Ban Busuk Unik Pada Nama, Kekal Hingga Kini

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 1:30 AM

Ban atau parit besar yang dahulunya busuk menyebabkan ia dikenali sebagai Ban Busuk.

(Ubah saiz teks)

NAMANYA cukup terkenal terutama bagi penduduk disekitar Bukit Mertajam dan Permatang Pauh di Seberang Prai, serta Kulim, Kedah sebagai lokasi bazar Ramadan yang sentiasa sesak dengan pengunjung.

Bazar yang dibina ditepi parit bersebelahan Lebuhraya Kulim Ekspress (BKE) ini dibuat atas laluan tar mini sepanjang kira-kira 500 meter.

Pengunjung yang bertandang kesini juga mudah untuk memilih juadah yang dijual iaitu berjalan masuk sebelah kanan kemudian berjalan pulang dari arah kiri maka semua gerai yang menjual juada berbuka dapat dikunjungi.





Namun bagi pengunjung yang sudah arif dengan bazar Ramadan ini, mereka hanya menuju ke gerai pilihan dan membeli juadah yang dihajati.

Terletak di Pekan Penanti, Permatang Pauh dan nama Ban Busuk ini diberi penduduk tempatan kerana bazar ini beroperasi ditepi sebuah parit yang busuk satu ketika dahulu.

Parit atau ban ini masih wujud sehingga hari ini namun ia tidak lagi sebusuk dahulu kerana sistem peparitan masa kini yang lebih baik.

Dibazar ini, pelbagai makanan istimewa dapat diperolehi, malah harganya  murah serta makanan yang dijual juga lazat, sekali gus menjadikannya antara lokasi pilihan ramai untuk membeli juadah berbuka.

Disini ada cucur jagung yang menjadi rebutan pelanggan kerana keaslian rasanya serta kelembutan cucurnya menaikkan selera sesiapa sahaja yang menjamah.





Jika mahu ayam percik golek juga boleh singgah ke bazar ini kerana cara penghasilannya lain dari yang lain.

Istimewanya bazar Ramadan ini adalah kepelbagaian juadah berbuka yang unik serta setiap pengusaha datang dari kawasan berdekatan.

Aneka sup hinggalah kepada aneka kuih muih, lauk pauk, ikan bakar, ayam bakar, ayam percik golek, murtabak istimewa dan pelbagai lagi juadah dan makanan dari peniaga.




Mungkin atas faktor itu juga pengunjung lebih berminat ke bazar Ramadan Ban Busuk ini kerana hampir semuanya peniaga tetap yang beroperasi di lokasi sama setiap tahun.

Pelanggan sudah tahu keenakan dan rasa setiap hidangan, kuih muih serta juadah berbuka dari setiap gerai yang ada disini.

Yang paling penulis minat adalah kari semilang dan ikan bawal kawah yang akan dimasak apabila mendapat tempahan pelanggan.

Aroma karinya sahaja sudah cukup membuka selera dan kepekatan karinya juga pasti membuat pelanggan ingin mencuba.

Penulis sendiri telah merasai kari ikan semilang dan bawal yang dijual dan rasanya cukup enak serta menyelerakan, selain harganya yang murah.

Dengan pelbagai hidangan yang dinyatakan, tidak hairanlah, bazar Ramadan Ban Busuk ini mula dikunjungi pelanggan seawal jam 3.30 petang, jika datang lewat sejam, anda akan terperangkap dalam lautan manusia.

Bermula jam 4.30 petang sehingga hampir waktu berbuka pengunjung yang membanjiri bazar Ramadan ini begitu sesak dan tentunya mengambil masa untuk membeli juadah berbuka.

Penulis sendiri tanpa disedari telah membeli terlalu banyak juadah kerana ada sahaja jualan nampak menyelerakan. Jadi, jika terlalu kenyang ketika berbuka nanti, ia boleh dimakan di waktu sahur.



Tags / Kata Kunci: Bazar Ramadan Ban Busuk , BKE

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan