dalam penggunaan gula dengan sejumlah besar penggunaan gula membabitkan isi rumah.

Subsidi yang sama turut dinikmati oleh sektor perniagaan dan industri pemprosesan makanan. Ais krim, coklat, kuih muih, susu pekat manis, teh tarik dan minuman ringan merupakan antara yang mengandungi gula yang disubsidi, yang meningkatkan permintaan bagi gula dan secara tidak langsung subsidi yang lebih tinggi.

Oleh itu warung 'teh tarik' dan 'kopitiam' yang anda minati juga beruntung kerana gula yang disubsidi ini. Ini satu contoh baik bagaimana subsidi ini memanfaatkan golongan bukan sasaran.

Tetapi gula yang murah mengundang masalah. Sementara pengguna dan perniagaan berpeluang membeli gula pada harga yang murah, kerajaan pula terpaksa menanggung subsidi tahunan yang terus meningkat dengan jumlahnya dijangka melepasi RM1 bilion.

Gula yang murah juga menyebabkan penggunaan tidak berhemah dengan ramai pengguna jahil akan bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

Data yang ada menunjukkan bilangan mereka yang menghidap diabetes di Malaysia merupakan keempat tertinggi di Asia bersama 800,000 kes pada 2007 dan angka ini dijangka meningkat kepada 1.3 juta menjelang 2010.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2006 mendedahkan bahawa 43.1 peratus warga dewasa Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, dua kali ganda berbanding sedekad yang lepas. Kedua-dua masalah kesihatan ini berhubung kait dengan pengambilan gula secara berlebihan.

Sementara rakyat Malaysia mungkin berpendapat harga gula yang murah dapat mengurangkan perbelanjaan dapur mereka, mereka mungkin tidak menyedari kos yang terbabit dalam menguruskan diabetes, mengatasi obesiti dan masalah berkaitan yang lain dalam jangka panjang.

BOLEH MENGURANGKAN PENGAMBILAN GULA

Oleh itu Darshan Singh tidak tersilap bila memberi alasan bahawa harga gula yang lebih tinggi akan mendisiplinkan rakyat Malaysia dalam pengambilan gula dan akan membantu mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Berdasarkan anggaran, tanpa subsidi, harga sekilogram gula boleh meningkat sehingga RM2.45 dan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mendorong rakyat Malaysia mengurangkan pengambilan gula.

Apabila pengguna mengurangkan pengambilan gula, permintaan bagi gula akan berkurangan secara automatik yang akan membawa kepada penjimatan yang ketara bukan sahaja daripada subsidi yang ditamatkan tetapi juga dalam import gula.

Sehinggakan banyak daripada persatuan pengguna mahukan subsidi ini dikaji semula demi manfaat pengguna dan negara tetapi berwaspada dalam pendirian mereka.

TERPULANG KEPADA PENGGUNA

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia Datuk N. Marimuthu berpendapat walaupun cadangan ini membelakangkan kepentingan pengguna, terdapat juga alasan munasabah untuk mengkaji semula subsidi ini.

Bagaimanapun Marimuthu mahukan kesan daripada cadangan ini dikaji terlebih dahulu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula berkata ia terpulang kepada pengguna sendiri untuk membuat keputusan sementara CEO Pusat Aduan Kebangsaan Muhd Shaani Abdullah dilaporkan sebagai berkata jika mahu subsidi ini dimansuhkan, ia perlu dilakukan secara berperingkat.

"Kami percaya kesemua subsidi harus dimansuhkan memandangkan ia tidak sampai kepada golongan sasaran. Siapa yang beruntung? Pengguna atau industri?" tanya Muhd Shaani.

Pada dasarnya, baik buruk subsidi gula yang pengguna Malaysia nikmati lebih tiga dekad lamanya memang jelas. Tetapi langkah memansuhkan subsidi ini mungkin tidak banyak membantu dalam mengurangkan penggunaan gula dan disebabkan inilah aspek mendidik pengguna itu penting. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain