suria

Mencari siput menjadi aktiviti cuti murid sekolah di Kelantan

SIPUTSEKOLAH (DENGAN GAMBAR)

KOTA BAHARU: Sudah menjadi satu kelaziman dan senario semasa kehadiran musim tengkujuh di Kelantan akan kelihatan kanak-kanak bagaikan berpesta mencari 'siput bendang' dan kepah 'Timben' semasa cuti sekolah.

Bagi mereka, selain mencari wang saku untuk diri sendiri, ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan pada musim cuti sekolah. Siput bendang dan kepah Timben adalah hidupan air tawar dan mempunyai cengkerang yang berbelang-belang.

Perbezaan antara hidupan ini ialah siput bendang yang bersaiz lebih besar boleh didapati di kawasan sawah manakala kepah Timben hidup di kawasan tali air.

Siput dan kepah ini membiak dengan banyaknya semasa musim tengkujuh, kerana hujan akan menyebabkan tanah sawah dan tali air menghasilkan banyak lumpur dan berair, satu keadaan yang kondusif untuk habitat berkenaan.

RAKAN BARU

Bagi Alif Amiru, 13, dari Kampung Larak, Pendek, dekat sini, beliau berkata, pada musim cuti ini aktiviti seumpama adalah peluang untuknya berkenalan rakan baru di kampungnya.

"Bila kita keluar mencari siput bendang dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari, banyak cerita yang dikongsi bersama rakan-rakan sekolah.

"Walaupun sekampung tetapi sekolah asingasing, jadi waktu inilah yang sesuai untuk kita kenal rapat jiran sekampung," katanya kepada Bernama.

Makanan Siput Bendang dan kepah Timben merupakan antara makanan kegemaran masyarakat Kelantan.

Makanan itu sesuai dimasak sebagai masak lemak serai, goreng pedas, rebus atau dibakar.

Alif berkata, kebanyakan hidupan air tawar itu mudah didapati di kawasan sawah dan tali air.

"Pada musim hujan air daripada hulu membawa masuk hidupan itu dan ianya akan berkumpul pada kawasan tali air dan sawah," katanya.

TALI AIR CETEK

Alif berkata, setiap pagi dia dan rakannya keluar dari rumah dengan menggalas beberapa beg plastik untuk digunakan bagi mengumpul hidupan itu.

"Bagi kepah Timben kami akan cari kawasan tali air yang tidak dalam sahaja baru kami cari. Kalau dalam kami tidak berani," katanya.

Katanya, kadang-kadang beliau risau juga jika kakinya terpijak duri semasa mencari hidupan itu bersama rakan serta terdapat kawasan jerlus di dasar tali air berkenaan.

Kebanyakan mereka hanya pergi mencari kepah Timben ketika air di kawasan tali air sedalam 0.3 meter atau hanya paras pinggang mereka.

"Tapi seronok cari dengan kawankawan selain kita dapat mandi dan bermain air bersama," katanya.

Menurut Mohd Syafiza Zakaria, 13, kebiasaannya siput bendang mudah dicari di kawasan sawah kerana di situlah hidupan berkenaan berkumpul.

Beliau dan rakan-rakan akan mengorek lumpur yang berada di dasar air sawah untuk mencari siput bendang dengan menggunakan tangan. "Bimbang juga kami jika terjumpa binatang berbisa seperti ular dan lintah," katanya.

Manakala Faizul Hisham, 14, berkata, mereka akan menjual hasil tangkapan siput bendang dan kepah Timben di tepitepi jalan seperti di Jalan Salor-Kota Baharu. Setiap hari rakan-rakannya akan membawa kira-kira 8 kilogram atau 10 kilogram bagi kedua-dua hidupan itu untuk dijual.

"Bagi Siput bendang, kami jual RM3 sekilogram manakala kepah Timben ianya dijual RM4 sekilogram," katanya.

Wang terkumpul hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk membeli keperluan sekolah pada tahun depan, katanya.

"Ataupun kami gunakan wang itu untuk bersiar dan makan makanan yang sedap bersama kawan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Between a rock and a hard place

Artikel Berikut

Artikel Lain