suria

Anugerah Merdeka bantu rangsang lebih banyak penyelidikan

Penyelidikan hari ini ialah permulaan bagi kemajuan saintifik di masa depan, kata Prof Dr Tan Chong Tin dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Oleh itu sokongan dan pengktirafan amat penting dalam menggalakkan lebih banyak penyelidikan dan kajian saintifik bagi manfaat masyarakat dan negara.

Dr Tan yang mengetuai pasukan 15 anggota membuat kajian wabak Japanese Encephalitis (J.E.) yang kemudian dikenal pasti sebagai virus Nipah, merupakan penerima bersama Anugerah sulung Merdeka bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi dengan Prof Datuk Dr Khalid Kadir. "Wabak ini dari sudut pandangan ekonomi menyebabkan kerugian hingga RM1 bilion bagi industri penternakan babi tetapi disebabkan kejayaaan penemuan dalam penyelidikan ini, kerugian itu dapat dibendung. Ia mungkin memberikan kesan kepada ribuan manusia," katanya.

Kejayaan penemuan oleh pasukan Dr Tan ini kemudian membantu negara lain yang berdepan dengan wabak serupa.

"Di Bangladesh dan India, wabak yang sama berlaku dua kali setahun tetapi disebabkan mereka tidak tahu virus seumpama itu wujud, mereka tidak pasti bagaimana untuk menanganinya. Bagaimanapun hanya selepas virus Nipah ditemui, mereka mengetahui penyakit ini berpunca daripada virus itu," katanya. PENEMUAN MEMBAWA PENGIKTIRAFAN Disebabkan kejayaan pasukan ini, mereka dilantik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai konsultan apabila wabak yang sama melanda Bangladesh dan India.

"Diharapkan pengiktirafan yang diberikan Anugerah Merdeka ini akan membantu dalam mendapatkan lebih banyak peruntukan bagi penyelidikan dan program saintifik.

"Tidak mudah untuk mendapatkan dana, jadi kami akan memperuntuk sebahagian besar daripada hadiah wang ini untuk membiayai program yang kami tidak dapat peruntukan. Kecuali berlaku mala petaka, tidak ramai yang berminat membantu kami," katanya. Pasukan itu menerima sijil, piala dan RM250,000 Isnin lepas (24 Nov).

"Sebagai contoh, kami mahu melatih lebih ramai individu dari negara jiran tetapi tiada siapa yang mahu menyokong idea ini.

Buat masa ini ada seorang doktor dari Laos bersama kami untuk dilatih sebagai pakar neurologi. Hanya ada seorang ahli neurologi di Laos bagaimanapun kami gagal mendapatkan dana untuknya. Jadi sebahagian daripada hadiah wang ini akan dibelanjakan untuk perkara seperti ini," katanya.

Dr Tan turut mengeluh bahawa tidak banyak insentif juga untuk menghasilkan vaksin bagi virus Nipah.

Beberapa saintis cuba mengusahakannya tetapi insentif yang ada terhad kerana wabak itu tidak melibatkan jumlah yang ramai untuk vaksin yang dihasilkan boleh dikomersialkan, katanya. TERJEJAS TERUK

Virus Nipah menjangkiti kira-kira 265 orang dan menyebabkan kematian lebih 105 orang. Jangkitan viral ini kemudian merebak kepada pekerja tempat sembelih babi di Singapura yang menjejaskan teruk industri ternakan babi negara.

Penyakit itu pertama kali muncul di Ipoh, Perak pada akhir 1998. Menjelang 1999 ia merebak ke Negeri Sembilan. Ketika itu penyakit itu dianggap J.E. tetapi kemudian disedari ia sejenis penyakit baru yang tidak dikenali dalam sains.

"Kami dapati penyakit ini bukan J.E. dan virus itu merebak terus daripada babi kepada manusia. Jalan penyelesaiannya ialah membunuh babi yang dijangkiti untuk menghentikan virus itu daripada merebak. Kemudian barulah jangkitan itu dapat dikawal," katanya.

Dr Tan berkata separuh daripada pesakit dirujuk kepada Pusat Perubatan UM (UMMC) dan ketika itulah pasukannya terlibat dalam mengkaji wabak ini dan menemui virus baru itu.

Pasukan ini juga merangka strategi pengurusan dan rawatan bagi jangkitan itu.

Beliau menganggap Dr Chua Kaw Bing dari jabatan mikrobiologi sebagai orang yang berjasa menemui dan mengenal pasti virus itu sementara anggota pasukan yang lain menyiasat pesakit dan merekodkan ciricri klinikal dan makmal penyakit itu.

"Autopsi dilakukan terhadap 30 daripada yang mati itu untuk melihat keadaan tisu mereka. Daripada itu kami mengkaji apa patogenesisnya, maknanya bagaimana permulaan penyakit itu boleh mengembang dalam manusia.

"Kami juga meneliti asal usul virus ini, ia berpunca daripada kelawar dan sama ada virus itu boleh merebak kepada manusia serta rawatan terhadap penyakit ini," jelas beliau.

KURANGNYA KESEDARAN

Virus itu menjangkiti otak dan paruparu. Dalam kes yang menunjukkan gejala, pada mulanya ia seperti tandatanda biasa influenza, demam dan sakit otot. Penyakit itu kemudian melarat menjadi inflamasi otak (ensefalitis) yang menyebabkan mengantuk, disorientasi, sawan dan koma. Lima puluh peratus kes yang didiagnos membawa kepada kematian.

"Di India, doktor, pekerja perubatan, saudara mara dan sesiapa jua yang dekat dengan pesakit juga akan dijangkiti," kata Dr Tan.

Wabak terbaru dilaporkan berlaku di Rajbari, Bangladesh, pada Februari 2008, mengesahkan bahawa Nipah ensefalitis kini merupakan penyakit jangkitan berbahaya di rantau ini.

Tambahan pula virus ini boleh ditemui di banyak negara terutama di mana keluang tinggal, seperti di Kemboja, Indonesia, Thailand, Afrika, Madagascar dan Ghana yang memungkinkan wabak ini boleh berlaku merentasi benua Asia, Afrika dan Australia.

Dr Tan berkata penyakit ini berpotensi untuk menjejaskan manusia di banyak kawasan di dunia tetapi kesedaran terhadapnya adalah terhad.

RAWATAN SOKONGAN

Tiada terapi ubat yang sudah terbukti berkesan dalam merawat jangkitan Nipah ini. Rawatan banyak bergantung kepada pemberian rawatan sokongan intensif.

"Semasa wabak itu, kami memilih ubat anti viral bernama Ribavarin. Kami menggunakan ubat itu kerana ia didapati menyekat pertumbuhan virus berkaitan virus Hendra.

Pada penghujung wabak ini, kami menganalisis hasilnya. Kadar kematian mereka yang mengambil ubat itu berkurangan kirakira 30 peratus.

"Bagaimanapun rawatan umum pesakit mungkin lebih penting berbanding ubatubatan. Di Bangladesh di mana kebanyakan pesakit dirawat di hospital luar bandar, kadar kematian ialah 70 peratus berbanding 40 peratus di Malaysia," katanya.

Satu lagi langkah penting ialah mencegah virus itu daripada merebak. Di Malaysia kerajaan mengarahkan tentera untuk membunuh kirakira satu juta babi tetapi di Bangladesh wabak itu merebak daripada kelawar kepada manusia.

"Banyak kajian dilakukan untuk memastikan bagaimana virus ini dipindahkan daripada kelawar kepada manusia. Satu daripada kaedah penyebaran yang penting ialah melalui nira pokok tamar. Kini pencegahan dilakukan dengan menggunakan jaring semasa mengumpulkan nira itu untuk mengelak dicemari kelawar," katanya.

"Kami menyedari bahawa virus ini mudah merebak daripada air liur dan air kencing, jadi kami mengambil langkah pencegahan seperti memakai pakaian pelindung, sarung tangan dan penutup muka semasa memeriksa pesakit," katanya. BERDEPAN DENGAN PENYAKIT YANG TIDAK DIKENALI

Selain kejayaan penemuan saintifik itu, pasukan ini juga diiktiraf kerana keberanian dan keazaman yang ditunjukkan dalam mengendalikan penyakit yang tidak diketahui ini, yang mudah berjangkit, boleh menyebabkan kematian segera dan tidak diketahui rawatan yang sepatutnya. Dr Tan, yang merupakan antara pakar neurologi pertama di Malaysia dengan pengalaman selama 30 tahun berkata beliau melalui keadaan yang sungguh menyayat hati, melihatkan ramai yang mati dan keluarga yang kehilangan bukan seorang, tetapi beberapa orang yang dikasihi. VIRUS GANJIL

Kebanyakan pesakit pulih dengan 10 peratus daripada mereka mendapat penyakit itu semula dalam tempoh tiga bulan hingga lima tahun selepas serangan pertama.

"Ini merupakan virus yang ganjil, ia bersembunyi di dalam otak walaupun selepas pesakit itu pulih, dan selepas beberapa ketika ia menyebabkan seseorang itu sakit semula. Ini merupakan sejenis virus yang bertindak dalam cara yang amat luar biasa," katanya.

Dan persoalan paling penting ialah jika wabak itu menyerang lagi, adakah kita sudah bersedia untuk menangani masalah ini?

"Saya fikir perkara utama ialah doktor-doktor harus sentiasa berwaspada bahawa virus ini boleh menjangkiti manusia lagi tetapi bukan dalam cara yang serupa. Virus ini akan menjelma dalam keadaan yang berbeza.

Pesakit di Bangladesh menderita penyakit paru-paru yang serius sementara di Malayia ia menjejaskan otak," katanya. Beliau berkata setiap tahun, terdapat kes baru yang muncul di tempat lain di dunia.

Babi merupakan sumber jangkitan yang jelas dalam kebanyakan kes manusia semasa wabak Nipah di Malaysia, tetapi punca lain seperti anjing dan kucing yang dijangkiti tidak boleh diketepikan.

Pemenang lain Anugerah Merdeka 2008, yang diusahakan Petronas bersama ExxonMobil dan Shell, ialah Datuk Leslie Davidson bagi kategori Sumbangan Ulung kepada Rakyat Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNs) untuk kategori Alam Sekitar dan tokoh akademik Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.BERNAMA

Artikel Sebelum

Waiting for a call

Artikel Berikut

Free way to make money

Artikel Lain