suria

Pengalaman Puteri Kaarriena dalam menjaga keselamatan diri

TEKSI merupakan kaedah pengangkutan lumrah bagi beribu-ribu pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang tetapi malang bagi Puteri Kaarriena El-Sherief, 19, pengalaman pertama beliau menaiki teksi berseorangan berakhir dengan kenangan pahit.

Puteri Kaarriena merupakan antara mereka yang menjadi mangsa perompak yang menyamar sebagai pemandu teksi.

Bagaimanapun, gadis periang kacukan Melayu-Mesir ini membuktikan bahawa dengan bersiap sedia dan kebolehan untuk bertindak dengan cepat, beliau dapat menyelamatkan diri. Kecuali beberapa kesan calar dan kejutan yang dialaminya, Puteri Kaarriena terselamat daripada perjalanan 10 minit yang menakutkan itu.

Kejadian yang menimpanya itu juga memperlihatkan kepada pemegang tali pinggang hitam seni mempertahan diri taekwondo ini, yang ramai juga warga Malaysia tidak ambil peduli terhadap mereka yang ditimpa musibah.

Satu pengajaran hidup bagi Puteri Bagi Puteri Kaarriena insiden ini membawa kesedaran baru yang tiada siapa boleh beranggapan keselamatan diri mereka di ruang terbuka dan ruang tertutup adalah terjamin dan bagi beribu-ribu pengguna pengangkutan awam, ia satu peringatan bagaimana keselamatan mereka turut boleh terancam di dalam teksi.

Puteri Kaarriena yang kini bertugas sebagai wartawan pelatih bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), selama ini hidup selesa dan selamat bersama keluarga dan rakan-rakan.

Berasal daripada keluarga berada, beliau menganggap dirinya sebagai bertuah dan tidak perlu memikirkan mengenai masalah pengangkutan awam.

"Bagaimanapun, apabila saya mula menjalani latihan dengan Bernama saya berdepan dengan dunia nyata di mana saya perlu keluar dan bertemu orang ramai daripada semua lapisan masyarakat.

"Oleh itu, seperti mereka yang lain, saya terpaksa menggunakan pengangkutan awam apabila perlu dan kejadian ini berlaku kali pertama saya menaiki teksi bersendirian," kata gadis menawan ini yang sebelum ini hanya menaiki teksi bersama rakan-rakan.

Bagaimana igauan buruk itu bermula Menceritakan apa yang berlaku pada tengah hari 18 Feb, Puteri Kaarriena berkata beliau menahan sebuah teksi putih-merah di KLCC untuk ke Starhill Gallery membuat liputan tugasan.

"Semasa masuk ke dalam teksi tidak timbul sebarang keraguan sehinggakan saya menjawab pemandu teksi itu yang bertanya sama ada saya orang Arab, dan saya menjawab saya daripada kacukan Melayu-Arab.

"Kemudian dengan tiba-tiba beliau naik berang, dan menoleh ke arah saya dan buat pertama kali saya melihat matanya yang merah, sambil beliau mengeluarkan kata-kata menghina, terhadap orang Arab.

"Saya tergamam. Beliau meminta kesemua wang yang ada pada saya. Dengan segera saya membuka tas tangan saya dan membaling ke arahnya RM40 yang ada, dengan harapan ia akan meredakan kemarahan lelaki itu.

"Tetapi berlaku sebaliknya dengan pemandu itu menjadi lebih marah dan mengancam untuk membunuh saya. Saya mula menyedari keadaan dalam teksi semakin genting dan perlu mencari jalan menyelamatkan diri. Saya cuba buka pintu tetapi terkunci,” ceritanya.

Saya perlu berfikir pantas Pemandu itu membawa teksi ke sebatang jalan sunyi dan memakirnya di antara dua buah bas pelancong. Saya merayu meminta beliau melepaskan saya sebaliknya beliau berpusing dan mendekati saya dengan mengacukan sebilah pisau tajam.

"Saya bertekad yang saya tidak akan mengalah dengan mudah. Saya mula mengetuk pintu teksi dengan kuat menggunakan lengan saya, satu teknik yang saya belajar daripada sesi taekwando saya, dan selepas lima kali, pintu terbuka dan saya terjun keluar dan jatuh di atas bahu jalan bersama barang-barang saya.

"Saya bangkit dan menendang tutup pintu teksi itu, dan kemudian berlari beberapa jarak sebelum menoleh ke belakang untuk melihat sama ada beliau mengejar saya. Saya hanya nampak teksi itu meninggalkan tempat berkenaan.

"Kemudian saya ke Star Hill Gallery dan meminta bantuan orang ramai yang lalu-lalang di situ tetapi mereka hanya merenung seketika dan berlalu. Saya duduk menangis di hadapan sebuah butik mewah dengan harapan ada orang yang akan berhenti membantu saya, tetapi mereka nampaknya tidak peduli, mungkin kerana wajah saya yang lebih mirip kepada Arab, sehinggalah seorang lelaki Arab datang bertanyakan, apa masalah saya.

Bersiap sedia "Sebelum ini saya pernah baca di dalam akhbar mengenai penumpang teksi dirompak, malah ada kes penumpang wanita di rogol, tetapi sukar untuk saya percaya yang pengalaman pertama saya menaiki teksi bersendirian akan berakhir seperti ini.

"Walaupun saya terselamat dan hanya mengalami calar-calar kecil dan pecah bibir, tetapi perasaan takut menaiki teksi akan sentiasa ada di dalam diri saya. Sekarang pun saya menghadapi masalah untuk tidur kerana seringkali terbayangkan wajah bengis pemandu itu yang menakutkan dan katakata penghinaannya terhadap orang Arab.

"Nasihat saya kepada mereka yang lain ialah supaya sentiasa bersedia dalam memastikan keselamatan diri. Walaupun adalah baik untuk belajar seni mempertahan diri tetapi berapa ramai daripada kita yang mahu melakukannya?

Mungkin ada beberapa perkara mudah yang boleh dilakukan seperti mencatatkan nombor teksi yang dinaiki dan menghantar SMS kepada kenalan rapat, dan jika boleh, bawa senjata seperti 'pepper spray' (penyembur lada).

Juga pandang wajah pemandu sebelum menaiki teksi kerana ini boleh membantu memastikan mereka yang berbahaya.

"Apapun, insiden ini membuatkan saya lebih peka akan keselamatan di luar rumah dan persekitaran saya."

Puteri Kaarriena El-Sherief ialah seorang penuntut Kolej KDU yang barubaru ini berdepan dengan seorang perompak yang menyamar sebagai pemandu teksi. BERNAMA

Artikel Lain