UPM-Kasetsart University & Maejo University Rintis Kerjasama Dwi-Ijazah

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2015 9:45 PM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua buah universiti ternama di Thailand - Kasetsart University dan Maejo University -  semasa lawatan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd. Fauzi Ramlan ke negara itu awal Februari lalu.

Memorandum Perjanjian itu membolehkan UPM dan kedua-dua universiti berkenaan bekerjasama menawarkan program dwi-ijazah (dual degree) di peringkat siswazah.

Pada majlis itu, Kasetsart University diwakili oleh Naib Presiden (Kampus Sriracha) Profesor Madya Dr Bordin Rassameethes manakala Maejo University diwakili oleh Presidennya, Profesor Madya Dr Chamnian Yosraj.

Kasetsart University yang merupakan universiti kelima terbaik di Thailand bersetuju untuk bekerjasama dengan UPM menawarkan program dwi-ijazah di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran falsafah dalam pelbagai bidang terutamanya yang berasaskan pertanian, sains makanan, perhutanan, agro industri dan ekonomi.

Maejo University pula bersetuju bekerjasama dengan UPM menawarkan program dwi-ijazah di peringkat ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang berkaitan pertanian, sains dan teknologi makanan serta kejuruteraan makanan.

Menurut Dr Fauzi, program yang ditawarkan itu akan membolehkan pelajar yang mengambil bahagian mendapat dua  ijazah dari kedua-dua universiti apabila tamat pengajian.

Ia juga akan membuka peluang kepada mereka untuk menambah pengalaman dan memperluas jaringan melalui kerjasama penyelidikan yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua universiti sekali gus menjadikan mereka lebih terkehadapan di dalam pasaran pekerjaan.

Program ini juga memberikan keistimewaan kepada pelajar Malaysia dan Thailand kerana kedua-dua universiti telah bersetuju untuk mengenakan kadar yuran pelajar tempatan kepada pelajar yang mengikuti program ini.

Dr Bordin pula berharap, program itu nanti akan merintis kejayaan dan setiap fakulti dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Manakala Dr Chamnian pula berkata, perjanjian itu akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala sambil berharap pelbagai kerjasama lain akan dapat dirintis pada masa hadapan.

Dengan termeterainya perjanjian berkenaan, kini bilangan Program Kerjasama Antarabangsa UPM (UPM-ICP) meningkat kepada 14 kesemuanya melibatkan 11 buah universiti terkemuka dunia iaitu University of Sheffield, University of Glasgow, University of Nottingham, Ajou University, Kyushu Institute of Technology, University of Newcastle Australia, University of Southern Queensland, Naresuan University dan South Kazakhstan State University.

Delegasi UPM turut mengadakan lawatan ke Mahidol University dan Chulalongkorn University bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama seperti pertukaran staf, program mobiliti pelajar (inbound dan outbound) dan kerjasama menawarkan program dwi-ijazah (dual degree).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan