suria

Melaka United Tak Akan Benarkan JDT Menang Mudah

Yusoff Mahadi (kiri) yang juga pengurus Pasukan Skuad Bawah 22 (B-22) negara bersama jurulatih pasukan Datuk Ong Kim Swee ketika memantau enam pemain yang melaporkan diri bagi persediaan Sukan Sea ke-29 lalu. - Bernama

MELAKA: Biarpun berdepan dengan pasukan terhebat dalam Liga Malaysia, Melaka United tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT)  pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Hang Jebat,  Krubung, Jumaat ini.

Pengurus pasukan Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata walaupun prestasi pasukannya terumbang-ambing, ia tidak bermakna mereka tidak mempunyai peluang untuk menang.

“Saya harap pemain dapat menampilkan aksi terbaik dengan tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Bola Sepak Bawah 16 tahun di padang, Wisma MUSA pada Isnin.

Dalam kempen Piala Malaysia, katanya, secara realistiknya, Melaka United menghadapi kesukaran melepasi peringkat suku akhir memandangkan lawannya adalah pasukan terbaik dalam Liga Super.

Bagaimanapun, pemain dan jurulatih dimaklumkan bahawa tiada istilah kalah atau menang sebelum turun ke padang, katanya yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa).

Mohd Yusoff berkata kejayaan melangkah ke suku akhir merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi mengubati kekecewaan peminat setia pasukan ini.

Beliau berkata tiket bagi perlawanan tersebut  akan mula dijual pada pagi Jumaat ini dengan harga RM30 untuk tempat duduk berbumbung dan RM15 untuk tempat duduk terbuka.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata Kejohanan Bawah 16 Tahun yang julung kali diadakan itu adalah usaha bersama Musa dan Majlis Sukan Sekolah Negeri Melaka (MSSNM)  untuk melahirkan pemain pelapis.

Katanya, usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan kerana hasilnya hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa empat atau lima tahun lagi. - Bernama

Melaka United, JDT

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain