suria

Bazar Ramadan Kilang Lama Riuh Setahun Sekali

Peniaga 'tak menang tangan' melayan pengunjung yang tidak putus-putus di bazar Ramadan Kilang Lama, Kulim di Kedah.
SETIAP kali bermulanya bulan puasa, maka bazar Ramadan pun tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kesempatan ini, penulis akan membawa anda meninjau suasana bazar Ramadan disekitar Kulim, Kedah.

Antara bazar Ramadan yang paling ramai pengunjung adalah di Kilang Lama, kerana keunikan kuih muih serta aneka makanan yang dijual.

Di sini, pelbagai juadah boleh didapati seperti ayam panggang, ayam percik, ayam golek dan pelbagai jenis lauk pauk, nasi briyani, nasi ulam, kuih muih dan aneka jenis makanan ditawarkan kepada pelanggan.


Ayam percik antara menu yang mendapat sambutan ramai.

Seawal pukul 4 petang, pengunjung sudah mula memenuhi bazar Ramadan Kilang Lama ini kerana ianya paling hampir dengan kawan perindustrian Kulim Hi-Tech serta kawasan perumahan dan juga hospital daerah.

Bazar Ramadan ini akan mula beroperasi kira-kira pukul 3.30 petang dan berakhir hingga selepas waktu berbuka, malah disaat-saat akhir sebelum azan Maghrib pun masih ramai pengunjung yang datang.



Pelbagai lauk pauk dan gulai kawah yang sesuai untuk juadah berbuka dijual di Kilang Lama.


Penulis sendiri sukar membuat pilihan kerana kebanyakan gerai dipenuhi orang ramai, malah penjual sendiri sukar untuk penulis temubual kerana kesibukan melayan pelanggan.

Keriuhan dan kemeriahan suasana di bazar Ramadan ini dengan gelagat pelanggan dan juga penjual hanya dapat dilihat pada bulan Ramadan yang dirai setahun sekali.

Bagi yang gemar mencuba masakan utara tanahair, jangan lupa singgah ke bazar Ramadan Kilang Lama yang sentiasa menyambut kehadiran anda dengan menghidangkan pelbagai juadah untuk berbuka bersama keluarga tersayang.

bazar Ramadan Kilang Lama, Kulim

Artikel Sebelum

Sotong Masam Manis

Artikel Berikut

Artikel Lain