suria

UiTM Kelantan Peruntukkan RM10 Juta Bangunkan Makmal Penyelidikan

MACHANG: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan di Machang memperuntukkan RM10 juta untuk membangunkan makmal penyelidikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Pengarah Kampus Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM kampus berkenaan, Prof Madya Dr Nik Kamarulzaman Abdul Latif berkata kawasan seluas lebih 40 hektar tanah yang terletak berhampiran kampus itu sudah dikenalpasti untuk pembinaan makmal itu.

"Pembinaan makmal itu adalah antara perancangan penting dalam tempoh lima tahun bagi memesatkan lagi usaha penyelidikan selaras dengan kehendak kerajaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata makmal itu berfungsi untuk melahirkan lebih ramai graduan yang menjadi modal insan negara terutama dalam bidang pertanian dan pembangunan sistem maklumat.

Dr Nik Kamarulzaman berkata kampus cawangan itu yang memenangi tiga pingat emas, tujuh perak dan empat gangsa dalam pertandingan reka cipta antara 14 kampus UiTM dari seluruh negara pada 12 hingga 14 Januari lepas di Shah Alam menyemarakkan lagi semangat ke arah itu.

Beliau berkata dalam pertandingan itu UiTM Kelantan menampilkan 15 reka cipta yang berkaitan dengan pertanian dan bidang teknologi maklumat (ICT) hasil ciptaan pensyarah dan pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tarikh Pilihan Raya Kampus IPTA

Artikel Lain