suria

Kiulu kawasan berhampiran Banjaran Crocker yang pesat membangun

TAMPARULI: Dari sebuah perkampungan kecil yang terletak berhampiran kawasan hutan dara Banjaran Crocker, kini Kiulu bertukar wajah menjadi antara kawasan pedalaman yang semakin pesat membangun.

Deretan kedai papan lama telah diganti dengan bangunan baru dan moden. Begitu juga bangunan SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, yang dahulunya beratapkan zink dan berdinding papan, kini diganti bangunan konkrit.

Sebenarnya, Kiulu yang terletak di daerah Tuaran mengalami transformasi positif dalam semua aspek termasuk kemudahan prasarana yang memberi manfaat kepada hampir 20,000 penduduk di kawasan itu.

Selain itu, Sungai Kiulu di Kiulu juga semakin terkenal sebagai satu daripada destinasi pelancongan menarik di Sabah, bukan sahaja kerana kejernihan airnya tetapi keadaan dasarnya yang berbatu-batan menjadikannya sesuai untuk aktiviti berakit.

Setiap tahun acara Kiulu 4M Challenge diadakan di mana para peserta dari dalam dan luar negeri berkunjung ke situ untuk melihat atau menyertai pertandingan berlari, berakit, berenang dengan buluh dan berjalan menggunakan kaki kayu.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, kerajaan Sabah memasukkan acara itu dalam kalendar pelancongan negeri, sekaligus meletakkan Kiulu di dalam peta pelancongan dunia.

KIULU JADI PUSAT PELANCONGAN AKTIVITI SUNGAI

"Saya lihat banyak perubahan yang berlaku di Kiulu, selepas Sabah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963, misalnya dalam lima tahun ke belakangan ini, banyak jalan raya yang dinaik taraf dan banyak kampung yang menikmati kemudahan bekalan elektrik," kata anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kiulu Datuk Louis Rampas di sini.

Louis berkata kerajaan membelanjakan lebih RM50 juta bagi menaiktaraf atau mengaspal jalan raya Tomis (dekat pekan Nabalu) ke Lokos dan jalan Pukak-Mantob dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tidak termasuk sekurang-kurangnya 10 jalan kampung yang baru siap dibina atau dinaik taraf termasuk jalan Bongol-Parad dan pembinaan beberapa jambatan gantung menyeberangi sungai.

"Sekiranya semua berjalan lancar kedua-dua jalan ini Tomis-Lokos dan Pukak-Mantob dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi, sekaligus memudahkan penduduk dari segi pengangkutan dan membantu merancakkan aktiviti ekonomi," katanya.

Louis berkata permohonan juga telah dikemukakan untuk membina jalan raya berturap menghubungkan Mantob-Tobobon dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

"Jalan ini penting kerana ia melengkapkan jalan pintas antara kawasan Batu 28 Jalan Penampang-Tambunan dengan Pekan Tamparuli melalui Kampung Mantob, Kiulu.

"Begitu juga jalan Pukak-Lokub-Pahu perlu dinaik taraf. Perkara ini sudah dibawa ke pengetahuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk kelulusan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek luar bandar di Sabah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Louis berharap projek jalan Pukak-Lokub-Pahu diberi keutamaan, sekaligus memberi kelegaan kepada penduduk di situ yang selama ini mengharapkan jalan berkenaan dinaik taraf.

KAMPUNG DI MUKIM LEMBAH KIULU NIKMATI KEMUDAHAN ELEKTRIK

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha memperluas kemudahan bekalan elektrik di kawasan Kiulu, dan sejak awal tahun ini, 24 kampung di Mukim Lembah mula menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam sehari.

"Berdasarkan maklum balas, ribuan penduduk di Mukim Lembah berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan elektrik, selepas menunggu sekian lama," katanya sambil menambah bahawa penduduk Mukim Lembah sebelum ini banyak bergantung kepada lampu minyak tanah dan generator.

Selain kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik, katanya, kerajaan membina klinik desa di Kampung Kouluan dan bercadang membuka satu lagi klinik desa di Kampung Tiong Tomburong untuk kemudahan penduduk Mukim Lembah yang terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu -- gunung tertinggi di Asia Tenggara.

"Kita juga memberi penekanan kepada soal pendidikan kanak-kanak orang Kiulu. Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran akan membina sebuah lagi sekolah menengah di kawasan Kiulu iaitu SMK Nabalu yang bernilai RM35 juta dalam tempoh dua bulan akan datang," katanya sambil menjelaskan bahawa hampir semua sekolah rendah di Kiulu dibekalkan kemudahan komputer bagi membolehkan murid sekolah mendalami bidang teknologi maklumat.

PENDUDUK KIULU PUAS HATI TAHAP PEMBANGUNAN

Rata-rata penduduk Kiulu berpuas hati dengan tahap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan terutama dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

"Berbanding keadaan dua dekad yang lepas, banyak perubahan yang boleh dilihat di Kiulu. Banyak kampung yang menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih, jalan kampung dan dewan kampung," kata Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kiulu, Sami Bangud.

Sami bagaimanapun turut mencadangkan pembinaan jalan disegerakan di kampung-kampung yang belum ada jalan raya atau menaik taraf jalan-jalan kampung sedia ada terutama Jalan Mantob-Tobobon dan Jalan Pukak-Lokub-Pahu.

"Saya juga mencadangkan agar klinik desa diperbanyak di kawasan Kiulu. Kalau boleh kawasan terpencil seperti di Kampung Mantob, Tobobon dan Lokos diberi keutamaan," kata Jonuin Mansamal, seorang pemimpin masyarakat Kampung Rugading, Kiulu.

Selain itu, beliau berharap pejabat pertanian Kiulu diwujudkan semula kerana majoriti penduduk Kiulu terlibat dengan aktiviti pertanian terutama penanaman getah dan padi.

Jonuin turut menyarankan agar perkhidmatan pejabat pos mini disediakan di pekan Nabalu dan Kampung Pukak supaya penduduk di situ tidak perlu lagi ke pekan Tamparuli semata- mata berurusan dengan pejabat pos.

KIULU BERPOTENSI UNTUK JADI PUSAT PENANAMAN SAYUR ORGANIK

Seorang penduduk Tiong Ratau Jostinus Baragus pula berkata selain menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan kampung, kerajaan perlu memberi perhatian kepada usaha meningkatkan ekonomi penduduk Kiulu.

"Saya lihat terdapat keperluan untuk mempelbagaikan aktiviti pertanian di kawasan Kiulu. Sekarang ini rata-rata penduduk Kiulu bergantung penuh kepada hasil getah sebagai sumber pencarian mereka.

"Saya difahamkan kawasan Kiulu juga sesuai dan berpotensi untuk dijadikan pusat penanaman sayur organik...mungkin tidak salah orang kampung dengan kerjasama Jabatan Pertanian mencuba menerokanya bagi membantu menjana sumber pendapatan tambahan. Begitu juga dengan penanaman halia dan nanas," katanya.

Midin Lobintang dari Kampung Mantob turut menyambut baik pelbagai inisiatif kerajaan untuk membangunkan kawasan Kiulu.

"Dulu kampung saya tiada jalan raya dan terpaksa jalan kaki ke pekan terdekat di Pukak. Sekarang jalan raya dari Pukak ke Mantob sudah ada dan kini sedang dinaik taraf kepada jalan berturap.

"Begitu juga dengan bekalan elektrik. Dulu mahu dengar radio atau menonton tv pun susah, sekarang hari-hari dengar lagu Dusun kegemaran saya "Sayang Kinabalu" pun boleh. Kami sekeluarga begitu senang hati dengan kerajaan yang banyak membantu rakyat," katanya.

Midin yakin konsep 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendahulukan kepentingan rakyat, akan membawa Kiulu ke mercu kejayaan, sekaligus memberi harapan baru kepada ribuan penduduk Kiulu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain