suria

Pembangunan Pulau Indah bukti keprihatinan Westports

WESTPORTS Malaysia, sebagai sebuah daripada pelabuhan utama di negara ini, bukan sahaja berusaha meningkatkan mutu kecekapan operasi hariannya, malah turut menunaikan tanggungjawab sosialnya khusus kepada penduduk Pulau Indah. Pulau Indah, yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Lumut, pada asalnya hanya merupakan kawasan tanah paya bakau yang terletak tidak jauh dari pantai Selangor.

Dengan adanya pelan pembangunan yang strategik, Pulau Indah kini adalah sebuah pulau yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan asas untuk kegunaan lebih 6,000 penduduknya.

Di samping itu, Pulau Indah juga bakal bergelar kawasan 'bandar pelabuhan' dengan pelaksanaan projek bersepadu bernilai RM4 bilion iaitu Taman Perindustrian Pulau Indah (PIIP) yang giat memacu pembangunan dalam semua sektor, termasuk pembangunan sosial di kalangan penduduk pulau berkenaan.

Program basmi kemiskinan

Westports melihat kehadirannya di Pulau Indah bukan sekadar untuk memenuhi agenda perniagaan.

Tanggungjawab sosial seperti membangunkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, kegiatan komuniti masyarakat dan banyak lagi dirasakan perlu agar penduduk menikmati pembangunan selari dengan apa yang dikecapi Westports.

"Bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan, hari-hari dilalui ibarat kehidupan selepas tsunami melanda. Situasi ini tidak harus wujud di saat negara sedang pesat membangun," kata Pengarah Eksekutif Westports, Ruben Emir Gnanalingam.

Oleh yang demikian, aspek pembangunan ekonomi penduduk diberi penekanan yang lebih agar tidak wujud lagi istilah 'kemiskinan' di Pulau Indah.

Berpegang kepada kepercayaan bahawa pembangunan ekonomi harus melibatkan anggota masyarakat sekali gus membuahkan faedah kepada mereka, Westports telah menggariskan beberapa polisi yang diguna pakai untuk membasmi kemiskinan sejak pembukaannya pada 1994, antaranya;

* Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pekerjaan

* Meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di Pulau Indah

* Menaik taraf kualiti pendidikan dan kesihatan penduduk di Pulau Indah

Kini, hampir 60 peratus pekerja Westports adalah penduduk Pulau Indah dan sebahagian besarnya, iaitu 70 peratus daripada warga kerja Westports ialah Bumiputera.

Sumbangan sosial

Menurut Ruben, kejayaan Program Basmi Kemiskinan ini diukur dengan penurunan jumlah kadar kemiskinan.

Tahun silih berganti, Westports sudah menyumbang lebih RM5 juta untuk pelbagai projek komuniti di Pulau Indah. Antara pelaksanaan Westports bagi menjayakan Program Basmi Kemiskinan ini adalah seperti;

* menyerahkan Geran Tahunan bagi tahun 1998 hingga 2003 berjumlah RM80,000 kepada Penghulu Pulau Indah untuk pembiayaan program sosial dan kebajikan penduduk

* menambah peruntukan Geran Tahunan kepada RM100,000 mulai tahun 2004

* membina dan membaik pulih rumah yang rosak akibat angin kencang sekitar Mac 2006 dan Jun 2007

* bantuan kewangan sebanyak RM200 setiap bulan diberikan kepada 50 buah keluarga yang dikenalpasti memerlukannya.

Di samping itu, usaha membina dan membaik pulih sekolah, tempat rekreasi dan riadah, klinik, pondok-pondok telefon awam, dewan orang ramai, jalan raya dan pelbagai kemudahan asas lain turut diberi perhatian oleh Westports.

Sumbangan seumpama ini memperlihatkan suasana kejiranan yang harmoni di kalangan penduduk Pulau Indah.

Selain itu, golongan yang memerlukan turut diberi saguhati untuk meringankan bebanan. Pemberian wang saku mahupun bantuan kewangan bulanan sebanyak RM50 juga disalurkan kepada sejumlah keluarga dan anak-anak yatim tertentu.

Sebuah klinik masyarakat didirikan bagi memenuhi keperluan perubatan kecemasan seperti menyambut kelahiran, kecederaan ringan serta rawatan pesakit asma.

Untuk kemudahan perubatan dan kesihatan, Westports turut melengkapi senarai dengan sumbangan lain seperti khidmat nasihat perubatan, bantuan ubat-ubatan, ambulans serta pemeriksaan kesihatan percuma yang merupakan sebahagian daripada kempen gaya hidup sihat di Pulau Indah.

Westports juga memberi perhatian serius terhadap sektor pendidikan.

Ini dapat dilihat apabila prasarana di sekolah-sekolah terutamanya makmal komputer dan perpustakaan dinaik taraf supaya suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih kondusif di samping dianjurkan klinik-klinik peperiksaan.

Warga emas dirai

Westports turut melahirkan penghargaan terhadap golongan warga emas dengan meraikan mereka pada satu majlis bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-50, tahun lepas.

Warga emas yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan ibu bapa kakitangan Westports dihimpunkan agar semangat pejuang kemerdekaan dan peristiwa pahit manis yang pernah dilalui untuk mencapai kemerdekaan dapat dihidupkan kembali di kalangan generasi muda.

Jelas sekali, Westports, dengan keikhlasan dan komitmen yang berterusan daripada pelbagai pihak, telah membawa perubahan kepada pulau kecil yang letaknya jauh dari kota ini.

Selaku penganjur program kemasyarakatan dan penyedia pelbagai kemudahan, Westports menjadi pemangkin kepada kehidupan sejahtera penduduk Pulau Indah.

Kini, Westports layak berbesar hati kerana telah memberikan sinar baru dalam kehidupan penduduk Pulau Indah, sekali gus mempererat lagi hubungan antara syarikat itu dengan masyarakat. BERNAMA

Artikel Berikut

Waiting for a call

Artikel Lain