suria

IPT Digesa Jalankan R&D Dalam Bidang Berimpak Tinggi Kepada Pembangunan Negara

PUTRAJAYA: Semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta digesa menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang berimpak tinggi kepada pembangunan negara.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata IPT boleh memanfaatkan dana R&D RM1 bilion yang disediakan kerajaan.

Daripada jumlah itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM600 juta kepada Universiti Penyelidikan dan RM400 juta untuk universiti bukan penyelidikan pada tahun depan untuk meneroka ilmu-ilmu baharu yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM700 juta untuk tujuan yang sama pada tahun ini.

"Penambahan peruntukan membuktikan kerajaan bersedia membangunkan R&D untuk mengerakkan ekonomi negara berasaskan inovasi," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Universiti Antarabangsa Unitar, di sini, Khamis.

Beliau juga menyarankan IPT swasta menawarkan program baharu kepada pelajar untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan mewujudkan kira-kira 3.2 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

"Saya berharap IPT Swasta akan memberi tumpuan untuk menyediakan program baharu bagi memenuhi kehendak dalam sektor NKEA," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled mahu rakyat Malaysia memanfaatkan Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster) dan Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD) untuk menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah.

Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM115 juta untuk program MyMaster dan RM84 juta untuk Program MyPhD.

"Tidak dapat dinafikan bahawa peruntukan yang disediakan untuk program MyMaster dan MyPhD itu tidak habis digunakan. Sehubungan itu, saya berharap orang awam akan rebut peluang ini untuk melanjutkan pelajaran dengan bantuan kerajaan iaitu RM10,000 setahun untuk program MyMaster dan MyPhD RM20,000," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain