Cameron Highlands sebuah legasi pinjaman

Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BIMBANG dan gusar dengan krisis air yang membelenggu Cameron Highlands pada lewat 1990-an, beberapa individu bergabung tenaga untuk menubuhkan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH).

Di sebalik bergelut dengan pelbagai cabaran, REACH semakin mantap dengan pelbagai program dan terus mendapat sokongan terutamanya daripada penduduk tempatan Cameron Highlands dalam memperjuangkan isuisu alam sekitar yang mengancam tanah tinggi itu.

Presidennya, Ramakrishnan Ramasamy, 43, anak jati Cameron highlands, menerajui REACH sejak persatuan itu mula diuar-uarkan penubuhannya pada 1998.

Bagi beliau, tiada yang lebih mengecewakan daripada menyaksikan pembangunan agresif yang semakin merubah lanskap tanah tinggi itu serta degradasi yang kian menghakis kualiti alam sekitarnya.

Legasi pinjaman

"Apa yang kami bimbangkan ialah kepesatan pembangunan yang sedang berlaku di Cameron Highlands dan apa yang akan terjadi kepada masa depannya jika tidak ada pemantauan rapi dibuat pihak berkuasa", beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Menurut Ramakrishnan, tanah tinggi itu adalah satu legasi yang bukan diwarisi tetapi sebenarnya dipinjam daripada generasi masa depan. Justeru, katanya, kesejahteraannya perlu dilindungi dan dipelihara. Pendirian ini turut dikongsi ahli jawatankuasa REACH serta mereka yang memberi sokongan kuat terutamanya ahli alamiah dan pencinta alam termasuk mereka dari luar negara.

Dengan pelbagai program yang menekankan pemuliharaan giat dijalankan, REACH bukan sahaja mendapat sokongan serta bantuan daripada penduduk tempatan Cameron Highlands, tetapi juga sukarelawan dari Kuala Lumpur sehingga sejauh Singapura.

Penghutanan

Bimbang dengan kegiatan menebang dan pemerkosaan hutan dara sekitar Cameron Highlands, REACH dengan sokongan Jabatan Perhutanan mengambil inisiatif melancarkan projek penghutanan pada 2001.

Menurut Ramakrishnan, projek tersebut membabitkan kawasan seluas 17 hektar di Gunung Brinchang. Katanya, seorang petani tempatan secara haram menggondolkan tapak berkenaan untuk aktiviti pertanian dan sebahagiannya adalah terdiri daripada hutan simpan Hulu Bertam.

Tambah beliau, hutan tersebut bukan sahaja mengandungi banyak kepelbagaian biologi flora dan fauna tetapi juga membentuk sebahagian daripada kawasan tadahan air loji rawatan air Sungai Burung.

Ramakrishnan berkata, loji rawatan tersebut membekalkan air minuman kepada penduduk pekan Brinchang dan kawasan sekitar.

"Bayangkan apa yang berlaku apabila kawasan tersebut digondolkan. Bukan sahaja hutan ditebang, flora dan faunanya turut musnah serta kualiti air terjejas.

"Kami berjaya menyakinkan Jabatan Perhutanan supaya mengadakan perkongsian pintar, mereka memberi bantuan teknikal dan kami pula menanam semula pokok di tapak yang digondolkan", katanya.

Kerja yang rumit

Setakat ini, REACH dengan bantuan sukarelawan telah berjaya menanam semula kira-kira 60 peratus daripada kawasan yang ditebang secara haram.

Di beberapa lokasi, sabut kelapa digunakan untuk mewujudkan lapisan atas tanah. Menurut Ramakrishnan, kerja menanam semula itu amat rumit.

"Ketika hutan berkenaan digondolkan, hujan telah menghanyutkan lapisan atas tanah yang mengandungi humus dan bahan organik. Tanah menjadi hampir gersang dan keadaan ini memperlahankan pertumbuhan tanaman di samping faktor altitud tinggi", katanya. Antara spesies tempatan yang ditanam termasuk 'podo bukit' (podocarpus neriifolia), 'medang' (lauraceae spp), 'meranti bukit' (meranti bukit) dan 'merapuh daun runcing' (swietenia penagiana).

Pada 2004, REACH mula menanam 'symingtonia (exbucklandia) populnea' di tapak berkenaan.

Kesemua anak benih, kata Ramakrishnan diperoleh dari kawasan hutan yang berhampiran serta lokasi lain.

"Harapan kami projek penghutanan ini akan dapat menyemai bukan sahaja perasaan penuh kesedaran dan tanggung jawab sekurang-kurangnya di kalangan masyarakat Cameron Highlands tetapi mereka juga merasa pokok ini adalah milik mereka yang perlu dijaga serta dipelihara.

"Mereka mesti menghargai peranan untuk melindungi kepentingan hutan dan kawasan tadah air", kata Ramakrishnan.

Cintai sungai

Sungai-sungai di Cameron Highlands boleh dikatakan menjadi mangsa utama kegiatan menggondol tanah secara besar-besaran bagi aktiviti pertanian terutamanya di cerun yang curam mahu pun kawasan tadahan air serta pembangunan berlebihan kawasan bandar.

Dan menurut Ramakrishnan, memandangkan keadaan sungai di tanah tinggi itu yang semakin teruk keadaannya, REACH mengorak langkah untuk mendidik penduduk Cameron Highlands tentang kepentingan kualiti air sungai yang baik. Projek ini dimulakan pada 2005.

"Di peringkat permulaan, kami menumpukan usaha untuk mencetus kesedaran keadaan sungai. Program kami bermula dengan pelajar sekolah menengah dan tahun ini kita akan babitkan pelajar sekolah rendah", katanya.

Ramakrishnan berkata, beliau sedikit pun tidak patah hati dengan hakikat kempen "Cintai Sungai Kita" yang dianjurkan kerajaan diumum gagal.

"Itulah sebabnya mengapa kami memberi fokus kepada anak-anak, sekurang-kurangnya mereka akan balik ke rumah dan menyakinkan ibu bapa mereka tentang program sungai kami serta kepentingannya.

"Kami turut mengambil langkah dengan menjadikan program ini lebih menarik. Anak-anak ini akan menjadi Community Stream Investigators (CSI). Secara berkumpulan, mereka akan memeriksa keafiatan sungai-sungai di sini.

"Dengan mencari haiwan kecil di dalam sungai serta ujian yang mudah, mereka akan belajar sama ada sungai itu sihat atau tercemar. Cara didikan begini lebih menarik perhatian anak-anak dan lebih murah", jelas Ramakrishnan.

Beliau memberitahu kit ujian air yang diberikan kepada kanak-kanak sekolah disumbangkan oleh Water Environment Federation di bawah Program Pemantauan Air Dunianya.

Projek kitar semula

Satu lagi projek pelestarian yang dijalankan REACH ialah projek kitar semula yang dimulakan pada 2003.

"Kami memulakan program kesedaran ini yang membabitkan kanak-kanak sekolah serta masyarakat tempatan termasuk kawasan perumahan serta kampung. Kami juga pergi ke perkampungan orang asli", kata Ramakrishnan, serta menambah kegiatan pendidikan di sekolah membabitkan pelajar membawa lima kilogram bahan kitar semula ke sekolah setiap minggu.

REACH juga menubuhkan pusat kutipan untuk bahan kitar semula termasuk surat khabar, tin aluminium serta plastik di lokasi tertentu di Lembah Bertam, Ringlet, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.

Bagi projek kitar semula ini, REACH mendapat sokongan baik daripada Majlis Daerah Cameron Highlands yang kemudiannya memberikan satu tapak untuk dijadikan sebagai loji memampatkan bahan kitar semula.

"Loji berkenaan terletak berhampiran Simpang Pulai. Ia dibuka tahun lepas. Di loji itu, semua bahan kitar semula yang dikumpulkan dari pusatpusat kutipan akan dimampatkan sebelum dihantar ke kilangkilang di Ipoh dan Kuala Lumpur.

"Setakat ini, projek kitar semula berjalan dengan baik. Secara tidak langsung, kami juga membantu pihak berkuasa tempatan untuk menguruskan bahan buangan secara lestari", kata Ramakrishnan.

Petani sasaran berikutnya

Menurut beliau, bagi 2009 REACH merancang untuk meneruskan projek kitar semula secara besar-besaran.

"Pihak kami akan menjadikan ladang sebagai sasaran projek ini tahun ini. Kami ada melawat beberapa ladang tahun lepas tetapi tidak secara agresif kerana kekurangan tenaga pekerja", katanya.

Ramakrishnan memberitahu, ladang di Cameron Highlands menggunakan banyak plastik dan setengahnya mencampakkan bahan tersebut serta sisa buangan lain tanpa rasa bersalah ke dalam sungai.

"Kami amat memandang berat akan sikap acuh tak acuh mereka yang mengusahakan ladang ini. Saya sendiri pernah melihat ramai yang melakukan perbuatan tidak bertanggung jawab ini. Ada juga yang turut membuang bekas racun serangga ke dalam sungai.

"Malahan seorang peladang memberitahu saya dia membuang sampah ke dalam sungai kerana ramai peladang lain berbuat demikian. Dia beritahu demikian ketika saya menegur perbuatannya dan pekerjanya membuang sampah ke dalam Sungai Parang selepas menutup gerai sementaranya yang dibuka semasa perayaan Tahun Baru Cina yang lalu!" kata Ramakrishnan.

Buku orkid

Sementara itu, REACH akan menghasilkan sebuah buku mengenai Orkid Liar Cameron Highlands pada bulan depan. Buku bersaiz kertas A4 dan setebal 205 halaman ini akan dimuatkan dengan lebih 400 gambar orkid liar, berlatar belakangkan kawasan hutan tanah tinggi yang masih belum dicemar.

"Projek ini membabitkan sekumpulan sukarelawan dan ramai individu telah memberi sokongan dan bantuan untuk usaha ini.

"Hasil daripada jualan buku tersebut akan disalurkan untuk projek pemuliharaan kami di Cameron Highlands", kata Ramakrishnan.

Buku ini dijual dengan harga RM98 sebuah.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan