Cinta dan kasih sayang bantu Mohd Nazri bertaubat

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PADA usia 16 tahun, Mohd Nazri Osman sudah mula menagih ganja dan kemudian dadah lain termasuk marijuana, heroin dan pil psikotropik.

Mohd Nazri berkali-kali keluar masuk pusat pemulihan dadah dan akhirnya pada usia 41 tahun berjaya melepaskan diri daripada masalah ketagihan.

Hari ini lelaki berusia 47 tahun itu merupakan seorang pengusaha restoran dan mentor bagi penagih yang mahu mengubah nasib mereka.

Bagaimana pula keajaiban perubahan ini boleh berlaku? Apa yang dialami beliau ialah kisah klasik bagaimana cinta dan kasih sayang dapat membantu membawa perubahan, dan beliau berhutang budi kepada seorang wanita, isterinya, Dhuha Solahuddin.

Kedua-dua mereka bertemu secara kebetulan dan kasih sayang antara mereka memberikan keazaman kepada Mohd Nazri untuk mengubah nasibnya.

KEHIDUPAN YANG BERBEZA HARI INI

Mohd Nazri hari ini merupakan pemilik restoran Blues Brothers di Sipitang - pekan terdekat di sempadan Sabah-Sarawak, terletak 44 kilometer ke selatan Beaufort dan 144 kilometer ke selatan Kota Kinabalu.

Beliau juga merupakan anggota Persatuan Bekas Pendamai Malaysia (Pendamai Malaysia) dan berkhidmat sebagai penceramah motivasi bagi pertubuhan itu di Sabah.

"Saya rasa lebih baik sekarang berbanding semasa saya menagih dadah. Ia hampir memusnahkan kehidupan saya," kata lelaki dari Bidor, Perak ini kepada Bernama.

Dikenali dengan panggilan mesra Ito oleh rakan-rakannya di Sipitang kerana suaranya yang mirip kepada suara penyanyi kumpulan Blues Gang, Mohd Nazri menjelaskan bahawa beliau mula mengambil dadah semasa tingkatan empat di SMK Sik Abdul Ghani, Bidor, Perak.

"Pada mulanya rakan-rakan sekolah memperkenal rokok dan alkohol kepada saya. Kemudian saya mencari keseronokan yang lebih lagi dan mula berjinak dengan marijuana dan ganja. Selepas itu saya beralih pula kepada dadah yang lebih berbahaya seperti heroin dan akhir sekali pil psikotropik.

Lima tahun kemudian, pada usia 21 tahun, beliau mendapat tawaran kerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai juruteknik tetapi mereka yang bekerja dengannya tidak tahu masalah ketagihannya itu.

Kemudian berlaku perubahan mendadak pada 1988 apabila beliau ditangkap dan ditempatkan di Pusat Pemulihan Dadah Perlup di Perak selama lapan bulan sebelum dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah Jerantut di Pahang selama setahun.

JERANTUT MENJADI TITIK PERTEMUAN

Semasa di Jerantut, beliau terpaksa menjalani kerja-kerja sosial di SK Teh Jerantut and di sinilah seorang guru muda menarik hati beliau. Wanita inilah yang akan membawa perubahan besar dalam kehidupannya.

"Pada mulanya kami hanya bertegur sapa, kemudian memulakan perbualan singkat dan seterusnya perbualan yang lebih lama.

"Menyedari latar belakang saya, dia sentiasa memberikan kata-kata semangat dalam perbualan kami.

"Saya mula menyedari yang dia mengambil berat terhadap saya di sebalik kisah hidup saya ini. Cinta kami berputik tetapi hubungan kami tidak direstui keluarganya kerana sejarah hitam saya itu," kata beliau.

Kedua-dua mereka saling berhubung sehingga 1993 apabila Dhuha melepaskan jawatan gurunya di Jerantut dan berangkat ke Sipitang, Sabah pada 1994 untuk mengajar di Sekolah Agama Pekan Sipitang.

Sementara itu, Mohd Nazri selepas dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Jerantut pada penghujung 1989 kembali ke kampungnya dan bersua semula dengan rakan-rakan penagihnya.

"Saya ditangkap sembilan kali dan keluar masuk pusat pemulihan sebanyak empat kali dengan Pusat Pemulihan Sungai Besi merupakan yang terakhir pada 2001," katanya.

BELIAU SATU-SATUNYA HARAPAN

Selepas menghabiskan tempoh dua tahun di Pusat Pemulihan Sungai Besi, Mohd Nazri bertekad untuk berubah dan menyedari memerlukan sokongan moral dalam usahanya itu. Maka terlintas dalam fikirannya tentang guru yang beliau kenali di Jerantut itu.

Tetapi beliau hanya berpeluang menghubunginya pada Julai 2006.

"Apabila saya menelefon, dia tiada di rumah tetapi saya meninggalkan pesan kepada kakaknya dengan harapan dia akan menelefon saya balik. Kemudian saya mendapat tahu yang dia telah berpindah ke Sabah dan saya begitu kecewa.

"Di sanubari saya bagaikan semuanya telah berakhir. Tetapi beberapa hari kemudian dia menghubungi saya. Selepas bermadu kasih selama beberapa bulan melalui telefon, saya melamar Dhuha dan pada 13 Nov tahun yang sama kami berkahwin di Perak," kata Mohd Nazri tersenyum lebar.

Mohd Nazri kemudian mengikut isterinya ke Sipitang untuk memulakan kehidupan baru.

Mohd Nazri juga menyedari yang beliau perlu melakukan sesuatu untuk menyara kehidupan dan menceburi perniagaan kecil dengan jayanya. Pada Februari lepas beliau membuka restoran Blues Brothers Seafood.

SEMUANYA KERANA ISTERI

"Semua yang ada pada saya hari ini ialah kerana isteri saya, terutama keazamannya untuk membantu saya mengatasi ketagihan. Tanpa dia, tidak mungkin saya menjadi seperti hari ini.

"Saya mengahwininya kerana dia satu-satunya gadis yang menerima saya walaupun keadaan saya itu...saya benar-benar mencintainya," kata Mohd Nazri.

Dhuha berkata semasa pertama kali bertemu 20 tahun lalu beliau tertarik dengan Mohd Nazri kerana beliau baik orangnya dan menunjukkan harapan tinggi untuk pulih.

"Sejak pertemuan pertama itu saya yakin yang beliau akan bertaubat dan ini terbukti hari ini," kata beliau mengenai perubahan dramatik suaminya itu.

Selain memberikannya kata-kata bersemangat, Dhuha menerima Mohd Nazri dengan hati terbuka dan meyakinkan suaminya bahawa "masih ada orang di bumi ini yang mencintainya".

Dhuha berkata beliau terus menggalakkan Mohd Nazri untuk bertaubat semasa berada di Jerantut dan semasa mereka berbual melalui telefon sehingga mereka berhenti berhubungan pada 1993.

KATA TAK NAK KEPADA DADAH

Dhuha berkata beliau sangat gembira kerana ibu bapanya telah menerima Mohd Nazri sebagai menantu mereka.

Beliau menyokong sepenuhnya usaha suami beliau untuk menceburi perniagaan dan kini kedua-dua mereka bercadang membuka dua lagi cawangan Blues Brothers masing-masing di Kota Kinabalu dan Tawau.

"Kami bercadang menamakan kedua-dua restoran itu 'Blues Brothers Sri Sipitang' dan berharap Mara dan Bank Rakyat akan membantu daripada segi kewangan untuk menjayakan impian kami," katanya.

Hidangan istimewa Blues Brothers ialah Nasi Goreng Tiga Rasa, Nasi Goreng Empat Rasa, Nasi Goreng Lima Rasa, Sup Tulang dan ABC Blues. Restoran di Sipitang itu mempunyai empat kakitangan.

"Kata tak nak kepada dadah dan sayangkan diri sendiri," kata Dhuha apabila ditanya akan nasihat beliau kepada yang lain yang menjalani kehidupan serupa dengan Mohd Nazri sebelum ini.

Pasangan contoh ini menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan