Gores Dan Menang: Masyarakat Masih Tidak Serik Dengan Jualan Langsung

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAK serik !!!. Itulah perkataan yang sesuai kepada segelintir masyarakat yang membiarkan diri mereka mudah diperdaya dan ditipu oleh sindiket ejen 'gores dan menang' dan yang seumpama dengan aktiviti penipuan itu.

Bukan sekali atau dua malah saban tahun ada sahaja kedengaran berita terpampang di akhbar mengenai individu yang tertipu beribu-ribu ringgit oleh sindiket berkenaan yang ingin mengaut keuntungan sekelip mata tanpa menghirau susah payah dan penat lelah individu itu mengumpul duit simpanan.

Bila lagi masyarakat kita mahu sedar dan adakah hendak tunggu sehingga 'bila dah terhantuk baru nak mengadah'.

Penganjur atau peniaga yang menjalankan penipuan itu pula boleh dikategorikan sebagai 'penyangak' yang mahu mengaut keuntungan dengan sekelip mata, demikian menurut Ketua Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd Roslan Mahayudin dalam satu temubual dengan Bernama.

YANG DIKATEGORI SEBAGAI GORES DAN MENANG

Sebenarnya "Gores dan Menang" adalah satu kaedah di mana peniaga cuba menggunakan taktik gores dan menang sebagai kaedah untuk mendekati pengguna.

Bukan setakat gores dan menang sahaja malah terdapat banyak kaedah lain, contohnya "Buka dan Menang", yang boleh mempengaruhi orang ramai supaya terpengaruh dengan produk yang ingin diperkenalkan.

Pihak KPDNHEP cuba sedaya upaya menangani aktiviti ini kerana banyak berlakunya penipuan.

Penipuan yang berlaku ini biasanya adalah janji yang mereka nyatakan kepada pengguna itu tidak betul, tidak tepat dan tidak dipenuhi dan kalau ada produk yang dijanjikan ia adalah lebih mahal harganya daripada biasa.

Contoh produk yang biasa ditawarkan ialah ketuhar gelombang mikro yang boleh didapati harganya sekitar RM200 hingga RM300 sedangkan ejen gores dan menang menawarkan harga mencecah RM200 hingga RM800 seunit.

"Jadi disebabkan itulah kita mencegah penipuan ini yang dilakukan melalui kaedah gores dan menang, buka dan menang dan bermacam lagi yang bertujuan menipu pengguna", kata Roslan.

KURANG PENGETAHUAN MUDAH TERTIPU

Jangan mudah terpengaruh dengan barang yang ditawar kerana kita perlu ingat bahawa "tiada yang datang percuma" (nothing comes free). Kalau sesuatu itu terlalu baik mesti ada sesuatu yang tidak kena, jadi berhati-hatilah," Roslan mengingatkan semua.

Sebenarnya penipuan dalam "gores dan menang" ini berlaku kalau satu pihak itu lemah dan satu pihak lagi kuat dan berkuasa.

Kebiasaannya pengguna adalah pihak yang lemah lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pedalaman dan yang kurang pengetahuan.

Kadang-kadang sesetengah pengguna tengok jenama sahaja sudah tahu sama ada sesuatu jenama itu elok atau tidak tetapi pengguna di pedalaman mudah terpengaruh kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui latar belakang jenama.

"Jadi kita pun mudah bersetuju, kadang-kadang harganya murah mudah tertarik, tetapi pakai sekali atau dua kali habis rosak. Jadi kita perlu berhati-hati.

"Saya memang bersetujulah kalau orang mengatakan bahawa pendidikan pengguna perlu dipertingkatkan kerana segala gejala yang berlaku dalam masyarakat kita adalah berikutan kurang kesedaran pengguna. Kita di KPDNHEP sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna dengan pelbagai cara," katanya.

KERAP UBAH MODUS OPERANDI UNTUK ELAK DIKESAN

Mereka ini sering mengubah cara mendekati pengguna, kalau tidak datang ke rumah mereka akan tumpukan ke kawasan tumpuan ramai seperti tempat makan, stesen bas, tempat letak kereta dan pasaraya.

Teknik penipuan juga berbezabeza, mungkin hari ini gunakan 'gores dan menang', keesokan hari suruh teka guna jarum penunjuk arah kepada gambar barang berharga termasuk kereta.

Tetapi untuk memenangi, contohnya Proton Perdana, bermacam-macam syarat diletakkan termasuk meminta pengguna membeli dahulu barang lain yang harganya luar biasa berbanding harga di pasaran.

Akhirnya, Proton Perdana ke mana dan memang barang yang hendak dijual pada harga yang tidak munasabah itu tetap dijual dan pengguna akhirnya membeli barang yang tidak diperlukan seperti ketuhar gelombang mikro dan mesin urut kaki.

MASA KUNJUNGAN DITETAPKAN

Mengenai masa kunjungan mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa masa yang dibenarkan kepada ejen-ejen syarikat datang ke rumah ialah antara pukul 9 pagi hingga 6 petang, kata Roslan.

Selepas waktu berkenaan ejenejen syarikat sebenarnya tidak boleh datang ke rumah termasuk pada cuti hujung minggu, melainkan mereka telah mengadakan temujanji dengan pengguna.

Ketika ejen-ejen syarikat mengadakan promosi produk, mereka sebenarnya tidak boleh mengambil duit atau kutip deposit daripada pengguna.

Mereka hanya boleh setakat memperkenalkan produk, ambil maklumat pengguna dan pengguna pula tidak boleh terima barang. Maknanya ketika itu dalam proses tempoh bertenang (selama 10 hari).

Kalau ejen berkenaan datang selepas tempoh bertenang itu sahaja baru mereka boleh memungut deposit dan pengguna boleh menerima barang.

Sebenarnya rasional di sebalik undangundang menetapkan tempoh bertenang ini ialah untuk melindungi pengguna di samping pengguna boleh berfikir.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang ialah ejen jualan langsung mengutip duit ketika itu juga kerana mereka tahu kalau tidak kutip duit pada masa itu akan leburlah, tidak akan dapat pelanggan berkenaan.

"Jadi mereka kutip masa itu juga, tidak cukup dengan kaedah mendapat wang tunai mereka menggunakan kad kredit," jelas Roslan.

NASIHAT

Apakah nasihat yang patut diberi kepada mereka untuk melindungi diri jika sedar diri tertipu?

Roslan berpendapat jika ia berlaku di rumah agak sukar dari segi keselamatan namun tiada cara lain melainkan hubungi pihak berkuasa, jabatan KPDNHEP atau pihak polis yang terdekat.

"Itu adalah cara yang terbaik. Sebab maklumlah kita bukan sentiasa meronda dan berada di mana-mana. Bayangkan pengguna berapa ramai di seluruh Malaysia.

"Laporkan segera kepada KPDNHEP atau polis dan saya rasa satu senjata yang paling berguna ialah pengguna itu sendiri. Kalau dia tahu bahawa dia telah ditipu baik jangan dia terima sama sekali apa yang ditawarkan, sama ada ia tawar Proton Perdana, BMW, MyVi, kalau kita dah terbau bahawa ini adalah skem, penipuan atau komplot, jauhi dan jangan layan mereka", katanya.

Malah sebenarnya ada peraturan kalau penjual datang ke rumah iaitu pengguna hendaklah pastikan ejen ada kad pengenalan diri yang menunjukkan bahawa mereka mewakili syarikat.

Kad itu pula hendaklah mempunyai gambar pembawa, nama syarikat dan nombor lesen jualan langsung yang diluluskan kepada syarikat itu.

Jadi sebagai pengguna wajarlah meminta kad untuk pengesahan dan terpulang kepada pengguna untuk membenarkan ejen berkenaan masuk atau tidak ke dalam premis, kawasan pagar atau kawasan rumah tanpa paksaan.

Kalau pengguna tidak mahu melayani ejen berkenaan mereka hendaklah secara baik meminta ejen syarikat jualan langsung beredar kerana kalau secara kasar takut nanti berlaku perkara yang tidak diingini tetapi kalau mereka tidak mahu beredar ini merupakan satu kesalahan, kata Roslan. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan