UMS Kenal Pasti Sumber Biologi Sabah

Diterbitkan: Rabu, 1 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Institut Penyelidikan Bioteknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berharap dapat mengenal pasti sumber-sumber biologi yang berpotensi di Sabah dan memajukannya bagi kegunaan komersial, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon.

"Memanfaatkan hubungan antara bioteknologi dengan kepelbagaian sumber biologi dengan betul akan memberikan platform yang baik bagi pemuliharaan kepelbagaian," katanya pada pelancaran Simposium Bioteknologi IV 2010, bertema "Memanfaatkan Sumber Biologi Melalui Bioteknologi" di sini hari ini.

Beliau berkata, kekayaan sumber biologi tidak memberikan faedah sepenuhnya kepada manusia, dan dengan demikian tema ini amat relevan.

"Tema ini kena pada masanya kerana ia bertujuan memberikan maklumat terkini kepada penyelidik mengenai trend bioteknologi global," katanya.

Kamaruzaman berkata, bidang-bidang lain yang akan dibincangkan ialah pembangunan teknologi, implikasi pemindahan teknologi dan pendekatan terhadap penggunaan bioteknologi untuk memanfaatkan sumber-sumber biologi secara optimum.

Seramai 114 penyelidik, termasuk dari India, Afrika Selatan, Nigeria, Korea Selatan, Iran dan Thailand, menghadiri seminar itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan