suria

KIST Cadang Naik Taraf Sebagai Kolej Universiti Islam

BACHOK: Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) bercadang untuk menaik taraf statusnya kepada sebuah Kolej Universiti Islam bagi menawarkan sekurang-kurangnya 15 program pengajian peringkat sarjana muda, mulai tahun depan.

Naib Presiden KIST, Dr Mohd Azman Abu Bakar berkata pihaknya sudah memohon dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan kelulusan itu.

"Kita yakin akan mendapat kelulusan berasaskan keupayaan KIST sudah berjaya melahirkan ramai graduan peringkat diploma sebelum ini bagi memenuhi keperluan terutama Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita pada majlis penutup hari keluarga KIST di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya kini mempunyai 4,000 pelajar yang mengikuti 15 pengajian peringkat diploma termasuk bidang kejururawatan, farmasi dan peringkat sijil penerbangan dan kejuruteraan pesawat ringan.

Beliau berkata satu lagi pengajian terbaru sedang dirangka ialah Diploma Falak Syarie yang akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat dengan mensasarkan 50 pelajar tempatan dan luar negara mengikutinya. - BERNAMA

Artikel Lain