UKM Wajar Gerak Anggota Alumni Untuk Teruskan Kecemerlangan

Diterbitkan: Jumaat, 18 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sewajarnya menggerakkan anggota alumninya dengan lebih aktif dalam pelbagai aktiviti agar kecemerlangan universiti itu dapat ditingkatkan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu seharusnya disusuli dengan pelbagai bentuk program kerjasama yang konkrit antara alumni dan universiti.

Katanya antara bidang yang boleh diberikan tumpuan ialah pembangunan modal insan yang melibatkan aspek latihan industri dan mobilisasi pelajar.

"Warga alumni yang berada di institusi dan firma yang strategik boleh membantu universiti menyediakan kemudahan kepada para graduan untuk menjalani pelbagai bentuk program latihan amali yang sesuai," katanya semasa berucap merasmikan majlis makan malam alumni UKM di sini malam semalam.

Muhyiddin berkata, UKM sebagai gedung ilmu terkenal dengan falsafah dan etosnya dalam memperkasa bahasa kebangsaan adalah landasan kepada identiti universiti berkenan yang berorientasikan citra kebangsaan.

"UKM adalah antara universiti paling awal menyahut cabaran untuk memperkasa pendidikan tinggi dalam bahasa kebangsaan.

"Karya ilmiah yang telah dihasilkan dalam bahasa Melayu meyakinkan kita bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu tinggi yang mampu mengungkapkan idea saintifik dengan tepat dan tuntas," katanya.

Kerajaan juga, jelas beliau, mempunyai iltizam untuk melihat UKM cemerlang sebagai sebuah institusi ilmu yang mempunyai jiwa dan rohnya tersendiri.

"Betapa banyak universiti terkemuka dunia yang telah kehilangan jiwa dan rohnya yang murni, yang menyebabkan mereka gagal melahirkan insan yang tinggi nilai moral dan akal budinya.

"Sebagaimana yang kita lihat mutakhir ini, krisis nilai yang berlaku dalam dunia ekonomi dan kewangan sejagat telah menampakkan kegagalan beberapa universiti terkemuka dunia untuk melahirkan para cendekiawan yang mempunyai nilai kebertanggungjawaban sosial yang utuh," katanya. Justeru, tegasnya, etos dan falsafah unggul UKM adalah roh universiti berkenaan yang lahir dari semangat para pelopornya untuk menggalas tanggungjawab sosial yang murni iaitu meningkatkan martabat pendidikan anak bangsa.

"Matlamat ini jangan kita lupakan. Dengam mengekalkan matlamat, etos dan falsafah universiti yang sarat dengan perjuangan murni ini, saya percaya UKM akan menjadi sebuah universiti terkemuka yang terserlah sisi kebertanggungjawaban sosialnya," katanya.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Buku Direktori Alumni UKM. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan