suria

Selesaikan tunggakan atau disingkir dari Liga-M 2020 - FAM

Stuart memberi amaran kepada tiga pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia 2020.

TIGA pasukan iaitu Melaka, Polis Diraja Malaysia dan Kelantan berdepan hukuman pemotongan tiga mata daripada Liga Malaysia (Liga-M) sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing pada 31 Januari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan memaklumkan, tambahan enam mata lagi akan dipotong sekiranya mana-mana tiga pasukan berkenaan gagal melunaskan tunggakan gaji sehingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan iaitu pada 28 Februari ini.

Beliau menegaskan tindakan penyingkiran daripada Liga-M akan dilakukan ke atas ketiga-tiga pasukan berkenaan sekiranya mereka masih gagal menjelaskan tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir ketiga, iaitu pada 30 Mac ini.

“Ingin juga diingatkan, mana-mana pasukan di atas yang telah mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit sebelum tarikh akhir pertama yang ditetapkan iaitu pada 31 Januari ini, mereka tetap boleh dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta pada bila-bila masa jika didapati melanggar, atau tidak membayar tunggakan kepada pemain atau pegawai berkenaan mengikut tarikh-tarikh yang telah pun dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Stuart berharap ketiga-tiga pasukan berkenaan memberi perhatian serius untuk melunaskan tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir pertama, 31 Jan ini sekiranya tidak mahu dipotong sebarang mata.

PDRM dan Melaka beraksi dalam saingan Liga Super, manakala Kelantan beraksi dalam saingan Liga Premier 2020.

Pada Rabu, Stuart mengesahkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM telah mengeluarkan surat amaran terakhir untuk ketiga-tiga pasukan berkenaan menjelaskan tunggakan gaji, atau berdepan pemotongan mata daripada saingan Liga-M 2020.

Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Februari tahun lepas memutuskan untuk menyingkirkan pasukan Perlis daripada saingan Liga-M 2019 setelah gagal memberi jaminan kewangan yang kukuh untuk meneruskan baki saingan liga.MFL merupakan pentadbir Liga-M.

FAM, Stuart, Kelantan, PDRM, Melaka, Gaji, Tunggakan

Artikel Berikut

Artikel Lain