suria

KBS Teliti Dakwaan Bekas Olahragawati Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti dengan terperinci dakwaan seorang bekas olahragawati negara pada era 60an bahawa beliau belum menerima hadiah wang tunai RM5,000 selepas dinobatkan anugerah itu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dakwaan itu perlu dikaji memandangkan anugerah sukan negara hanya diperkenalkan pada tahun 1981.

"Ini anugerah yang mana satu dan kita nak tahu juga apakah janji-janji yang telah dibuat...tahun 1961 itu sudah lama," katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar mengenai dakwaan seorang atlet yang mendakwa masih belum menerima hadiah wang tunai sehingga hari ini.

Menurut laporan itu, atlet yang pernah dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan pada tahun 1960-an mendakwa masih belum menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 yang dijanjikan kerana dipilih sebagai pemenang anugerah tersebut.

"Kita (KBS) kena buka balik arkib dan teliti perkara itu. Kalau janji, kita kena tunaikan dan kalau betul ianya disebutkan sebagai Anugerah Sukan Negara," katanya.

Menurut atlet yang enggan namanya dinyatakan dalam laporan itu, isu itu turut melibatkan sebilangan besar pemenang anugerah yang sama sejak tahun 60-an sehingga awal 80-an.

Beliau mendakwa pemenang anugerah Olahragawan dan Olahragawati pada tahun-tahun tersebut sepatutnya menerima ganjaran tunai di antara RM5,000 hingga RM10,000 setiap seorang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain