suria

Keputusan Pilihan Raya Kampus UM Kekal, Pro-A Kuasai MPP

PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) kekal dengan kemenangan barisan Pro-Aspirasi (Pro-A) selepas siasatan dalaman mendapati tiada unsur penyelewengan dalam sistem pengundian elektronik (e-undi) yang pertama kali digunakan tahun ini.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Ghauth Jasmon ketika mengumumkan keputusan itu berkata, perunding perisian e-undi yang dilantik kumpulan Pro- Mahasiswa (Pro-M) untuk menguji perisian e-undi terbabit mengesahkan bahawa sistem berkenaan stabil, telus dan sukar untuk digodam.

"Daripada laporan perunding teknologi maklumat (IT) ini dan ujian-ujian yang telah dilakukan oleh Pusat Teknologi Maklumat (PTM) UM, saya dapat merumuskan bahawa sistem IT e-undi yang telah dibangunkan ini boleh dan amat wajar digunakan sebagai ganti kepada sistem manual yang lampau.

"Daripada laporan itu jelas pada saya, pihak konsultan IT tidak langsung mempersoalkan keboleharapan dan keutuhan sistem e-undi UM," katanya pada sidang akhbar pengumuman rasmi keputusan pilihan raya pelajar UM sesi 2009/2010 di sini hari ini.

Dengan pengumuman rasmi itu, calon-calon Pro-A diisytiharkan menang dengan 21 kerusi menewaskan Pro-M yang hanya memperoleh 17 kerusi, manakala calon bebas tiga kerusi.

Sebelum ini, keputusan pilihan raya kampus terbabit digantung sementara waktu sehingga siasatan mengenainya selesai dijalankan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan.

Rabu lalu Ghauth membuat keputusan tersebut selepas mengadakan perbincangan selama tiga jam dengan wakil kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) yang sebelum itu berhimpun di depan bangunan Canselori membantah keputusan pilihan raya kampus yang dimenangi barisan Pro-Aspirasi (Pro-A).

Malah, beliau berjanji akan menyiasat aduan tersebut secara terperinci. Kelmarin, sekumpulan wakil kumpulan Pro-A menyerahkan memorandum kepada Ghauth untuk mengekalkan keputusan e-undi.

Mengulas lanjut, Ghauth berpendapat bahawa semua staf PTM yang terlibat dalam pembangunan sistem e-undi dan diketuai oleh Dr David Asirvatham tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pilihan raya pelajar ini.

Malah katanya, mereka telah membangunkan sistem e-undi ini sebaik mungkin dengan tahap profesionalisme yang tinggi.

"Universiti Harvard sendiri telah menggunakan sistem e-undi dalam pilihan raya pelajar mereka seperti yang diberitahu oleh konsultan terbabit," ujarnya.

Mengenai bantahan para pelajar, Ghauth menjelaskan beliau telah mengkaji semua aduan itu dan mengarahkan kakitangannya segera menyiasat terutama perkara-perkara yang boleh menjejaskan integriti sistem e-undi.

Hasil siasatan katanya, menunjukkan bahawa integriti keputusan pilihan raya baru-baru ini tidak terjejas.

"Manakala, aduan-aduan lain berkaitan pengurusan, pelaksanaan dan perjalanan proses pilihan raya dan pengundian terutama oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah, sedang dan akan terus disiasat atau dikaji untuk tujuan penambahbaikan perjalanan pilihan raya pada masa hadapan," jelasnya.

Ghauth menegaskan, tindakan sewajarnya mengikut peruntukan peraturan universiti sedia ada akan diambil ke atas staf dan pelajar universiti yang terbabit sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau penyalahgunaan kuasa.

Berhubung 14 bantahan yang diterima selepas pemilihan ditutup pada pukul 6 petang, 28 Januari lalu, beliau memberitahu, bantahan itu telah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Bantahan dan empat daripada bantahan tersebut telah dirujuk kepada Jawatankuasa Rayuan.

"Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan oleh Profesor Khaw Lake Tee, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) telah menimbangkan bantahan tersebut dan kesemua bantahan telah ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan," ujarnya.

Artikel Sebelum

UPM Perkenal Talian Bebas Tol

Artikel Berikut

Artikel Lain