Saintis kelabit jadi pencipta bersama LET, LED terpantas dunia

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEORANG saintis Kelabit mengharumkan nama Malaysia dalam bidang teknologi alam sekitar apabila menjadi pencipta bersama Transistor Pemancar Cahaya (LET) dan Diode Pemancar Cahaya (LED) spontan terpantas di dunia.

Gabriel Walter, 32, yang berkelulusan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan elektrik dari University of Illinois-Urbana Champaign (UIUC), Amerika, mengukir kejayaan peribadi dan negara apabila menjadi pencipta bersama alat berkenaan, yang mampu memancarkan cahaya pada kelajuan hingga 7 GHz.

Kejayaan ini menghasilkan satu teknologi, yang mampu menjimatkan tenaga dalam jumlah yang besar, ketika semua negara mencuba sedaya upaya untuk meneroka sumber yang boleh diperbaharui dan memulihara segala sumber yang ada.

Sejak lebih 40 tahun lepas, saintis percaya peranti cahaya spontan yang cekap tidak boleh digunakan dalam jalur lebar melebihi 1 GHz.

Bagaimanapun, Walter, melalui kerjasama antara syarikatnya Quantum Electro Opto Systems (QEOs) Sdn Bhd dan sebuah pasukan penyelidik dari UIUC, telah berjaya mencipta satu teknologi yang dianggap mustahil dapat dicipta 40 tahun lepas.

Walter, yang berpejabat di Amerika, berkata alat itu unik kerana ia tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan dan pelaksanaannya pula "semudah menggunakan mentol biasa".

"Ia akan memberi impak, termasuk daripada segi harga, yang belum pernah terdapat di pasaran komunikasi data dan barangan elektronik pengguna.

"Dan berkaitan penggunaan serat optik, LEDs menggunakan kuasa 90 peratus lebih rendah berbanding penyelesaian optikal sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata LEDs yang berkelajuan tinggi ini merupakan produk "hijau" berkos efektif dalam kelas terbaru, yang bukan saja mesra alam, tetapi juga memiliki nilai estetika yang tinggi.

"Kabel hodoh dan besar yang selalunya terdapat dalam monitor dan televisyen berdefinisi tinggi selama ini, akan tamat riwayatnya," kata Walter.

Penyelidikan itu dibiayai sebuah agensi di bawah Jabatan Pertahanan Amerika bagi membangunkan teknologi baru untuk kegunaan tentera negara berkenaan.

Walter, yang berasal dari Kuching, Sarawak, mencatat satu lagi kejayaan apabila hasil penyelidikannya disiarkan dalam Applied Physics Letter edisi 15 Jun jurnal teknikal yang paling meluas edarannya di dunia. Hanya 52 daripada lebih 10,000 makalah yang dihantar kepada penerbitan itu setiap tahun terpilih untuk disiarkan di muka hadapannya.

QEOS, yang berpejabat di Ayer Keroh, Melaka, ditubuhkan pada Mei 2008 melalui Brain Gain Malaysia Programme satu inisiatif percubaan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi.

Walter berkata sekurang-kurangnya 30 peratus daripada komponen yang diguna untuk menghasilkan produk berkenaan, akan dihasilkan oleh syarikat di Malaysia bagi membantu pembekal tempatan menjana kegiatan perniagaan.

"Melaka akan menjadi ibu pejabat QEOS bagi kegiatan R&D. Kami sedang menilai pelaburan yang diperlukan dari sumber tempatan dan luar negara untuk menjayakan usaha ini," katanya.

Inisiatif Brain Gain Malaysia (BGM) Programme menggalakkan saintis dan penyelidik Malaysia yang tinggal di luar negara serta bekerja dengan syarikat teknologi berimpak tinggi, kembali ke tanah air bagi membantu mempercepatkan usaha Malaysia untuk mencapai ekonomi berteraskan inovasi. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan