Demokrasi dalam Umno dan sistem kuota tentukan pemimpin terbaik

Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Reaksi umum terhadap ramainya pemimpin Umno menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden parti barubaru ini tidak sehangat bila ramai pula yang menawarkan diri untuk jawatan nombor dua parti.

Empat orang setakat ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden setelah seorang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menarik diri.

Yang terbaru mengumumkan hasrat beliau ialah Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bilangannya memang tidak ramai, jika dibandingkan dengan sekurangkurangnya 13 orang yang berminat bertanding jawatan naib presiden Umno bagi pemilihan Mac depan.

Sebilangan anggota parti, pemimpin dan pemerhati menerima baik penawaran diri empat individu ini kerana menganggapnya sebagai proses demokrasi yang sihat . Bagaimanapun tidak kurang yang memberi reaksi berbeza disebabkan, pertama, tiga daripada bakal calon ini, naib presiden Datuk Seri Mohamed Ali Rustam dan ketua bahagian Umno Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Ahmad Zahid mengumumkan hasrat mereka sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan keputusan beliau tidak mahu bertanding jawatan presiden Umno.

Kedua, dua daripada mereka, Ahmad Zahid dan Nur Jazlan bukan daripada kalangan yang memegang jawatan kanan dalam parti.

Ketiga, tidak kurang ada yang terkejut kerana tawaran itu datang daripada pemimpin Umno yang dilihat sebelum ini tidak berani menongkah arus seperti yang dilakukan Muhyiddin, yang berani bersuara sehingga berlakunya perubahan suasana di dalam parti dan proses peralihan kuasa dipercepatkan.

Muhyiddin, seperti kata anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Rais Yatim yang dipetik Utusan Malaysia Selasa lepas, telah dikutuk bersama sekumpulan pemimpin lagi kerana meminta disegerakan peralihan kuasa. Bagaimanapun Muhyiddin yang lantang mahukan perubahan di dalam parti, mengambil masa hingga hari ini untuk mengumumkan keputusannya kerana menghormati presiden dan timbalan presiden yang menyatakan pendirian masing-masing pada Rabu dan Khamis.

Keempat, jawatan timbalan presiden ialah jawatan nombor dua Umno dan individu yang dipilih kelak dianggap akan menjadi orang nombor dua pula di dalam kepimpinan kerajaan, maka pertimbangan teliti siapa yang layak, menjadi perbualan.

Timbalan Presiden bakal Timbalan Perdana Menteri

Dalam hal ini, Dr Rais dipetik sebagai berkata kalau dilihat, semua bekas presiden Umno datang daripada pemimpin yang pernah berada di dalam kedudukan timbalan presiden dan naib presiden, dan mereka yang terpilih kelak sebagai timbalan presiden ialah bakal perdana menteri yang seharusnya orang yang sudah masak pengalaman dan terlatih sebagai pemimpin parti dan negara.

Abdullah mengumumkan Rabu lepas, tidak akan mempertahan jawatan presiden Umno Mac nanti sekaligus membuka laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri, jika menang dalam pemilihan itu.

Semalam, Ketua Penerangan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib menjadi orang keempat menawarkan diri kerana dianggap kekosongan sudah berlaku. (tetapi Ahmad Zahid kemudian menarik diri).

Reaksi umum terhadap perebutan bagi jawatan timbalan presiden ini turut menenggelamkan kemungkinan Najib akan dicabar bagi jawatan presiden parti pula.

Bakal calon yang disebutsebut ialah ketua bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Bukan setakat ukur baju sendiri Dr Rais telah meminta individu yang menawarkan diri supaya "mengukur baju di badan sendiri" tetapi yang menawarkan diri tentunya sudah mengukur baju mereka.

Kali terakhir jawatan timbalan presiden ditandingi ialah pada 1987 apabila Tun Ghafar Baba berjaya mengalahkan penyandang Tun Musa Hitam.

Ketika itu tiada kuota yang disyaratkan bagi seseorang untuk melayakkan diri bertanding jawatan tinggi parti, namun perebutan hanya di antara dua individu.

Atas semangat dan tujuan jawatanjawatan penting parti tidak direbut oleh sesiapa saja selepas itu, sistem undi bonus diperkenalkan (10 undi setiap satu pencalonan jawatan) dan hasilnya menguntungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pemilihan Umno 1993 apabila semasa di peringkat pencalonan lagi jelas boleh mengalahkan Tun Ghafar, penyandang jawatan ketika itu, yang akhirnya mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatannya.

Berikutan itu pada 1996, sistem kuota mengambil tempat bagi pemilihan peringkat tinggi Umno.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan (daripada 191 bahagian Umno kini), timbalan presiden (20 peratus atau 38 pencalonan), naib presiden (10 peratus atau 19 pencalonan dan majlis tertinggi (5 peratus atau 10 pencalonan).

Sistem kuota jadi tapisan Namun sistem ini tidak pernah teruji bagi pemilihan timbalan presiden kerana tiada pertandingan bagi jawatan itu hinggalah kini, sedangkan bagi jawatan naib presiden dan majlis tertinggi amalan itu telah terpakai.

Malah untuk jawatan presiden juga, walaupun tidak kosong, sistem itu diuji pada 2004 apabila Tengku Razaleigh menawarkan diri bertanding menentang Abdullah, tetapi beliau gagal mendapat peratusan yang diperlukan.

Mungkin juga sebab setelah bertahun tiada pertandingan, dan kekosongan dilihat berlaku untuk pemilihan Umno Mac depan, maka ramai yang menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden.

Ada perdebatan sebelum ini bahawa sistem kuota ini dihapuskan untuk memberikan kebebasan pertandingan.

Bagaimanapun jika diteliti, untuk mendapatkan 38 pencalonan daripada 191 bahagian tidaklah sukar, jika empat atau lima orang sahaja yang bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Tetapi sekurangkurangnya sistem kuota ini menjadi tapisan menghalang sesiapa sahaja yang telah mengukur baju di badan sendiri, dan menganggap dirinya layak bertanding, akan menawarkan diri untuk dicalonkan.

Bak kata Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz semasa mengulas perkara ini kepada Bernama:

"sudah sifat sesetengah manusia menganggap diri masingmasing yang terbaik untuk sesuatu dan akan berusaha keras mempengaruhi penyokong yang menganggap mereka demikian".

Bimbang politik wang

Bagaimanapun beliau memberi amaran politik wang boleh memburukkan keadaan apabila ramai yang cuba bertanding akan mengelabui mata penyokong tentang apa jua kekurangan dan kelemahan calon yang mereka sokong.

Beliau tidak begitu yakin sistem kuota boleh menjadi tapisan kepada yang layak sahaja bertanding jika politik wang berleluasa di dalam parti.

"Saya khuatir jika wang boleh membeli kuota dan jawatan, maka Umno akan hilang penghormatan dan kredibilitinya dalam kalangan anggota dan masyarakat sebagai parti yang mampu menerajui kerajaan," kata anggota parlimen Kuala Kangsar ini, seorang veteran di dalam parti dan kerajaan.

Rafidah juga tidak mahu pertandingan untuk jawatanjawatan tertinggi Umno ini menjadi bahan cakapan sinis dan menarik komen negatif masyarakat seolaholah ia terbuka untuk sesiapa sahaja.

"Jangan sekalikali lupa bahawa keduadua pemimpin Umno yang dipilih untuk dua jawatan tertinggi Umno presiden dan timbalan presiden ialah mereka yang bakal memimpin Barisan Nasional, kerajaan dan rakyat.

"Perlulah diyakinkan rakyat akan kredibiliti pemimpin Umno dahulu supaya rakyat tidak raguragu menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang," katanya.

Pertandingan proses biasa

Jika Rafidah menegaskan amanah, integriti dan maruah perlu diutamakan dalam pertandingan ini, anggota exco Pemuda Umno Datuk Idris Haron sependapat bahawa sistem kuota bagi Umno sememangnya bertujuan mengutamakan kualiti ini di dalam pemilihan terhadap pemimpin yang berwibawa.

Justeru anggota parlimen Tangga Batu ini ketika ditanya Bernama, tidak nampak di mana janggalnya penawaran diri beberapa orang pemimpin untuk jawatan nombor dua di dalam Umno.

Jika diteliti individu yang menawarkan diri, kecuali Nur Jazlan, ialah mereka datang dari kalangan naib presiden, bekas naib presiden dan yang pernah menjadi ketua Pemuda yang mana jawatannya setaraf dengan naib presiden, katanya.

Beliau berkata fokusnya sekarang ialah jawatan timbalan presiden kosong kerana Najib menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden, maka ada kewajaran bagi pertandingan berlaku, dan mereka yang menawarkan diri mempunyai kelayakan untuk itu iaitu setaraf dari segi pengalaman memegang jawatan di dalam parti.

"Di sini kita lihat sistem kuota itu perlu kerana telah mengehadkan daripada sesiapa sahaja Tom, Dick and Harry, ketua cawangan atau anggota jawatankuasa bahagian bertanding selepas mencari kawankawan mereka memberikan sokongan," katanya.

Maruah diri dan negara Idris berkata hampir semua individu yang menawarkan diri setakat ini, Mohamed Ali, Muhammad dan Muhyiddin diilihat mempunyai pakej lengkap untuk bersaing mendapatkan sokongan atau pencalonan daripada kuota itu.

Bagi Nur Jazlan pula, Idris mengganggap, sebagai pendatang baru, jika beliau mendapat 38 pencalonan, itu suatu yang baik kerana membuktikan beliau mempunyai pengaruh untuk melayakkan diri bertanding dan seorang calon yang berwibawa dan mendapat kepercayaan anggota parti.

Bagaimana pula kalau orang menganggap ketika itu politik wang mempengaruhi pembelian kuota kerana Umno masih belum bersih daripada amalan ini? Idris berkata orang ramai tidak perlu pesimistik dalam hal ini.

"Saya menggangap ketuaketua bahagian semuanya matang yang akan meletakkan kepentingan parti dan maruah negara mengatasi segalanya," katanya.

Beliau menidakkan kemungkinan wang mempengaruhi pertimbangan mereka yang memilih di peringkat ini kerana " parti memilih jawatan penting peringkat kebangsaan, jawatan nombor dua. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan