Mini Clubman Baharu Lebih Moden Diperkenalkan

Diterbitkan: Isnin, 25 April 2016 3:06 PM

(Ubah saiz teks)

MINI Malaysia memperkenalkan varian terbaharu, Mini Clubman yang merupakan generasi terkini lebih ikonik mula berada di pasaran negara bagi segmen kompak premium.

Ahli terbaru dalam keluarga Mini menawarkan kombinasi unik pemanduan yang menyeronokkan, karisma premium, fungsi dan gaya yang tersendiri, hadir dengan varian Mini Cooper Clubman dan Mini Cooper S Clubman.

Mini Clubman baharu merupakan satu-satunya kenderaan enam pintu dalam segmennya. Ia menjadi tarikan, terutamanaya rekaan di pintu belakang yang terpisah itu dikekalkan. Aspek keluar masuk dan kegunaan harian dipertingkatkan menerusi tempat duduk dan pintu sisi bersaiz penuh. 

Selain rekaan luaran yang versatil, Mini Clubman baharu menepati segala kriteria dalam segmen kompak dari segi fungsi melalui cara tersendiri dan tidak konvensional. 

Reka Bentuk

Mini Clubman baharu diserlahkan menerusi dimensinya yang lebih besar berbanding model terdahulu. Konsep rekaan badan yang tersendiri adalah hasil daripada garis-garis kemas dan siluet yang lancar. 

Dengan rekaan yang lebih sofistikated, Mini Clubman baharu kini sepanjang 4,253mm, lebar 1,800mm dan setinggi 1,441mm. Perkadarannya yang tersendiri itu dibina di atas tapak roda bersaiz 2,670mm. Sementara lebar treknya ialah 1,564mm di hadapan dan 1,565mm di belakang.




Varian ini jelas menunjukkan statusnya selaku model paling besar dalam generasi baru Mini dengan ciri Air Curtains baharu menyalurkan udara di sekitar roda dan masuk ke dalam Air Breathers di bahagian belajang arca roda hadapan. 

Ciri yang pertama pada Mini ini membantu mengurangkan masalah pekali seretan dan menawarkan pemanduan lebih lancar dan selesa. Empat buah pintu sisi dan kontur bahagian atas menyerlahkan kelebaran kereta ini.  Ia juga mengekalkan rekaan pintu belakang yang terpisah, ia menjadi ciri paling menarik pada kenderaan baru ini.

Satu bar diposisikan di antara seksyen kaca dua bahagian bukaan pintu. Kelihatan lebih nipis berbanding model terdahulu, ia berfungsi mengoptimumkan pandangan belakang pemandu. Bahagian belakang Mini Clubman baharu ini juga tampil dengan lampu horizontal rekaan baru.  

Satu lagi ciri utama Mini Clubman baharu ialah pancaran logo Mini ke tanah daripada lampu yang terletak di dalam perumah cermin sisi pemandu. Lampu itu akan menyala selama 20 saat setiap kali pemandu membuka atau mengunci kereta. 

Mini Clubman baharu dilengkapi lampu utama dan lampu kabus LED. Dari segi pilihan rim pula, varian Mini Cooper dipasang dengan rim aloi ringan Net Spokeberwarna perak bersaiz 17 inci. Manakala varian Mini Cooper S tampil dengan rim aloi ringan Star Spoke berwarna hitam bersaiz 18 inci.

Kedua-dua varian tersebut didatangkan dengan tayar jenis run-flat.

Enjin Berkuasa bersama Teknologi Mini TwinPower Turbo.

Mini Clubman baharu menawarkan prestasi dan penjimatan terbaik dengan enjin tiga dan empat silinder yang hadir bersama teknologi Mini TwinPower Turbo di bawah bonetnya.

Mini Cooper Clubman baharu dijana oleh enjin 3 silinder sebaris bersesaran 1.5 liter yang menjanjikan prestasi sporty. Ia berupaya menghasilkan kuasa maksimum 136hp dan tork 220Nm. 




Pecutan dari sifar hingga 100km/j hanya memerlukan masa 9.1 saat dengan kelajuan maksimum 205 km/j. Biarpun begitu, penggunaan purata bahan api Mini Cooper Clubman baharu cuma 5.4 liter bagi setiap 100 kilometer. 

Mini Cooper S Clubman pula membawakan hantaran kuasa ke satu tahap yang lebih tinggi. Enjin empat silinder bersesaran 2.0 liternya mampu menjana kuasa sehingga 192hp dan tork maksimum 280Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 7.1 saat dengan kelajuan maksimum 228km/j.

Sedangkan purata penggunaan bahan api hanya 5.9 liter bagi setiap 100 kilometer.

Enjin empat silinder pada Mini Cooper S Clubman dipadankan dengan transmisi Steptronic 8 kelajuan, satu lagi rekaan pada Mini, yang menjanjikan kecekapan, keselesaan dan pemanduan lebih sporty. 

Hal ini dapat direalisasikan melalui lengkok gear lebih luas dan kelok pecutan enjin yang lebih pendek. Tempoh penukaran gear yang lebih pantas juga boleh dilakukan dengan menggunakan pertukaran pedal pada stereng yang mampu dimaksimumkan dengan menggabungkan kemudahan transmisi automatik dan penukaran kedudukan gear secara manual. 


Dimensi Gaya Pemanduan seperti Go-Kart yang Baru

Mode Pemanduan Mini dan Teknologi Suspensi Mini boleh diaktifkan melalui satu suis rotari yang terletak pada bahagian bawah gear atau tuil pemilih.

Selain mode standard MID, pemandu kini boleh memilih mode Sport dan Green.

Dalam mode Sport, lengkok rekaan pedal minyak dan stereng ditukar dengan talaan lebih sporty yang menjadikan penukaran gear transmisi Steptronic lebih pantas.

Mini Cooper Clubman Dalam mode Green yang menawarkan pemanduan lebih tenang dan menjimatkan bahan api, aspek pengurusan tenaga serta suhu disokong oleh sistem kawalan pintar yang lengkap bersama paparannya.

Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, jentera itu boleh menggunakan fungsi luncuran. Sebaik sahaja pemandu tidak menekan pedal minyak, rangkaian kuasa akan dinyahgandingkan ketika kenderaan berada pada kelajuan 50 hingga 160km/j.

Mini Clubman baharu kemudian bergerak pada kelajuan enjin melahu dengan tahap penggunaan bahan api yang minimum.

Dengan kombinasi sambungan topang gandar pada roda hadapan, gandar jenis multilink di belakang dan interpretasi spesifik ke atas struktur ini, Mini Clubman baharu sebenarnya memiliki teknologi suspensi yang sangat moden dalam segmen kompak premium.

Selain itu, penghantaran kuasa ke roda hadapan dan titik graviti yang rendah, prinsip binaan ini menawarkan asas sempurna untuk pengendalian lincah seperti sebuah go-kart. 




Stereng kuasa elektromekanikal dan ciri standard bantuan stereng berasaskan kepada kelajuan turut menyumbang kepada karektor pemanduan yang jitu. Peredam pada gandar hadapan dan belakang pula dinyahgandingkan mengikut keadaan bagi menyokong galasnya.

Selain Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake force Distribution (EBD), Cornering Brake Control (CBC) dan Brake Assistant, sistem kawalan kestabilan Dynamic Stability Control (DSC) juga dilengkapi dengan ciri bantuan drive-off, fungsi brek kering, Fading Brake Support dan DTC mode (Dynamic Traction Control). 

Ciri-ciri tersebut membolehkan kenderaan tergelincir secara terkawal, serta memudahlan pemanduan di atas jalan yang basah dan licin. 

Apabila sistem kestabilan pemanduan dimatikan (DSC Off mode), terdapat fungsi kunci elektronik untuk pembeza gandar hadapan yang dikenali sebagai Electronic Differential Lock Control (EDLC). 

Ia berperanan membrek roda pada selekoh tajam dan menyalurkan kuasa tork ke roda yang lain. 

Menjadi ciri standard pada Mini Cooper S Clubman, Kawalan Prestasi menyokong stereng untuk pengambilan selekoh dengan lebih dinamik.   


Bahagian Dalaman

Antara ciri yang menonjol pada Mini Clubman baharu ketika ia tiba untuk bersaing dalam segmen kompak premium ialah lima tempat duduk penuh, akses mudah, ruang luas buat semua penumpang dan komparment barangan yang versatil.

Rekaannya dilihat lebih matang dengan penggunaan material dan kemasan berkualiti tinggi.

Mini Clubman baharu hadir bersama satu panel muzik dan bingkai fascia kokpit yang besar.

Sentuhan rekaannya penuh harmoni bersama kemasan panel pintu dan konsol tengah. Bahagian bawah corong pendingin hawa terdapat satu garis dekoratif yang membuatkan ruang kabin ini berasa lebih luas.

Ruang dalaman Mini Clubman baharu juga terus menawarkan ciri-ciri yang ditampilkan buat pertama kalinya pada sebuah Mini untuk meningkatkan keseronokan pemanduan, keselesaan dan keselamatan.

Ini termasuklah brek parkir elektrik yang menggantikan tuil brek tangan yang besar. Pemandu hanya perlu menekan butang untuk mengaktifkan fungsi baru berkenaan.

Ini memberikan lebih ruang untuk perehat tangan yang mewah dan selesa.

Mini Clubman baharu dilengkapi sistem pendingin hawa dua zon dan cermin pandang belakang anti silau automatik.Bukan itu sahaja, Mini Cooper S Clubman baharu dipasang dengan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi memori.

Ini membolehkan pemandu merekodkan posisi kedudukan yang mereka gemari. Tempat duduk itu juga mempunyai sokongan lumbar untuk keselesaan maksimum.

Satu lagi ciri baru yang unik pada Mini Clubman ialah Comfort Access dengan fungsi bukaan mudah.

Ciri ini menampilkan alat pengesan yang diaktifkan menggunakan kaki untuk membuka pintu belakang tanpa perlu menekan butang.

Varian Mini Cooper Clubman hadir dengan upholsteri berwarna hitam (Cloth Firework Carbon Black) bersama ruang dalaman berwarna kelabu (Hazy Grey), garis krom dan stereng sports dibalut kulit.

Sementara varian Mini Cooper S Clubman pula menawarkan ruang kabin berwana hitam (Piano Black) dengan upsholteri kulit Cross Punch berwarna merah tua, serta stereng dibalut kulit John Cooper Works dan pertukaran pedal.

Dari segi ruang, Mini Clubman dilengkapi banyak tempat penyimpanan barang yang berguna dan sesuai untuk dipandu dalam perjalanan jauh. Ini termasuklah ruang penyimpanan hadapan yang luas, kompartmen dan poket pintu yang boleh diisi dengan botol air berkapasiti 1 liter.

Ketika semua tempat duduk digunakan, ruang kargonya adalah seluas 360 liter.

Tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40 membolehkan ruang kargo ditingkatkan menjadi 1,250 liter. Bahagian panel hiburan, komunikasi dan pengalaman pemanduan pula ditingkatkan dengan ciri Mini Connected yang membolehkan integrasi telefon bimbit di dalam kereta dilakukan secara bebas.

Dengan menggunakan aplikasi Spotify misalnya, pemandu dan penumpang boleh berhibur dengan pilihan lebih dua juta buah lagu. Gaya pemanduan juga boleh dirakam dengan mengawal kamera GoPro secara langsung daripada kokpit kereta.

Aplikasi-aplikasi ini boleh dimuat turun daripada App Store untuk dilihat pada paparan Mini dan mudah diakses menggunakan butang kawalan.Mini Clubman didatangkan dalam dua warna baharu iaitu perak (Melting Silver) dan merah tua (Pure Burgundy).

Skim warna lain yang disediakan ialah putih (Pepper White), hitam (Midnight Black), kelabu (Moonwalk Grey), biru (Deep Blue), hijau (British Racing Green dan kelabu (Thunder Grey) yang khas untuk varian Mini Cooper S Clubman.

Mini Clubman baharu hadir bersama Jaminan Selama 4 Tahun dengan Perbatuan Tanpa Had Mini dan Servis Berjadual Percuma. Servis berjadual percuma itu disediakan selari dengan sistem Condition Based Service. 


Harga anggaran Mini Clubman baharu (di atas jalan tidak termasuk insurans untuk pendaftaran peribadi):


MINI Cooper Clubman - RM 203,888.00

MINI Cooper S Clubman  - RM 253,888.00

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan