UTEM & Universiti Islam Indonesia Jalin Kerjasama Strategik

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Keunggulan dan kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai pusat perkembangan ilmu khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan di rantau ini telah menarik minat Universiti Islam Indonesia (UII) untuk menjalin kerjasama strategik.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, UII ingin bekerjasama dengan UTeM bagi melaksanakan program dikenali sebagai "dual degree" dalam bidang kejuruteraan industri yang mana di akhir program pelajar akan mendapat dua ijazah, masing-masing satu daripada dari UII dan satu daripada UTeM.

Beliau berkata, UII juga berminat menjalankan program tempoh singkat bagi pelajar sarjana di mana ia bertujuan memendekkan masa pembelajaran kepada hanya lima tahun untuk mendapat ijazah sarjana muda dan sarjana.

"Mereka begitu tertarik dengan kemudahan fasiliti UTeM yang lengkap serta makmal-makmal berteknologi tinggi yang diisi dengan peralatan dan mesin berpadanan dengan keperluan semasa industri," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Mohamad Kadim berkata, kemampuan UTeM melahirkan mahasiswa profesional dan berkompetensi tinggi mendorong UII untuk bekerjasama dengan UTeM dan ini dapat memberikan impak positif kepada kedua-dua universiti pada masa akan datang.

Kepimpinan UII telah mengadakan lawatan ke UTeM bagi membincangkan pelaksanaan program kerjasama antara kedua-dua pihak.

UII adalah antara universiti tertua di Indonesia ditubuhkan pada 1945. Ia merupakan sebuah universiti yang komprehensif dengan pelbagai fakulti dan program seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, undang-undang, ekonomi dan juga pengajian islam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan